Sebelum kedatangan Islam, penduduk Samarkand menyembah berhala. Berhala-berhala ini ditempatkan di kuil-kuil yang berada di sekitar kota. Ada juga kuil-kuil di sekitar pergunungan yang mengelilingi Samarkand. Kuil-kuil di pergunungan ini sebenar­nya untuk sami-sami kanan.

Qutaibah menakluk Samarkand pada waktu malam semasa kebanyakan penduduk sedang nyenyak dibuai mimpi. Tiada sebarang amaran awal diberikan kepada penduduk seperti kelaziman penaklukan-penaklukan yang dibuat oleh tentera Islam sebelumnya. Memandangkan penduduknya tidak bersedia, maka penaklukan berlaku tanpa ba­nyak masalah atau pertumpahan darah. Sami-sami mereka pula melarikan diri ke kuil-kuil yang berada di pergunungan.

Hanya pada keesokannya, barulah penduduk sedar bahawa tentera Islam telah menguasai kota mereka. Apa yang membuat penduduk Samarkand terkejut ialah mereka mendapati tentera Islam tidak mengusik sedikit pun, apatah lagi memusnahkan harta benda mereka. Malah tentera Islam pula yang membantu memudahkan lagi aktiviti harian mereka. Apabila selesai penaklukan, Qutaibah meneruskan misi penyebaran Islamnya ke sebelah Timur.

Setelah itu kehidupan kembali tenang dan aktiviti harian penduduk berjalan seperti biasa. Bahkan orang Islam dan penduduk Samarkand mulai hidup rukun damai dalam sebuah kota. Penduduk Samarkand juga mendapati orang Islam amat jujur dan amanah semasa berurusan baik dalam urusan perniagaan mahupun pergaulan. Ini menyemai bibit-bibit kepercayaan dalam kalangan penduduk asal kepada orang Islam. Tahap kepercayaan ini semakin menebal selepas dalam satu insiden perselisihan di antara orang Islam dan orang tempatan, pihak hakim membuat keputusan yang berpihak kepada orang Samarkand.

Perkara ini sampai ke pengetahuan sami-sami yang berlindung di kuil-kuil di kawasan pergunu­ngan. Pada pandangan mereka, jika hakim kes tersebut adil, maka sudah tentulah Khalifah Islam juga adil. Lantas mereka mengambil keputusan untuk menghantar seorang wakil berjumpa Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz di Damsyik.

Tujuan utama sami-sami ini menghantar utusan berjumpa khalifah adalah untuk mengadu bahawa penaklukan Samarkand yang dibuat oleh Qutaibah sebelum ini adalah tidak menepati amalan yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

Dipendekkan cerita, utusan sami Samarkand tadi berjaya berjumpa khalifah. Sewaktu tiba di rumah khalifah, utusan itu mendapati beliau sedang membe­tulkan dinding rumahnya. Tanpa sebarang protokol, dia dengan mudah dapat mengadu hal kepada Umar Ibn Abdul Aziz. Keadaan ini mengingatkan utusan tadi kepada para sami Samarkand yang agak angkuh dan tidak mesra dengan orang ramai.

Aduannya antara lain menyebut bahawa Qutaibah Ibn Muslim menakluk Samarkand secara mengejut dan ini menyalahi prosedur operasi standard Islam yang mana sebelum penaklukan atau peperangan bermula, panglima Islam akan memberi tiga pilihan kepada pihak lawan iaitu sama ada memeluk Islam atau membayar jizyah. Jika kedua-dua ini tidak diterima, barulah pilihan berperang akan dibuat. Itu pun setelah pihak lawan diberi tempoh masa untuk bersiap sedia terlebih dahulu.

Setelah mendengar pengaduan, Umar Ibn Abdul Aziz menulis sepucuk surat dan memberikannya kepada utusan tadi agar di­serahkan kepada Gabenor Samarkand. Isi utama kandungan surat tersebut ialah mengenai arahan khalifah supaya pihak gabenor melantik seorang hakim bagi mengadili kes yang dibawa oleh pihak sami ke atas Qutaibah.

Qutaibah yang pada ketika itu sudah sampai ke China telah dipanggil untuk kembali ke Samarkand bagi menghadiri pe­r­bicaraan. Namun atas dasar pe­rintah daripada hakim dan demi keadilan, Qutaibah sanggup me­nempuh perjalanan jauh untuk menghadiri perbicaraan.

Perbicaraan bermula dengan pihak sami diberi peluang yang pertama untuk menyuarakan a­duannya. Lantas dia mengatakan Qutaibah memasuki negaranya tanpa memberi amaran awal dan tanpa memberi pilihan sama ada untuk memilih Islam atau membayar jizyah atau berperang.

Qutaibah sebaliknya berhujah bahawa dia berbuat demikian kerana perang adalah satu bentuk tipu daya. Selain itu, dengan menakluk secara mengejut dan tanpa berperang, ia dapat mengurangkan jumlah nyawa yang hilang di kedua-dua pihak.

Pada masa sama juga penduduk boleh mengetahui tentang ajaran Islam yang dibawa.

Seterusnya hakim bertanya kepada Qutaibah untuk mendapatkan kepastian sama ada beliau ada mengajak penduduk Samarkand menerima Islam atau membayar jizyah atau berperang. Apabila Qutaibah menjawab tidak, maka hakim mengisytiharkan bahawa tugas mahkamah yang bersidang selesai. Lalu hakim berkata: “Kami (yakni orang Islam) keluar dari rumah untuk berjihad kerana Allah, kami tidak keluar untuk menakluk tanah dan mendudukinya secara tidak adil.”

Seterusnya hakim mengisytiharkan bahawa penaklukan Samarkand oleh tentera Islam adalah tidak sah. Beliau juga memerintahkan agar semua tentera dan orang Islam perlu keluar dari Samarkand dan menyerahkannya kembali kepada penduduk asal sepertimana mereka mula-mula menaklukinya.

Mereka juga dilarang membawa keluar sesuatu pun dari Samarkand. Penduduk Sa­markand pula diberi kesempatan untuk membuat persiapan perang dan kemudian diberi pilihan sama ada untuk berperang atau membayar jizyah atau memeluk Islam.

Dikatakan juga hakim telah mengarahkan semua tentera Islam memohon maaf kepada setiap penduduk Samarkand atas kesilapan penaklukan tersebut. Apabila orang Islam mula me­ninggalkan kota Samarkand, para penduduk serta para sami melihat dengan penuh kagum akan peristiwa tersebut. Rentetan itu dan dengan melihat sendiri akan keadilan yang ditunjukkan oleh orang Islam, para penduduk serta para sami tadi mula mengakui kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan akhir­nya memeluk agama tauhid ini secara beramai-ramai.

Kisah kemasukan Islam ke Samarkand ini sebenarnya amat unik. Bermula daripada khalifah sehinggalah kepada gabenor, hakim, panglima perang, tentera sehinggalah kepada orang biasa, penghayatan akhlak Islamiah terutamanya sifat adil yang ditonjolkan umat Islam telah berjaya menawan hati penduduk Samarkand dan ahli-ahli agama mereka untuk mengakui dan seterusnya menerima kebenaran ajaran suci ini. Alangkah bagus­nya jika akhlak Islamiah ini dapat dihayati kembali sepenuhnya oleh umat Islam pada hari ini. Sudah tentu kesannya amat positif sekali sepertimana yang berlaku kepada Samarkand tersebut.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).