Sebelum ini, ahli akademik turut diraikan sewaktu sambutan Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei setiap tahun kerana mereka juga merupakan guru dan pendidik. Ada universiti membuat sambutan khas untuk ahli akademik mereka dalam majlis tertentu tetapi tidak dikhususkan pada satu-satu tarikh.

Semenjak 2008, Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya telah melancarkan Bulan Putra SATRIA dan kemudiannya, Minggu Putra SATRIA. “S.A.T.R.I.A” adalah akronim daripada perkataan Scholar, Agent of Change, Teaching-Learning Expert, Researcher, Innovator and Administrator yang mencerminkan peranan ahli akademik.

Bagi melestarikan peranan ahli akademik sejajar dengan aspirasi “Akademia Baharu” yang maju seiring dengan transformasi pendidikan tinggi negara, Pusat Pembangunan Akademik (CADe) UPM telah menjenamakan semula program Minggu Putra SATRIA kepada Sambutan Hari Pendidik UPM mulai tahun 2018.

CITRA AHLI AKADEMIK

Selain itu, UPM juga mengiktiraf kecemerlangan ahli akademiknya dengan mewujudkan pelbagai sambutan dan anugerah seperti Majlis Gemilang Akademia Putra, Anugerah Pengajaran, Anugerah Penyelidikan serta Anugerah Jaringan Industri dan Masyarakat yang dilaksanakan di peringkat universiti mahupun fakulti.

“S.A.T.R.I.A” menggambarkan citra ahli akademik sebagai insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, penjana ilmu dan teknologi baharu melalui aktiviti penyelidikan dan pengkomersialan serta berkongsi ilmu dan kepakaran melalui jaringan komuniti dan industri.

Peranan ahli akademik lebih menonjol dalam aspek pengajaran dan penyelidikan. Bagaimanapun misi universiti yang ketiga lebih mendorong ahli akademik bukan sahaja untuk cemerlang dalam bidang akademik masing-masing, tetapi memberi sumbangan yang bermakna sebagai intelek awam untuk memimpin masyarakat melalui perkongsian dan pemindahan ilmu serta kepakaran. Antaranya, melalui penulisan media ahli akademik berasaskan kepakaran dan kesarjanaan bagi tujuan advokasi awam.

Kita percaya, peranan dan tanggungjawab ahli akademik ini hanya tertunai dengan integriti dan penghayatan ihsan. Konsep ihsan bukan sekadar berkaitan dengan pelaksanaan kerja semata-mata tetapi melibatkan aspek keterikatan hubungan antara manusia dengan Penciptanya. Keterikatan hubungan antara manusia dengan Pencipta inilah yang akan melahirkan sifat serta budaya kerja yang sangat menitikberatkan aspek kualiti, kesempurnaan dan kecemerlangan.

TIDAK BOLEH DIBELI, PERSEPSI

Justeru, ahli akademik yang menghayati Ihsan akan memastikan setiap amal perbuatan atau pekerjaan dilaksanakan dengan betul, mahir, efisien dan cekap, dengan tujuan mencapai kesempurnaan, mempunyai kualiti yang tinggi, serta kecemerlangan.

Kecemerlangan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) khususnya universiti sangat bergantung kepada kewibawaan ahli akademik. Kewibawaan mereka hanya dapat diraih apabila ahli akademik berpegang kepada nilai integriti dan etika kerja yang tinggi. Integriti juga berkait dengan etika, iaitu pegangan moral yang tinggi selari dengan peraturan kerja, nilai masyarakat dan budaya.

Penekanan soal integriti dan etika kerja ini sebenarnya selari dengan aspirasi kerajaan melalui saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu melancarkan Pelan Anti Rasuah Nasional pada bulan Januari lalu, agar Malaysia dikenali kerana integriti. Ia juga seiring dengan Amanat Menteri Pendidikan Malaysia 2019 yang menekankan soal etika bekerja yang baik, khususnya dalam mengejar kecemerlangan akademik.

Tidak dinafikan, kewibawaan IPT bukan perkara mudah untuk dimiliki. Tidak boleh dibeli dengan wang ringgit atau bermain dengan persepsi. Hanya kecemerlangan yang berasaskan penghayatan nilai ihsan dan integriti akan memacu kewibawaan IPT sehingga menjadi rujukan oleh pihak berkepentingan dalam dan luar negara.

Akhir kata, warga universiti mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri Pendidikan atas pengumuman sambutan Hari Warga Akademia SeMalaysia. Semoga sambutan ini akan dapat terus meraikan sumbangan bermakna ahli akademik dalam memajukan anak bangsa dan menjayakan aspirasi negara Malaysia yang sama-sama kita impikan.

PROFESOR DATIN PADUKA DATUK DR. AINI IDERIS ialah Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM)