Hanya dalam tempoh beberapa detik sahaja kota Palu hancur akibat gempa bumi dan tsunami. Diburukkan lagi dengan ancaman fenomena likuifaksi atau pencairan tanah (seolah-olah lumpur daripada dalam tanah) yang boleh menelan apa sahaja yang terdapat di atas bumi.

Ekoran malapetaka tersebut dianggarkan 2,000 penduduk Palu telah terkorban manakala ribuan dan besar kemungkinan puluhan ribu lagi dipercayai masih hilang.

Banyak rumah yang runtuh dan begitu juga dengan bangunan. Malah dikatakan sebuah kampung hilang ditelan bumi selepas Palu dilanda satu bencana yang kekuatannya 200 kali lebih kuat daripada serangan bom atom di Hiroshima, Jepun.

Berikutan kejadian itu, banyak pihak yang membuat analisis sebab dan punca mala petaka itu boleh berlaku. Mengapa Allah SWT menurunkan bala di kawasan itu.

Dua rumusan yang boleh dibuat yang mungkin ada kaitannya dengan mala petaka berkenaan. Pertama, syirik dan kedua, berleluasanya aktiviti berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) terutama hubungan sejenis.

Semuanya ini ada dibincangkan dalam media sosial termasuk dua link yang pernah disebut oleh bos Kalam, Datuk Zaini Hassan dalam ruangan Cuit 3 Oktober lalu.

Yang pasti, dosa syirik adalah kezaliman yang paling besar. Al-Quran banyak menyebut tentang perkara ini dan antaranya pesan Luqman kepada anaknya agar tidak mensyirikkan Allah SWT seperti yang dinukilkan dalam surah Luqman ayat 13.

Tiada ampunnya di sisi Allah SWT kepada sesiapa yang melakukan syirik. Antaranya mengadakan sebarang aktiviti atau ritual yang jelas bertentangan dengan akidah Islam.

Begitu juga dengan berkembangnya aktiviti hubungan sejenis di kota Palu atas nama hak asasi. Di kota tersebut mereka dikatakan berjaya membentuk satu komuniti yang mempunyai orientasi seks sesama jenis.

Bukankah perbuatan mereka ini bertentangan dengan perintah Allah SWT. Al-Quran yang diturunkan 1,400 tahun lalu telah merakamkan kisah bala yang diturunkan ke atas kaum Nabi Lut kerana mengamalkan perbuatan jijik tersebut.

Sila baca kisah tersebut dalam Surah Al-Araf (80-84), Surah Hud (77-83) dan Surah Al-Hijr (57-77) iaitu bagaimana Allah SWT telah membinasakan kaum Lut akibat perbuatan mereka itu dengan hujan batu yang berasal daripada tanah dibakar dan pada masa sama diterbalikkan kota Sodom yang mereka duduki.

Meskipun telah disebut beberapa kali sebelum ini, peringatan perlu sentiasa diberikan kerana manusia ini sifatnya memang mudah lupa.

Berbalik kepada kejadian di Palu, dalam situasi orang beranggapan itu adalah satu bencana namun tidak mustahil semuanya itu adalah tanda kemurkaan Allah SWT atas segala dosa serta kemaksiatan yang berlaku.

Mahu tidak mahu kita perlu mengambilnya sebagai satu iktibar. Jangan sangka dalam keadaan bumi Malaysia dikatakan berada di kawasan berisiko rendah terhadap gempa bumi dan gunung berapi, kita boleh terlepas daripada ancamannya.

Jangan lupa, negara kita pernah digemparkan dengan kejadian gempa bumi di Ranau, Sabah tiga tahun lalu. Tanpa sebarang petunjuk tiba-tiba berlaku gempa bumi berskala 5.9 magnitud di Ranau hingga meragut 18 nyawa, memusnahkan harta benda dan meruntuhkan tanda Gunung Kinabalu, puncak yang dikenali sebagai Donkey Ear.

Hakikatnya, Allah SWT boleh lakukan apa yang dikehendaki-Nya walaupun Malaysia dilihat berada di luar lingkaran Api Pasifik. Sekiranya Allah SWT kata jadi maka jadilah seperti firman-Nya dalam surah Yasin ayat ke-82.

Dalam hal ini seorang ustaz pernah memberitahu Kalam, jika aktiviti LGBT dibiarkan berleluasa, maksiat dibiarkan begitu sahaja (atas nama hak asasi), kerja-kerja amar makruf dan nahi mungkar dipandang remeh, tunggulah akibatnya satu hari nanti.

Itu yang menghairankan Kalam bagaimana ada pihak yang menyatakan maksiat yang berlaku di tempat persendirian, itu adalah hak mereka. Kerajaan tidak akan campur tangan. Bukankah kerajaan adalah pihak paling berkuasa untuk mencegah maksiat?

Lupakah kita dengan satu hadis Rasulullah SAW yang berbunyi; “Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” Renung-renungkanlah.