Yang penting bagaimana kita melalui hari itu. Hari-hari pun kita semua mahu menghadapinya dengan rasa gembira dan bahagia. Tidak ada maknanya hari ini ramai yang mengucapkan Selamat Hari Wanita, memberi bu­nga, ha­diah, mendapat layanan baik atau bagi mana-mana suami melakukan kerja rumah tetapi hari-hari seterusnya semuanya tidak sama lagi.

Keadaan akan kembali seperti hari-hari sebelumnya. Bagi sesetengah wanita, dia tetap tidak dihargai, diperlekeh, diperkotak-katikkan, dipandang rendah atau tidak dipandang langsung dan suami pula balik semula kepada perangai suka menyepahkan barang-barangnya di rumah.

Dan hari ini bukan hari wanita. Kena tunggu setahun lagi untuk menyambutnya semula. Bagaimana, adakah kita masih diraikan dan mendapat perhatian lagi? Ya, wanita bukan meminta diberikan bunga setiap hari. Saya pun tidak suka diberi bunga. Lelaki perlu tahu, tidak semua wanita suka bunga. Tetapi itu bukan masalahnya. Persoalannya, ikhlaskah kita menghargai wanita?

Kita bukan lagi hidup dalam era 60-an, 70-an apatah lagi zaman purba kala. Tahun 2018 pun sudah diisytiharkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat, tahun memperkasakan wanita. Tetapi itulah, sehingga kini masih terdapat pihak yang mempertikai keupayaan dan memperlekehkan wanita. Ada yang melakukannya secara terang-terangan. Ada yang secara diam. Mulutnya mengatakan bahawa orang perempuan tetap diberikan layanan yang sama rata dalam apa jua bidang, tetapi hati pula berat untuk melaksanakannya.

Inilah yang dikatakan cakap tidak serupa bikin. Masih dalam keadaan tertentu, walaupun wanita itu bekerja keras, dia tetap berada di tahap itu mungkin 10 tahun akan datang pun, tidak di tempat yang selayaknya dia ­berada.

Ya betul, wanita harus menunjukkan kebolehan dan kemampuannya bukan semata-mata mengharapkan simpati atau ihsan untuk diberikan tempat dan keistimewaan tertentu. Itu yang sepatutnya menjadi pegangan semua wanita. Bekerja keras untuk meningkatkan taraf hidup. Bukan menagih belas kasihan. Tetapi itulah, bekerja keras adakalanya tidak cukup, apabila pemikiran pihak lain masih terkongkong dengan isu gender. Bagi mereka, wanita tidak sepatutnya dilihat lebih pandai dan mahir. Inilah yang amat mengecewakan.

Menjadi seorang wanita, juga memerlukan kekuatan dan keberanian yang bukan sedikit. Banyak kes penganiayaan, penderaan, keganasan, penipuan dan diskriminasi terus berlaku terhadap wanita. Peruntukan undang-undang boleh dipinda dan dibuat penambahbaikan dari semasa kes semasa untuk membela wanita, tetapi hakikatnya kes-kes ini terus meningkat dan bagaikan mustahil akan berhenti.

Justeru, apa yang perlu dilakukan wanita? Bersua­ralah. Seperti yang pernah saya katakan dalam kolum saya sebelum ini. Jika wanita tidak bersuara, siapalah yang dapat mendengar segala penindasan dan jenayah yang dilakukan terhadap wanita. Wanita jangan berdiam diri, perlu tahu hak-haknya sebagai seorang wanita dan juga manusia. Jangan melindungi orang yang menya­kiti dan jangan bergantung hidup pada orang yang tidak menghargai.

Dan ada banyak pihak berterusan melihat wanita sebagai objek seks semata-mata. Dalam hal ini, saya juga berharap wanita yang merasakan dirinya cantik, jangan jadi bodoh mendedahkan diri untuk tontonan umum. Asyik berswafoto menunjuk wajah dan tubuh yang seksi di media sosial. Cukup-cukuplah. Anda hanya menjadi tatapan lelaki yang memandang dengan nafsu.

Lelaki yang memuji di media sosial berkemungkinan besar tidak mahu mempunyai isteri berpakaian seksi, asyik berswafoto menonjolkan diri dan berharap anak perempuan mereka pun tidak sebegitu. Wajah cantik yang dikurniakan Tuhan akan lebih cantik lagi jika bijak.

Jika mahu dihormati dan dipandang tinggi, jangan tagih perhatian dengan cara sebegitu. Dan pada saya, semua wanita cantik dan kecantikan itu lebih terserlah apabila dia kuat dan tidak menyerah kalah ketika diuji de­ngan pelbagai cabaran dan ujian. Selamat setiap hari untuk wanita!