Secara peribadi saya tidak mengenali netizen ini namun tahu mereka sudah berkahwin. Posting daring itu dipercayai sebagai gurauan rentetan pengumuman Bajet 2018 di bawah ‘belanjawan eratkan kasih sayang suami isteri’.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan mengumumkan berita gembira buat pasangan suami isteri apabila setiap anak Malaysia yang dilahirkan bermula 1 Januari depan sehingga 2022 akan diberi ‘hadiah’.

‘Hadiah’ RM200 dalam bentuk unit saham amanah, dikenali sebagai Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50), iaitu skim pertama kali diperkenalkan di negara ini di bawah Permodalan Nasional Berhad, ­sememangnya mendorong ramai untuk beranak.

Turut diumumkan beberapa keistimewaan buat pasangan suami isteri. Antaranya penjawat awam wanita me­ngandung lima bulan ke atas dan suami yang bekerja dalam sektor sama dibenarkan pulang rumah sejam lebih awal.

Lebih mengujakan penjawat awam wanita diberikan cuti bersalin selama 90 hari! Bak kata seorang teman: “Untunglah jadi orang ‘gomen’. Bukan saja dia, malah saya pun terdetik rasa menyesal pula tak minta kerja dengan kerajaan dulu.

Biarpun Perdana Menteri ada menyebut pekerja swasta wanita berkahwin juga berpeluang menikmati keistimewaan cuti mandatori 90 hari berbanding 60 hari ketika ini, namun ia masih di peringkat cadangan untuk dipertimbangkan majikan.

Mungkin boleh tetapi realitinya sukar untuk dilaksanakan oleh sesetengah majikan. Dalam bab cuti ini, teringat pula kisah cuti sakit saya kerana menghidap chicken pox dipersoal bekas majikan terdahulu. Katanya tak ada orang dan saya perlu datang ke pejabat.

Nak tak nak, saya dalam keadaan sakit dan tidak selesa terpaksa juga bekerja memandangkan di unit kami ketika itu kekurangan staf dan banyak projek perlu diselesaikan. Nasib baiklah saya mempunyai bilik sendiri dan tak risau sangat menjangkiti staf lain di pejabat.

Itu antara kekangan dihadapi majikan sektor swasta, lebih-lebih lagi tatkala ekonomi yang tak menentu pasti menyekat mereka untuk menambah bilangan pekerja.

Beberapa kerisauan juga timbul jika kerajaan mewajibkan majikan swasta memberi kemudahan cuti bersalin tiga bulan kepada pekerja wanita mereka. Antara ditakuti, wanita berkemungkinan menjadi mangsa diskriminasi gender dalam sektor swasta.

Dikhuatiri banyak syarikat akan menolak untuk mengambil wanita bekerja memandangkan cuti bersalin 90 hari adalah tempoh yang agak lama untuk menunggu mereka kembali bekerja. Siapa pula yang akan mengambil alih tugasan wanita tersebut?

Sekali pun syarikat mampu, mereka terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk mengupah pekerja sampingan bagi menyelesaikan kerja wanita bersalin itu. Hal ini tentu merugikan syarikat.

Sebenarnya banyak faktor perlu dikaji jika kerajaan benar-benar mahu melaksanakannya bagi menghargai sumbangan pekerja wanita terutama sektor swasta dalam membantu menjayakan pembangunan negara.

Antaranya, Kementerian Sumber Manusia boleh memantau dan menyimpan rekod bilangan kakitangan wanita di sesebuah syarikat. Penurunan mendadak bilangan pekerja wanita perlu disiasat untuk memastikan tiada diskriminasi gender berlaku atas apa jua alasan.

Satu perbincangan khas perlu diadakan dengan wakil majikan swasta bagi memperincikan pelaksanaan cuti bersalin tiga bulan untuk pekerja wanita. Sebagai penyelesaian, perlu ada win-win situation.

Selain itu, mungkin juga boleh difikirkan kebajikan pekerja wanita bujang, baik di sektor awam mahupun swasta, yang masih menjaga ibu dan bapa tua. Harapnya golongan itu tidak dipinggirkan hak mereka untuk mendapat kuota cuti khas mengurus orang tua mereka ketika jatuh sakit.

Berkaitan isu sama, diharapkan kerajaan juga dapat mempertimbangkan untuk memberi cuti wajib beberapa hari kepada golongan bapa seperti mana dinikmati kaum lelaki di luar negara yang mendapat cuti khas sehingga dua minggu bagi menguruskan isteri bersalin dan anak yang baharu lahir.