Bukanlah sesuatu yang memalukan andainya anda tidak mempunyai ijazah. Namun perbuatan menipu itulah yang tidak disenangi oleh masyarakat.

Malah pada Jumaat lepas saya juga ada terbaca di dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia memaklumkan bahawa seseorang pekerja bakal dipecat andai mengemukakan ijazah palsu selepas mereka diterima bekerja.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan menjelaskan bahawa jika seseorang pekerja didapati bersalah mengemukakan ijazah palsu untuk mendapat pekerjaan atau kenaikan pangkat, hukuman yang biasa dikenakan adalah dipecat kerana kesalahan itu dianggap sebagai salah laku yang serius.

Ini merupakan prosedur standard yang dibuat oleh mana-mana syarikat berdepan dengan masalah salah laku pekerja mereka.

Sebenarnya, perjalanan seorang mahasiswa untuk mendapatkan kelayakan akademik bukanlah semudah yang disangka atau dilihat.

Sudah tentulah untuk mendapatkan kelayakan akademik tertinggi iaitu doktor falsafah (PhD) bukan sesuatu yang mudah dan mampu dilakukan. Hatta bagi mereka yang dalam perjuangan untuk mendapatkan sijil pun sudah pening demi menghabiskan tempoh pengajian dalam usaha mendapatkan sijil.

Perjuangan mendapatkan kelulusan akademik menuntut pelbagai pengorbanan. Acapkali ia meruntun perasaan, apatah lagi bagi seorang mahasiswa yang mengambil ijazah mereka secara separuh masa.

Banyak air mata yang tumpah, peluh keringat membasahi bumi, tidur yang tidak pernah cukup manakala masa yang seakan-akan mencemburui sang pelajar.

Wang ringgit juga banyak digunakan untuk menyiapkan pelbagai tugasan yang diberikan oleh pensyarah mereka. Begitulah hebatnya jihad menuntut ilmu sehinggakan itulah jihad yang paling dituntut di dalam Islam.

Namun nampaknya perbuatan tidak bermoral mengaku mempunyai ijazah palsu ini seakan tidak berhenti selepas insiden tular sebelum ini yang mana melibatkan kes memalsukan tesis ijazah PhD mahupun gagal menunjukkan daripada mana ijazah diperoleh.

Ia bukanlah satu kes, namun di negara kita ini sudah terdapat banyak kes. Kurangkah kredibiliti seseorang yang tidak mempunyai kelayakan akademik tertentu?

Mengapakah orang sanggup menipu mengatakan mereka mempunyai kelayakan akademik tertentu daripada universiti tertentu? Adakah dengan menunjuk mempunyai ijazah akan menampakkan seseorang lebih bijak?

Sekiranya anda seorang pensyarah mahupun guru sudah pasti anda patut dikenakan hukuman yang berat andai memberikan ijazah palsu untuk diterima bekerja.

Ini kerana kerjaya pensyarah mahupun guru amatlah mulia dan mereka sama-sama turut membantu menggembleng tenaga bagi membentuk generasi sesebuah negara.

Tidak dinafikan ramai orang telah berjaya malah menjadi seorang jutawan walaupun tanpa ijazah. Betul, tidak salah. Memang ramai.

Kebanyakannya bergelar usahawan sama ada dalam atau luar Malaysia. Namun, kita perlu memahami nilai yang sedang kita bentuk di dalam negara kita yang berbilang kaum ini.

Persoalannya, adakah terdapat sebarang akta atau hukuman yang boleh dikenakan terhadap individu tertentu didapati bersalah mendakwa memiliki ijazah palsu? Saya tinggalkan persoalan tersebut untuk kita sama-sama fikirkan.

Saya setuju andai pihak berkuasa ingin mengambil tindakan terhadap semua individu yang terlibat dalam memalsukan kelayakan akademik mereka.

Namun ia perlulah mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang. Ini wajar dilakukan lebih-lebih lagi bagi mereka yang terlibat dalam sektor awam dan swasta. Integriti itulah kuncinya.

Jadilah rakyat dan masyarakat bermaruah dan berintegriti. Kerana bangsa yang berdaulat perlu sentiasa hidup dalam nilai integriti yang tinggi.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Pasir Gudang.