Dalam pasang surut kepimpinan masing-masing, kita telah melihat zaman kegemilangan, zaman kecemerlangan, zaman kemerosotan dan zaman kegelapan tahun 1987 dan 1988 serta 1998 tatkala berhadapan dengan pelbagai isu, cabaran dan rintangan bersesuaian dengan tempoh masa jangka hayatnya.

Parti siasah semesta ini sarat dengan pengalaman selepas mela­lui rantaian peristiwa di bawah lembayungnya. Keperluan, kemahuan dan mindset ahli dan masyarakat umum juga melalui anjakan sentiasa. Najib tidak terkecuali. Selama 14 tahun bersilat di pentas perhimpunan termasuk lima tahun sebagai Timbalan Presiden dan sembilan tahun sebagai Presiden membolehkan beliau memahami psikik seni pertahanan parti.

Sejak mengambil alih teraju kepimpinan dan pentadbiran parti pada Mac 2009; tahun ini era kepimpinan Najib genap sembilan tahun. Berbeza dengan Pre­siden UMNO lain, Najib memulakan pentadbiran dengan penuh cabaran.

Cabaran besar ketika itu adalah untuk memastikan beliau mampu merapatkan barisan dalam parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan situasi kurang stabil memandangkan kejutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) masih terasa ketika itu dan PRU-13 dinamakan sebagai ‘ibu segala pilihan raya’. Krisis ekonomi melanda rantau ini apatah lagi hubungan antara etnik berada di paras membimbangkan ketika itu.

Dalam ucapan dasar ulung kalinya pada 15 Oktober 2009 bertemakan Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan, beliau menyatakan bahawa: “UMNO tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok sedikit. Sebaliknya, mahu dilihat, dirasai serta diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri.”

Malahan Najib mengingatkan bahawa UMNO menjadi parti yang berpegang kepada falsafah ‘wasatan’ iaitu bersederhana untuk terus lestari. UMNO tidak ada pilihan melainkan perlu membumi dan mendakap realiti. UMNO perlu melakukan pembaikan.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011, Najib memasuki tahun kedua kepimpinannya selaku Presiden dan memilih UMNO Menjuarai Transformasi sebagai agenda ucapan dasar beliau de­ngan penekanan ke atas islah atau pembaharuan. UMNO dianggap sudah melangkau umur yang dewasa, matang dan berpengalaman tetapi lahir kemusykilan jika diketahui ‘siapakah dan apakah ertinya menjadi orang UMNO’.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012, beberapa bulan sebelum PRU-13, Najib dengan tema Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional melihat kepada realiti baharu landskap politik tanah air yang berubah dan cabaran perlu dilalui oleh parti.

Di Perhimpunan Agung 2013 dengan tema UMNO: Mewajah Masa Depan, perhimpunan pertama pasca-PRU, beliau memberikan perincian keputusan PRU dan pindaan yang dibuat untuk memastikan pemilihan dalam parti juga berjalan lancar. Lima pengisian transformasi UMNO juga diperihalkan iaitu memperteguh ekonomi Melayu dan bumiputera; mempertegak maqasid syariah; memperkukuh pengkaderan par­ti; mempersiaga jentera transformatif; dan menetap petunjuk pres­tasi utama atau KPI UMNO.

Sepanjang sembilan tahun, ucapan dasar sarat dengan warna-warni agenda, wawasan dan peringatan selaku peneraju parti hari ini. Rentetan sejarah se­ring dijadikan sebagai paksi dan bagaimana ia disimpul dengan tali temali rantaian rekod pencapaian selama 71 tahun penubuhannya di samping pencapaian sembilan tahun wajah transformasi untuk masa depan parti dan negara di bawah Najib.

Perhimpunan Agung 2014 bertemakan Solidariti Melayu dan Bumiputera; Solidariti UMNO, Solidariti Malaysia, solidariti te­lah dijadikan sebagai asas utama amanat beliau demi kemuafakatan dan memobilisasi sokongan bersama dalam parti.

Transformasi Najib tidak akan berlaku dengan sendirinya tetapi terikat dengan formula solidariti pasukannya dalam merekayasa pengurusan kejayaan terutama bersama parti komponen dalam meniti PRU-14 untuk pertahankan apa yang sudah dimenangi dan melebarkan kemenangan ke konstituensi yang masih belum dalam genggaman.

Penjenamaan parti berasaskan kepada solidariti pasti diperhebatkan menjadi agenda kini me­rentasi ahli sendiri, mengenal pasti ancaman dalam dan luar parti; menjamin kewujudan kemuafakatan; mengurus tradisi dalam rongga demokrasi terpimpin.

Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu pula melihat penekanan kepada sejarah kedudukan Presiden selalu 13 tahun di pentas utama dewan. Bertemakan UMNO Penggerak Transformasi Nasional, merujuk kepada usaha merapatkan saf di dalam UMNO dengan mengambil kira masa depan berteraskan kepada faktor realiti, sejarah dan potensi hari-hari mendatang.

Najib melihat kesetiaan akan membolehkan UMNO berha­dapan dengan musuh tanpa se­barang kesangsian kerana mendepani cabaran memperkasakan negara melalui Pelan Transformasi Nasional dengan sepadu.

Protes dalaman secara senyap banyak memberi kesan kepada pengisahan sejarah UMNO sebelum ini. Malahan, yang paling membimbangkan Institusi Ke-Presidenan adalah bukan pesaing di luar yang memiliki citra pega­ngan politik berbeza tetapi mereka yang masih berada di dalam parti yang memaparkan karakter ‘sokong membawa rebah’ tetapi senyap dan diam atas percaturan kepentingan masing-masing.

Memandangkan perhimpunan kali ini berlangsung beberapa bulan sebelum PRU yang dianggap ‘ibu segala pilihan raya’ seperti PRU 2013; maka perhimpunan ini juga boleh dinamakan sebagai ‘ibu segala perhimpunan’ memandangkan sokongan pengundi Melayu kini berpecah kepada lima secara amnya; UMNO, Pas, PAN, PPBM dan PKR walau ada parti serpihan lain.

Perhimpunan ini penting untuk memastikan kesetiaan ahli tidak terpesong dari Institusi Ke-Presidenan dan parti; merapatkan barisan sebagai satu pasukan; jaminan pengorbanan dan kompromi dari pemimpin untuk bersatu dan berkhidmat walau siapapun calon PRU nanti; nilai kesepa­duan jentera bersama parti komponen lain dalam BN; kerjasama dengan parti Pas sebagai sekutu dan bukan seteru; pengkaderan media sosial; menangani psikik bekas ahli yang kini bersama parti lawan; mendekati ahli atas pagar agar menjadi orang UMNO dan metodologi tidak menjauhi kelas pertengahan atau Melayu bandar.

Kemenangan dalam PRU ba­nyak bergantung kepada keazaman dan motivasi pemimpin atasan dan akar umbi serta sejauh manakah persediaan untuk menghadapi PRU yang paling getir dalam sejarah.

Hanya Najib mampu mencari satu titik kemenangan dan ia bermula dari kemuafakatan dari perhimpunan tahun ini.

PROFESOR DR. SIVAMURUGAN PANDIAN dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).