Mengurus kehidupan dengan jiwa kehambaan yang tinggi memperlihatkan pertautan hubungan dengan Allah dan hikmahnya memberi manfaat kepada manusia. Jiwa rukuk dan sujud yang terbina dalam solat sewajarnya menjadikan kita manusia yang taat, akur, patuh dan tunduk kepada suruhan-larangan Allah dan menyebabkan kemakrufan terjadi.

Kemakrufan ini sangat penting disuburkan dalam amalan harian kita. Ibadah yang sifatnya rohaniah lazimnya terhubung dengan ibadah yang sifatnya zahiriah. Semakin tinggi kedekatan kita dengan Allah semakin taat kita kepada-Nya dan semakin kuat pedoman dan upaya kawalan yang kita miliki.

Ada empat faktor yang terkait bagi mencapai status ibadah. Pertama, niat kerana setiap amal mesti bermula de­ngan niat. Niat yang jujur dan dilakukan kerana-Nya bakal membawa natijah yang baik. Niat itu tercetus dari hati. Hati yang disuburkan dengan hubungannya dengan Allah ia bakal mencetuskan niat yang baik dan makruf. Orang yang sentiasa mengingati Allah (zikrullah) dalam erti kata yang luas akan sentiasa mengingati Allah dalam melakukan sesuatu perbuatan.

Kedua, matlamat dalam niat. Niat dari hati yang bersih bakal menghasilkan matlamat dalam sesuatu ibadah yang bersih jua. Niat dari hati yang tidak bersih dan ikhlas boleh menyebabkan amalan berada dalam keadaan me­nyimpang. Jika ini terjadi perbuatan dan amalan tidak dalam reda Allah. Matlamat dalam sesuatu amalan harus selari dengan niat dan tidak bercanggah dengan syariat.

Ketiga adalah proses bagi menyempurnakan niat dan menyampaikan matlamat. Ia amat mencabar dan memerlukan iman yang kuat dan takwa yang tinggi. Apa pun pendekatan yang diambil harus senafas dengan syariat. Syariat dalam maksud yang luas mentertibkan niat dan matlamat supaya kemakrufan terjadi dan amal soleh berlaku.

Faktor proses ini adalah sangat mencabar. Di samping iman dan takwa ia memerlukan kekuatan dan penghayatan ilmu yang benar dan bermanfaat supaya memahami situasi, mencari strategi bijak dan memiliki upaya maslahah yang tinggi serta bersandar kepada nas yang syarie dijadikan pedoman. Asas ini penting kerana antara prinsip dan realiti, cabaran memerlukan kebijaksanaan dan kaedah yang tidak bercanggah supaya maslahah ke arah kebaikan dan kemakrufan sentiasa jadi pertimbangan.

Keempat adalah hasil dari niat, matlamat dan proses. Kalau niatnya baik, matlamatnya menyimpang tidaklah dilihat sebagai suatu ibadah. Hal yang sama juga jika ­niat­nya baik, matlamatnya jelas tetapi prosesnya bercanggah dengan syariat tidak juga menepati maksud suatu ibadah. Empat faktor itu penting supaya ibadah yang sifatnya rohaniah dan amaliah dalam erti kata yang luas berlaku dan memberi kesan baik kepada diri dan kehidupan.

Matlamat akhir dalam melakukan ibadah adalah memperlihatkan sifat ketaatan yang tinggi kepada Allah dan hikmahnya kembali kepada manusia. Beriman dan memiliki rasa takwa kepada Allah menyebabkan kita bercakap benar kerana berbohong adalah suatu dosa, menyebabkan kita rajin bersedekah kerana ia adalah sifat ihsan yang terpuji, menyebabkan kita menjadi amanah kerana orang yang amanah memiliki sifat takwa yang tinggi, menyebabkan kita berlaku adil kerana menzalimi itu dimurkai Allah.

Jadi, sangat penting setiap amalan dan perbuatan terhubung dengan Allah. Bercakap hal yang benar, tidak ­melakukan persepsi kepada hal yang belum pasti boleh menimbulkan fitnah. Buruk sangka secara melulu kerana emosi yang tidak dikawal dan rasa kebencian yang meluap-luap bukan senafas dengan maksud ibadah.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).