Saiful Mohd. Janis, Puchong.

UKE: Bagi wanita yang beridah kerana kematian suami, Islam telah menggariskan beberapa cara tertentu sepanjang mereka berada dalam tempoh idah tersebut.

Antara perkara yang mesti dipatuhi mereka ialah:

* Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.

* Haram berkahwin. Jika kahwin juga, maka pernikahan itu adalah tidak sah dan wajib dipisahkan.

* Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, melancong dan pergi majlis kenduri. Contohnya, tak bolehlah dia keluar melainkan dalam had dan batas serta sebab yang diperlukan sahaja.

Tetapi jika sebab penting yang terpaksa keluar rumah, maka dibolehkan seperti untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan hidup dan kebetulan tiada siapa yang boleh membantunya mendapatkan barangan tersebut dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak. Dengan syarat, mereka dapat menjaga peraturan dan adab seperti yang disyariatkan Islam.

Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam.

Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.

Begitu juga hendaklah menghabiskan idah di rumahnya maka janganlah si balu pindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh mereka berkahwin. Tetapi jika terdapat bahaya dan kesusahan yang boleh membahayakan nyawa dan harta benda seperti banjir, letusan gunung berapi, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya itu hilang.

Dalam tempoh idah, mereka wajib meninggalkan semua perkara yang bersifat berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan.

Walaupun dia sudah berusia lanjut, si perempuan tadi tetap kena beridah selama empat bulan 10 hari.