Saya sendiri sudah banyak kali mendengar pengakuan ini. Melopong jugalah dengan kenyataan sebegitu. Sebabnya, yang membuat pengakuan tersebut bukan pun ada rupa kacukan Pan Asia, atau mirip muka orang negara-negara di Asia Barat. Memang muka Melayu habis, macam saya. Tetapi tahu-tahu saja, dia mengaku tidak pandai bercakap Melayu.

Yalah, bapa orang Perak, emak orang Kedah atau bapa orang Melaka, emak orang Negeri Sembilan tetapi tidak tahu cakap Melayu. Memang peliklah. Orang yang lahir dan dibesarkan di bandar raya Kuala Lumpur, mendapat pendidikan awal pula di sekolah mubaligh Kristian seperti Methodist, Convent, St. John, St. Mary, atau La Salle pun laju saja bercakap Melayu.

Yang menghairankan, kebanyakan orang kita, rasa macam okey sahaja apabila orang Melayu sendiri tidak boleh menguasai bahasa ibunda tetapi apabila orang bukan Melayu bercakap pelat sedikit dan bahasa kebangsaannya tunggang-langgang, terus sahaja mengata atau membidas. Yang selalu kita dengar - Sudah duduk Malaysia lama pun tak tahu cakap Melayu!

Sedangkan, orang Melayu pun ramai yang tidak mengagungkan bahasa bangsa sendiri atau malu mungkin menggunakan bahasa itu. Pergi mana-mana lebih selesa berbahasa Inggeris. Mungkin nampak lebih ‘berpelajaran’, elit atau ‘ada kelas’.

Kalau ditegur kenapa tidak berbahasa Melayu, nanti dijawab pula macam mana Melayu hendak maju, bila cakap ‘orang putih’ pun kena kutuk? Atau paling tidak pun dikata, dengki melihat orang Melayu lain pandai berbahasa Inggeris.

Sesiapa pun tidak menafikan bahasa Inggeris itu pen­ting. Bahasa antarabangsa. Bahasa ilmu. Tetapi itu tidak bermakna kita perlu mengangkat bahasa asing lain, menggantikan bahasa ibunda dalam setiap ruang kehidupan kita sebab takut tidak menjadi orang cerdik pandai atau pun tidak dipandang tinggi dalam masyarakat.

Inilah isunya, bila kita mahu mengangkat dan memperjuangkan bahasa ibunda, orang Melayu sendiri memandangnya pada sisi yang lain. Lebih kepada melihat kita akan ketinggalan jauh, jika asyik bercakap Melayu. Lama-lama, tidak seorang pun dalam keluarganya tahu berbahasa Melayu dan bahasa Melayu jadi begitu janggal sekali untuk dituturkan.

Sehingga kini kita lihat dalam majlis-majlis keramaian, maj­lis rasmi, persidangan malah mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pun, kebanyakan hendak berucap dan bertanya soalan dalam bahasa Inggeris, sedangkan boleh dikatakan yang hadir dalam majlis itu kesemuanya orang Melayu.

Dan seringkali juga apabila kita masuk ke sebuah kedai contohnya, membeli barang-barang, penjualnya bangsa lain, elok saja berbahasa Melayu dengan kita, tetapi kita membalas dengan bahasa Inggeris. Semasa membuat bayaran misalnya, bila kita mengambil baki duit, dan cakap thank you dan dia balas ‘sama-sama’.

Adakalanya, kita bercakap Melayu mengikut gaya bahasa mereka, tetapi mereka bersahaja membalas de­ngan bahasa Melayu yang penuh dan teratur susunannya. Kadang-kadang mereka mahu belajar, yalah bukan terus boleh mahir, tetapi ada yang mengecam dan mentertawakan yang membuatkan mereka malu dan tiada sema­ngat.

Jangan terus perlekeh orang bukan Melayu yang tidak pandai bercakap Melayu sebab yang Melayu pun ramai yang ‘acah-acah’ malu hendak berbahasa Melayu. Kalau Melayu tidak pandai bercakap Melayu, tidak pula dia di­tertawakan tetapi apabila tidak pandai berbahasa Inggeris, malu dan takut pula ditertawakan dan rasa rendah diri.

Dan ikhlaskah pihak yang mendakwa dirinya ‘pejuang bahasa’ ini, hanya timbul bermusim apabila ada isu membabitkan bahasa, mereka pun muncul hendak tunjuk juara? Sedangkan dalam apa-apa mesyuarat pun meriah betul dia berbahasa Inggeris dan di rumah pun begitu, kecuali apabila bercakap dengan pembantu rumah. Ini lagi entah apa-apa.