“Ohh, Adibah Amin...” hati saya berbisik. Tiba-tiba saja dia berdiri di depan saya. Saya menatapnya. Inilah kali pertama saya bertatapan mata dengannya. “Alhamdulillah, bagus...” saya menjawab dengan sedikit malu, maklumlah wartawan besar yang menegur. Dia bukan lagi bawa status Gadis Asli atau Gadis Sipu, dua novelet remajanya. Tetapi dia sudah dikenal sebagai guru berpengalaman, wartawan yang penuh karismatik. Novelnya Seroja Masih di Kolam (1968) tak kalah romantisnya. Dia dikenal sebagai pelakon Cikgu Bedah dan kolumnya yang memikat As I Was Passing.

“Apanya yang bagus...”

“Layanannya bagus. Sasterawannya bebas, teaternya mencari diri. Operanya...”

“Ada yang kurang?”

“Siswanya mula belajar sastera Melayu-Indonesia...” Dari bibirnya dia hadiahkan senyuman menguntum. “Ada sarjana A.H. Johns, Harry...”

“Aveling?”

“Juga Li Chuan Siu...” Oh ya saya mula teringat Ranjau Sepanjang Jalan terjemahan Adibah Amin No Harvest But A Thorn, menjadi novel yang popular antara 10 novel di Sydney menurut pembaca akhbar, The Australian. “Tahniah ya novel Shahnon terjemahan Saudara Adibah popular di Sydney.”

“Ohh ya ke...”

Bualan itu singkat tapi mengesankan, kerana Adibah Amin sudi bertukar dialog dengan saya. Seminar itu bersambung dengan kertas kerja Goenawan Mohamad, Ismail Hussein, dan Abdul Hadi W.M. Sayangnya tidak ada penulis wanita yang tampil. Mengapa tidak diundang Adibah Amin? Tentu dia boleh mengajukan pengalamannya menterjemah Ranjau Sepanjang Jalan atau bicara secara bandingan novel wanita Indonesia dan Malaysia ataupun bercerita tentang kesinambungan Gadis Asli, Gadis Sipu sampai ke Seroja Masih di Kolam? Atau makna kemelayuan yang sulit waktu menterjemah puisi Usman Awang, Firdaus Abdullah dan Kemala. Pertemuan saya yang kedua dengan Adibah Amin ialah pada tahun 1976 waktu pertama kali saya dan rakan di Bahagian Sastera DBP menganjurkan Baca Puisi Dunia Kuala Lumpur. Ilham untuk menganjurkan Baca Puisi Dunia ini adalah selepas saya dan Abdul Ghafar Ibrahim mengambil bahagian dalam Struga Poetry Evenings di Yugoslavia. Ratusan penyair mengambil bahagian di sisi Tasik Ohrid yang menghijau. Saya sempat membaca puisi “Emmamalia”. Esok harinya kami akan ke Maktab Perguruan Durian Daun Melaka.

“Saudara Kemala, tahniah...” Adibah menjabat tangan saya. ”Emmamalia menarik...” dia perkenalkan saya kepada Nirmala,isteri penyair Shanmugalingam yang juga seorang pelukis. Dia mahu melukiskan Emmamalia. “Dia minta izin...” Adibah seolah merayu. “Ya, boleh, boleh saya izinkan...” Saya ingin berbual panjang lagi dengan Adibah tetapi selaku Pengerusi BPDKL 1976 saya perlu membawa peserta melawat sekitar Dayabumi dan bandar raya Kuala Lumpur. Saya berharap ada waktu yang lebih sesuai dan panjang untuk bercakap tentang puisi, sastera, cinta dan kemanusiaan yang menjadi tema pertemuan penyair dunia itu. Forum yang pertama ini sebagai memecahkan ketulan ais beku. Selepas ini tentulah ada jalan bagi festival yang lebih meriah dan besar lagi.

Pada tahun 1988 acara yang lebih tersusun dan besar hadir. Pada Baca Puisi Kuala Lumpur sekali ini hadir penyair besar seperti Thomas Shapcott dari Australia, Rendra (Indonesia) dan Bella Akhmadullina dari Rusia. Seramai hampir 40 penyair hadir. Dalam majlis perasmian di Ballroom Pan Pacific hadir sama Adibah Amin.

“Kemala, sibuk ya?”

“Mmm ya,.. ya Cikgu...ehh Adibah”

“Tak mahu lihat lukisan Emmamalia?”

“Ohh tentu mahu..”

“Ikut saya, nanti saya bawa ke rumah Shan...”

Saya amat menyesal tidak dapat memenuhi pelawaan Adibah Amin. Bas peserta akan berlepas ke Melaka. Tentulah mereka mahu Pengerusi festival hadir sama. Hati saya mahu menerima pelawaan Adibah. Inilah masanya saya mahu bercakap lebih panjang. Saya sungguh menyesal. Adibah Amin gah sebagai pengarang dan wartawan dan penterjemah andalan. Dia berguru dengan Pendeta Za’ba sewaktu menjadi siswi di Universiti Malaya di Singapura. Za’ba menyayangi Adibah. Adibah sanggup menunggu sejak pagi lagi di depan pejabat Za’ba, bagi menerima tugasan. Wartawan Negara A. Samad Ismail turut mendidiknya. Dia juga mendapat nasihat daripada Hamka, apa yang patut ditulis. Hamka memesankan agar menulis pengalaman peribadi, hayati watak, renungkan dengan mendalam dan tulis dengan penuh cinta. Keris Mas juga memesankan, apa yang awal kita rencanakan yang terjadi lain daripada apa yang kita hasratkan di akhirnya. Adibah juga akrab dengan Usman Awang, Usman pernah ke Sekolah Seri Puteri berceramah, mereka saling menimba ilham. Adibah menulis pengantar buku kumpulan cerpen Degup Jantung Usman Awang. Dia juga membaca puisi-puisi Tongkat Warrant melalui ruangan Tunas Sastera Radio Malaya Singapura. Novel Adibah Tempat Jatuh Lagi Dikenang terbit pada 1985 dan This End of the Rainbow (2006).
 Adibah Amin dilahirkan pada 19 Februari 1936 di Johor Bahru, terdidik hingga lulus Sarjana Muda Sastera. Ibunya Tan Sri Zainon Sulaiman (Ibu Zain) dan ayahnya Amin Ahmad, Penolong Bendahari Negeri Johor. Dia menerima Anugerah University Book Prize (1956), Asian Journalist of the Year (1979), Ijazah Kehormat Sarjana Sastera , USM (1981), Setia Mahkota Johor (SMJ- 1983), SEA Write Awards (1983), Anugerah Tun Razak (1998) kerana sumbangannya dalam bidang kewartawanan. Adibah Amin bak tiara di mahkota. Dia layak untuk Anugerah Sastera Negara. Mengapa Adibah tidak dimahkotakan?


Ohh, Adibah Amin...” hati saya berbisik. Tiba-tiba saja dia berdiri di depan saya. Saya menatapnya. Inilah kali pertama saya bertatapan mata dengannya...