Dalam tempoh selama itu, dan dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan, situasi itu tidak sepatutnya berlaku. Penggunaan bahasa Malaysia ibarat 'melukut di tepi gantang' di negara sendiri. Sultan dan Raja Melayu sudah banyak kali menegur tentang isu itu tetapi ibarat dipandang sepi sahaja.
Isu itu yang dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini, mendapat sokongan serta reaksi positif daripada Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim. Wartawan Mingguan Malaysia, ABD. AZIZ ITAR dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI sempat menemu bual beliau di ibu kota pada Jumaat lalu.
Wartawan Mingguan Malaysia juga menemuramah Presiden Majlis Bahasa Cina Malaysia, DATUK EDDIE HENG HONG CHAI berkenaan isu sama.

 

 

MINGGUAN: Boleh Tan Sri komen tentang isu integriti bahasa Malaysia yang semakin merosot dan terus diperkatakan hingga saat ini?

RAIS: Banyak tentang perkara ini yang kita perlu terima sebagai hakikat pelunturannya sebagai bahasa komuniti, bahasa ilmu, bahasa perdagangan di samping bahasa lingua franca. Dalam keempat-empat fungsi ini, bahasa Malaysia sudah menurun. Kita ambil satu demi satu.

Pertama sebagai bahasa kebangsaan, kempennya sudah tidak dirasai lagi. Pihak swasta langsung tidak mengambil peranan dan kerajaan sendiri tiada peruntukan khas bagi menjayakan kempen seperti itu. Ini menyebabkan kempen itu hanya dalam lingkungan untuk promosi dalam kalangan pegawai dan murid-murid sedikit sebanyak.

Swasta yang tidak mengambil bahagian dalam hal ini menyebabkan bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan tidak nampak digunakan di bank, dalam perjanjian, pusat-pusat perniagaan dan di mahkamah-mahkamah juga pelaksanaannya ‘luntur’.

Ambil sebagai sebagai bahasa pendidikan atau bahasa ilmu. Siang-siang lagi kita sudah mengaku kalah dengan mengatakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu manakala bahasa Malaysia tidak.

Apakah punca kepincangan itu?

RAIS: Saya dapati salah satu kepincangan kita dalam pendidikan bahasa Malaysia adalah buku nahu bahasa kita mengikut buku nahu buku bahasa orang putih (Inggeris). Salah satu daripada bukunya bertajuk Nahu Bahasa Melayu Mutakhir. Bahasanya bahasa Melayu tetapi strukturnya orang putih. Contohnya, perkataan subjek, predikat dan adjektif. Bak kata orang kampung, ini ‘binatang’ apa? Bukan begitu caranya orang Melayu belajar bahasanya.

Mereka belajar dengan menggunakan perkataan seperti nama dan ganti nama serta benda dan cerita. Seterusnya kepada sifat kata dan sifat nama. Ini latar belakang Pendeta Za’aba (Zainal Abidin Ahmad).

Tetapi sekarang tidak pakai lagi, kononnya sudah moden. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diharapkan sebagai pelopor dan pembaja kepada keaslian bahasa yang indah dan baik pula mempercepatkan proses keinggerisannya.

Jadi apakah jalan penyelesaian? RAIS: Salah satu daripadanya adalah mewujudkan kelas untuk mengajar balik cara bertutur dalam bahasa Malaysia dan di bawah pertuturan itu diadakan pengajaran sebutan.

Selain itu, program-program yang melibatkan ucapan-ucapan penting harus mempunyai sistem. Contohnya kalau perkataan-perkataan itu ada dalam bahasa Malaysia atau dalam perbendaharaan di Nusantara, ambil yang itu dahulu.

Sekarang tidak tetapi terus ambil perkataan-perkataan Inggeris. Perkataan call maknanya panggil tetapi muda-mudi dan orang sekarang tidak menggunakannya lagi. Begitu juga dengan istilah sarapan pagi ramai yang guna breakfast atau makan tengah hari sebagai lunch. Di universiti-universiti sekarang ini saya dapati orang tidak cakap bahasa Malaysia lagi. Kalau cakap pun separuh-separuh sahaja.

Dalam masa 10 tahun lagi, semua perkataan Melayu bakal hilang kecanggihannya. Akan ada perkataan-perkataan Inggeris dalam sebahagian besar ayat-ayat yang digunakan ketika itu nanti. Kalau perkara itu terjadi, maka kita akan berfikir ala Inggeris dan ala orang bukan Melayu. Itulah salah satu caranya bagaimana identiti orang Melayu akan pupus.

Saya berpendapat Malaysia dan Indonesia mesti memikirkan tentang survival bahasa mereka di Nusantara. Jika tidak, dalam tempoh 10 tahun kita akan diinggeriskan sama sekali bahasa kita.

Saya beberapa kali bertemu dengan Menteri Pendidikan dan Alhamdulillah ada minat untuk mempelopori kaedah baharu. Kita mohon agar DBP melihat buku-buku nahu kita balik dan menyisipkan juga apa-apa yang boleh menyorotkan semula hak-hak pusaka yang terdapat dalam bahasa kita.

Dalam pengajaran bahasa mestilah ada guru-guru yang dilatih bagi menggunakan istilah-istilah dan ayat-ayat dalam bahasa Malaysia yang asas. Sekarang guru-guru ini tidak diajar. Jadi, macam mana mereka ini mahu mengajar tentang sebutan.

 

Melihat kepincangan yang ada sekarang, mungkin pembaharuan memerlukan pengorbanan?

RAIS: Jika identiti bahasa mahu dikembalikan ada beberapa pengorbanan yang perlu dibuat. Pengorbanan itu bukanlah besar tetapi mudah iaitu pedagogi pengajaran bahasa Malaysia mesti dipinda.

Buku-buku nahu yang dipakai sekarang juga mesti dipinda. Kita bukanlah mahu mengecilkan sumbangan penulis atau pengarang buku nahu seperti ini tetapi mereka tiada tapisan.

Katakanlah satu nama besar yang menulis buku teks, terus sahaja ia diambil dan dipakai. Saya dapati tapisan kepakaran di Kementerian Pendidikan tidak berfungsi lagi. Ini bahaya besar.

Satu lagi sebabnya, kita segan mahu mengaku bahawa kelemahan itu ada. Sudah sampai masanya kita mengaku kelemahan itu dan cepat-cepat kita memperbaikinya. Sekarang bukan lagi zaman 'ambil barang dan sorok di bawah meja'.

Tengok rakan-rakan Cina kita terus dengan bahasa, tulisan dan universiti mereka. Ayat-ayat mereka tersusun, budaya mereka kental. Mereka tidak pinjam bahasa bangsa lain. Saya minta pihak berkuasa yang menentukan pendidikan di negara ini membuat pelan yang betul.

 

Nampaknya ramai orang tak sedar sekarang adalah Bulan Bahasa Kebangsaan. Apakah ini menunjukkan bahasa Malaysia kian terpinggir di negara sendiri?

RAIS: Ini memang saya setuju. Nama bulan sahaja tetapi terjemahannya daripada segi penglibatan rakyat, swasta dan kaum-kaum bukan Melayu tidak ada. Perancangan tidak nampak. Oleh itu lebih baik jangan adakan kempen seperti itu, tidak perlu lagi. Kalau mahu buat, buat betul-betul.

Sebenarnya, ini adalah kelemahan kita semua. Marilah kita perbaikinya untuk tahun depan atau secepat mungkin. Maksud saya mesti ada kumpulan bukan Melayu yang ramai dan pihak swasta terlibat dalam kempen itu.

Kita harap Kabinet diberi gambaran yang lebih meluas tentang kempen ini. Kalau kempen ‘baju merah’ boleh tarik ramai orang, saya rasa kempen ini juga boleh dilakukan kerana kita juga ada ramai pengikut. Soal bahasa seperti ini semua parti politik boleh sokong dan lantang bersuara.

Bagaimana Tan Sri melihat kepentingan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-ini dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia?

RAIS: Kita kena bersyukur sebab ada sultan seperti baginda yang tidak pernah jemu bercakap soal bahasa dan budaya. Takkanlah kita mahu mengharap kepada baginda seorang sahaja yang bercakap soal bahasa dan mengingatkan kita.

Perkara ini mesti digunakan oleh kuasa politik yang ada. Kalau tidak ia akan jadi lebih panjang lagi nanti. Tetapi kita seolah-olah ‘terlena’ seketika atau mengambil isu secara sambil lewa sahaja. Sekarang sudah sampai masanya kita bangkit semula. ‘Penyakit’ ini saya lihat sedikit sebanyak juga berlaku di Indonesia.

Kalau kita baca suratkhabar mereka hari ini, kita seolah-olah tidak faham lagi. Ia sudah diinggeriskan sama sekali. Kalau boleh saya mahu ikatan muhibah antara Malaysia dan Indonesia yang pernah ada suatu ketika dahulu disambung semula. Kita mesti berani untuk menggembleng semula identiti bangsa Nusantara kita.

Kalau tidak, kita akan ‘tenggelam’ dan hilang ciri-ciri identiti dan sinaran budaya bangsa masing-masing. Macam dahulu kita ada program seperti Titian Budaya antara Malaysia dan Indonesia tapi kos penganjurannya semakin mahal.

Tetapi itu tiada masalah kita boleh minta bantuan kawan-kawan bagi menganjurkannya.

Bercakap tentang kegagalan bukan Melayu menguasai bahasa Malaysia. Di mana silapnya?

RAIS: Tidak boleh salahkan bukan Melayu sebab mereka tengok dalam sekolah kebangsaan pun tidak beria-ia. Kalau di sekolah kebangsaan kita bersungguh-sungguh memupuk bahasa kita, ‘dividennya' akan diterjemahkan di tempat seperti bank dan mahkamah.

Oleh kerana mereka melihat bahasa Malaysia itu sendiri tidak dipandang dan dimartabatkan, jadi mereka pun buat-buat tidak nampak jugalah.

Lebih baik mereka garap penggunaan bahasa Mandarin. Jadi jangan salahkan mereka tetapi yang penting perkasakan bahasa Malaysia di peringkat sekolah kebangsaan terlebih dahulu kemudian barulah kita bercakap tentang sekolah lain.

Ini ada kaitan dengan anak-anak bukan Melayu yang lari dari sekolah kebangsaan ke sekolah Cina. Ada lebih 100,000 anak Melayu yang belajar di sekolah Cina. Ini penanda apa? Jarang sekali kita lihat orang Melayu yang bercakap cara Melayu pada hari ini. Ini salah satu petanda buruk.

 

Apakah situasi yang berlaku sekarang seolah-olah bahasa Melayu sedang ‘menyerap’ bahasa Inggeris agar skop penggunaannya lebih meluas?

TAN SRI DR. RAIS YATIM: Bahasa Inggeris menyerap bahasa-bahasa lain? Bahasa Inggeris sekarang adalah bahasa kolonialisme. Mereka mahu dunia ini diinggeriskan. Ini semua kerja Amerika Syarikat dan Britain.

Beginilah analoginya, orang Cina misalnya menterjemah industri nano dan nuklear ke dalam bahasa mereka sedangkan kita awal-awal lagi sudah mengaku kalah. Kalau macam ini sampai matilah kita tidak boleh melawan revolusi yang sedang melanda itu. Buku-buku teks dengan terjemahan lama banyak yang berhabuk dalam almari tidak dipakai.

Sebab itu industri buku kita berada di tangga yang tercorot pada hari ini. Buku bahasa Inggeris dan Cina yang naik. Nilai bahasa kita macam sudah semakin kurang sekarang ini.

Ibaratnya bahasa kita nanti akan mati tetapi tidak berkubur. Sedangkan ramai orang tidak sedar dengan mengangkat bahasa kita, secara tidak langsung ia mengangkat budaya bangsa kita. Macam matinya tulisan jawi, ia juga suatu pukulan tapi sekarang ini tiada pun rasa terkilan.

Matinya akhbar seperti Utusan Melayu dan Utusan Zaman tetapi tiada pun orang Melayu yang merengek. Raja-raja Melayu harus terasa. Apabila tidak pakai adat-adat Melayu lagi, Melayu tidak ada. Perkara 160 dalam Perlembagaan ada sebut tetapi kalau tiada maka habislah kita.

Mungkinkah bahasa Malaysia kian terpinggir kerana tokoh-tokoh pejuang bahasa semakin berkurangan?

RAIS: Kawan-kawan saya yang memperjuangan bahasa Malaysia tidak ramai tetapi kita masih ada orang seperti Prof. Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Yaapar, Tan Sri Johan Jaaffar dan beberapa orang lain yang boleh bekerjasama dalam hal ini. Tetapi kita perlukan lagi tokoh-tokoh bahasa yang sanggup berjuang termasuklah juga golongan wartawan di akhbar-akhbar arus perdana.

Kalau boleh kita mahu kemukakan cadangan ini sekurang-kurangnya kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya wartawan dapat menjadi pengarang atau pemikir serius dalam isu memperjuangkan bahasa Melayu.

Apabila ada pejuang bahasa ini mereka akan terus-menerus menulis tentang pelbagai isu seperti polemik bahasa dan produk bahasa.

Sekarang ini saya lihat DBP seolah-olah sedang berseorangan, apatah lagi orang yang menjadi ‘penghulu’ di DBP sekarang ini sudah tidak seberapa gaya ‘silatnya’.