Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Ibadah korban tanda bersyukur

IBADAH korban menyerlahkan nilai persaudaraan dan ukhuwah Islamiah
IBADAH korban menyerlahkan nilai persaudaraan dan ukhuwah Islamiah dengan saling bantu membantu antara satu sama lain. GAMBAR HIASAN

BULAN Zulhijah termasuk bulan mulia yang ada keistimewaan tersendiri. Yang mana ketika ini jutaan tetamu Allah SWT, berwukuf di Arafah yang adalah ­kemuncak ibadah haji. Seterusnya pada hari-hari Tasyrik mereka ini akan berkampung di Mina untuk menyelesaikan kerja-kerja haji sebelum kembali semula ke Mekah untuk melakukan tawaf dan saie haji.

Keistimewaan tersebut dikuatkan lagi dengan kenyataan betapa Allah SWT amat mencintai segala amalan kebajikan yang dilakukan pada 10 hari pertama bulan Zulhijah sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: “Tidak ada satu hari pun yang amalan soleh pada hari itu lebih di­cintai Allah daripada 10 hari ini (10 hari pertama Zulhijah).”

Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, tidak juga jihad (perang) di jalan Allah?” Jawab Nabi SAW: “Dan tidak juga jihad di jalan Allah, kecuali orang yang keluar berjihad bersama hartanya dan nyawanya dan dia tidak kembali dengan satu pun daripadanya.” (Riwayat Imam Al-Bukhari, Al-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Sehubungan itu, masyarakat Islam diajak untuk memenuhi tempoh yang singkat ini dengan mengerjakan segala amalan kebajikan jauh daripada terlibat melakukan gejala dosa dan maksiat yang menyebabkan manusia semakin jauh daripada petunjuk dan hidayah Allah SWT.

Misalnya, dengan berpuasa sunat sepanjang tempoh ini bagi yang berkemampuan. Atau pun berpuasa sunat pada Hari Arafah bagi meraih ganjaran penghapusan dosa yang dijanjikan oleh-Nya. Perbanyakkan juga usaha untuk berzikir, bertahmid dan bertakbir mengagungkan Allah SWT, atau setidak-tidaknya berhentilah daripada memburuk-burukkan orang lain atau menyebarkan berita-berita palsu yang termasuk daripada kerja buruk golongan fasik.

Pada Hari Nahar iaitu Hari Raya Korban dan hari-hari Tasyrik umat Islam digalakkan untuk menyem­belih binatang korban sebagai mengikuti sunah Nabi Ibrahim A.S yang pertama kali diperintahkan oleh Allah SWT untuk melakukan ibadah korban. Malah kesanggupan Nabi Ibrahim melaksanakan segala perintah Allah termasuk perintah untuk menyembelih anak yang disayangi elok dicontohi oleh kaum Muslimin dengan turut menyembelih binatang ternakan.

Nabi SAW bersabda maksudnya; “Tidaklah salah seorang anak Adam beramal pada Hari Nahar (Aidiladha) dengan sebuah amalan yang lebih dicintai oleh Allah SWT daripada mengalirkan darah (menyembelih binatang korban), dan sesungguhnya (binatang sembelihan) akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, kukunya, dan bulu-bulunya. Dan sesungguhnya darah korban tersebut sampai kepada Allah, sebelum mengalir ke tanah.” (Riwayat Ibnu Majah dan al-Tirmizi).

Namun apabila diteliti bukan mudah untuk melaksanakan sunah ini. Ramai yang lebih seronok menghadiri program menyembe­lih binatang korban yang meriah diadakan di sana sini. Terdapat juga berebut-rebut ingin mendapatkan daging korban selain ada pula yang saban tahun mempersoalkan pengurusan agihan daging korban yang dikatakan tidak sistematik, tidak adil dan sebagainya.

Dalam hal ini masyarakat Islam diajak merenung falsafah di sebalik pensyariatan ibadah korban yang antaranya bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT yang memerintahkan manusia untuk mengerjakan solat dan berkorban sebagaimana firman-Nya: “Maka solatlah untuk Tuhan mu dan sembelihlah (berkorban).” (Terjemahan Surah al-Kauthar ayat 1).

Selain itu, pensyariatan ibadah korban sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat kurniaan Ilahi yang tidak putus-putus kepada semua makhluknya. Tentu sahaja tidak molek apabila sepanjang tahun seronok menikmati segala gaji dan rezeki, nikmat panjang umur, nikmat sihat tubuh badan dan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya tetapi tidak sanggup berkorban walaupun satu bahagian lembu dengan bayaran yang tidak seberapa.

Ibadah korban juga menunjukkan nilai persaudaraan dan ukhuwah Islamiah dengan saling bantu-membantu antara satu sama lain. Ini sekali gus menghindari sifat mazmumah pentingkan diri sendiri dan tidak mengambil berat kesusahan saudara seagama. Dalam hal ini usaha sesetengah masyarakat melakukan ibadah korban di negara minoriti umat Islam mahu pun di negara yang umat Islam menghadapi masalah kebuluran dan kekurangan makanan adalah sesuatu yang terpuji dan elok dicontohi.

Lebih dari itu, umat Islam diajak memperluaskan erti korban dengan mengorbankan jiwa raga, wang ringgit, pemikiran dan tenaga untuk mempertahankan agama dan akidah umat daripada sebarang penyelewengan dan kerosakan. Usah mudah terpengaruh dengan fahaman yang menyimpang yang banyak tersebar di media sosial masa kini.

Korbankan masa dan wang ringgit untuk mendalami ilmu agama dengan banyak menghadiri majlis ilmu dan kuliah agama sehingga dapat membezakan yang betul dan salah. Masyarakat Islam diajak berpegang teguh dengan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah dan mengamalkan syariat berpandukan ajaran benar.

Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan juga, seluruh anggota masyarakat diajak berkorban mempertahankan agama, bangsa dan negara daripada sebarang pencerobohan dan anasir tidak sihat. Seluruh masyarakat Islam diajak bersatu mempertahankan nikmat keamanan dan keselesaan untuk mengamalkan segala ajaran agama tanpa menafikan hak masyarakat lain untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing. Untuk itu, budaya toleransi dan saling memahami hendaklah terus disemai dan dibaja sepanjang masa.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Pasir Gudang, Johor.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain