NELAYAN Sungai Pahang menggunakan jaring untuk menangkap ikan.
NELAYAN Sungai Pahang menggunakan jaring untuk menangkap ikan.

Nelayan Sungai Pahang di Kampung Pedah, Jerantut, Adam Idrus Hussain, 56, mengakui kini ikan darat mempunyai permintaan pada harga yang amat lumayan.

“Kebiasaannya, pengusaha restoran Cina dan orang-orang kenamaan menempah ikan-ikan sungai itu.

“Berbeza dengan dahulu, ikan-ikan sungai tiada hargapun kerana terlalu banyak didapati dan ketika itu masih ramai orang kampung yang berkemahiran menangkap ikan sungai,” katanya.

Katanya, dahulu rata-rata penduduk kampung di sekitar tebing Sungai Pahang mempunyai jaring atau jala untuk menangkap ikan sungai kerana ia adalah mata pencarian atau sumber makanan mereka.

Tetapi setelah zaman berubah termasuk faktor generasi muda ramai yang berhijrah ke bandar, pekerjaan nelayan di sekitar Sungai Pahang semakin berkurangan.

“Ini ditambah pula dengan faktor keadaan sungai yang semakin menjejaskan pembiakan ikan sungai secara semula jadi seperti pembalakan, perlombongan bijih dan sebagainya termasuk perubahan cuaca menyebabkan ikan semakin berkurangan,” katanya.

Menurut Adam Idrus yang sudah lebih 30 tahun menjadi nelayan sungai di kampung itu, permintaan pada masa sekarang amat tinggi terutama daripada peraih ikan yang menjual kepada pemilik restoran di bandar.

Katanya, ikan sungai yang dianggap makanan mewah itu juga sering ditempah oleh golongan kenamaan.

Namun kini, ikan sungai yang dinaikkan di jeti sekitar Sungai Pahang turut mendapat permintaan daripada orang ramai kerana rasanya yang cukup enak apabila dimasak.

“Naik sahaja ke jeti, memang akan habis ikan yang ada. Sebab itulah, permintaan sentiasa tidak mencukupi,” katanya.