Apabila sedar daripada ‘tidur’ yang lama, dia terkejut melihat kedua-dua kakinya tiada dan mengetahui hakikat bahawa dia sudah cacat dan memberi kesan emosi yang amat hiba. Tambah memilukan, dia ditinggalkan oleh suaminya dan hidup sebatang kara selepas peristiwa hitam itu.

Beberapa tahun selepas kemalangan itu, wanita berkenaan menemukan sinar baharu dalam hidupnya setelah berkunjung ke Pusat Pemulihan Fizikal Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di Battambang dan bertemu dengan wakil Organisasi Orang Kurang Upaya Battambang (BDPO).

Bermula detik itu, Nimol menyertai pasukan bola keranjang yang ditubuhkan oleh ICRC selepas menerima saranan daripada ketua pasukan berkenaan, Sok Chan. Dan sejak itu, wanita tabah yang kini berusia 35 tahun itu tidak lagi menoleh belakang apabila menjadi salah seorang daripada 40 atlet bola keranjang berkerusi roda wanita mewakili negara di peringkat dunia.

Nimol yang berkaki palsu ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini berkata, dia sudah mampu mengubah kehidupan keluarga­nya dengan pendapatan diperoleh setelah menyertai pasukan bola keranjang berkenaan sejak 2012. 

“Saya bersyukur kerana ICRC menunjukkan sokongan untuk meneruskan kehidupan dengan menyediakan beberapa kemudahan termasuk tempat tinggal sepanjang berlatih di pusat pemulihan itu,” katanya yang kini semakin ceria menjalani kehidupan dengan kehadiran pasangan baharu, juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU) bersama anak tunggalnya.

Nimol adalah salah seorang daripada mangsa letupan periuk api yang ditanam secara tidak terkawal sewaktu peperangan meletus di Kemboja sejak 1967 dan hanya berakhir sepenuhnya pada 1998. Ramai penduduk tempatan me­nerima nasib serupa sepertinya.

Paling memburukkan keadaan, periuk api yang ditanam masih aktif sehingga kini dan atas sebab itu, kerajaan Kemboja menubuhkan Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja (CMAC). CMAC ditubuhkan pada tahun 1992 semasa Pihak Berkuasa Peralihan PBB di Kemboja (UNTAC). 

Sementara itu, Ketua Misi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di Kemboja, Roman Paramonov berkata, seramai 650,000 daripada 15 juta penduduk di Kemboja terjejas akibat periuk api.

Justeru, ICRC dengan kerjasama kerajaan Kemboja menubuhkan pusat pemulihan fizikal bagi membantu golongan OKU dengan memberikan bantuan seperti latihan vokasional, geran perniagaan dan pemberian kaki serta tangan palsu.

Menurut Paramonov, sebanyak 11 buah pusat pemulihan fizikal dibuka di seluruh Kemboja dan hampir 1 juta swiss franc (RM4.1 juta) diperuntukkan bagi setiap pusat yang dibina setakat ini. Pusat berkenaan menerima 11,500 OKU dan pihak ICRC menjangkakan angka itu meningkat kepada 20,000 orang menjelang tahun hadapan.

Dari segi pembiayaan perniagaan, ICRC menyediakan geran sebanyak AS$750 hingga AS$1000 (RM3,064 hingga RM4,085) kepada peserta yang mahu memulakan perniagaan sendiri. Setelah geran diberikan, ICRC akan terus memantau perkembangan di samping membantu memasarkan produk mereka.

Dalam perkembangan sama, Ngov Chreb, salah seorang pene­rima geran memberitahu, sejak me­mulakan perniagaan menjual minuman kopi hampir dua tahun lalu dengan bantuan daripada ICRC, dia kini mampu meraih keuntungan sebanyak RM50 hingga RM60 sehari dan dapat menampung perbelanjaan sekolah anak perempuannya. 

Selain membekalkan kaki dan tangan palsu kepada OKU, ICRC dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Organisasi Orang Kurang Upaya Battambang (BDPO) serta Mine-ex turut menawarkan perkhidmatan membaik pulih secara bergerak menggunakan van kepada orang ramai.

Projek itu bermula pada Ogos tahun lalu dan sejak awal tahun ini sehingga November 2017, mereka menerima seramai 700 orang yang datang menggunakan perkhidmatan terbabit.

Menurut Pengurus Pusat Pemulihan Fizikal ICRC Siem Reap, Keo Ratha, orang ramai kini tidak perlu bersusah payah untuk ke pusat pemulihan untuk membaiki kaki atau tangan palsu serta kerusi roda mereka. Malahan, perkhidmatan disediakan juga percuma dan tempoh untuk membaiki sesuatu komponen cuma mengambil masa 15 minit sahaja.

“Sekiranya mereka datang sendiri ke pusat pemulihan, kami akan memberikan pampasan pengangkutan. Selain itu, ICRC merancang menyerahkan sepenuhnya operasi van ini kepada kerajaan Kemboja dalam tempoh terdekat,” katanya.

Jelas sekali, usaha dilakukan oleh ICRC dan juga beberapa organisasi lain seperti CMAC serta BDPO telah memberikan nafas serta harapan baharu kepada mereka yang kurang bernasib baik dalam memperbaiki taraf kehidupan seharian di negara itu.