Dalam tayangan antara 90 hingga 180 minit, filem akan cuba membawa penonton ke satu dunia tersendiri, dan khalayak akan dihiburkan secara kreatif seperti apa yang mampu dilakukan oleh Maleficent. Ia bukan sekadar mewakili idea kreatif, cerita sejarah atau fiksyen tetapi dilayarkan untuk motif dan justifikasi tertentu.

Idea itu juga boleh mewaki­li realiti yang sering terjadi dalam masyarakat disebabkan sikap-sikap negatif segelintir ahli masyarakat, yang menatijahkan keburukan tertentu, lantas filem memperlihatkan pengajaran supaya masyarakat terus melindungi dan mempertahankan keamanan untuk hidup dengan tenteram. Filem juga barangkali sebuah karya satira untuk golong­an tertentu dalam masyarakat, sehingga mungkin mesej-mesej tertentu mahu disampaikan kepada pihak pemerintah.

Namun ada filem yang bukan sekadar amat menghiburkan, yang mampu menggondol pelbagai anugerah dalam festival-festival filem, malah memberi perubahan kepada masyarakat dan melakar sejarah baharu dalam kemanusiaan. Sehingga ada yang dikejutkan daripada lena oleh hanya sebuah filem!

Ketika Cinta Bertasbih contoh­nya adalah filem yang sangat memberi kesan kepada sebahagian ahli masyarakat. Mana tidaknya, filem ini mampu mendorong sebahagian ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama untuk belajar untuk belajar agama. Itulah kesan sebuah filem yang mampu mempengaruhi corak pemikiran masyarakat jika dipersembahkan dengan kerja seni yang halus dan bermutu tinggi.

Silenced pula adalah sebuah filem yang pada pandangan penulis memberi impak yang amat mendalam dalam dunia kemanu siaan, terutamanya dalam usaha membawa suara kanak-kanak malang untuk mendapatkan keadilan dan pembelaan.

Filem yang turut dikenali sebagai The Crucible ini terhasil berdasarkan kisah benar yang sebelum itu menemui khalayak dalam bentuk novel. Merakam tragedi, pengalaman ngeri dan traumatik sebahagian anak malang yang belajar di sebuah sekolah khas untuk anak-anak kurang upaya pendengaran. Sudahlah anak-anak ini tidak sempurna atau normal, mereka kemudiannya mengalami penderaan seksual yang dilakukan oleh sebahagian guru mereka sendiri serta pengetua, dan dise­nyapkan oleh pentadbiran sekolah.

Bayangkanlah bagaimana selama (sekurang-kurangnya) lima tahun mereka melalui mimpi ngeri dan derita yang panjang. Tidak mampu menjerit kuat seper­ti anak-anak normal yang lain, mengadu atau meluahkan rasa tentang kebejatan sikap manusia yang boleh diibaratkan sebagai ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Watak-watak syaitan bertopengkan manusia itu mereka lakonkan dengan jaya­nya sementelah anak-anak ini tidak mampu bersuara. Kezaliman yang me­langkaui sifat kebinatangan itu dilakukan secara berulang-ulang selama tempoh itu.

Walau bagaimanapun takdir­nya, seorang guru seni yang mempunyai kemahiran untuk berkomunikasi secara isyarat berpindah untuk mengajar di Gwangju Inhwa School tersebut. Di sinilah pintu harapan mula terbuka untuk anak-anak malang ini. Namun ia bukan perjuangan yang mudah apabila perlakuan jijik yang cuba dihadapkan ke mahkamah, tidak diadili selayaknya disebabkan kelemahan dari sudut perundangan. Mereka yang dituduh menerima hukuman tetapi tidak setimpal dengan perbuatan yang telah dilakukan. Dalam mencapai keadil­an, perjuangan ini mengorbankan seorang mangsa yang kemudiannya membunuh diri disebabkan kemurungan melampau.

Walau bagaimanapun, apabila Silenced berjaya dihasilkan dan ditayangkan di layar perak bagi tatapan masyarakat Korea Selatan pada ketika itu, ia benar-benar mencetuskan fenomena. Filem ini berjaya membakar hati penonton dan masyarakat Korea keseluruhannya. Mengejutkan banyak pihak yang sengaja lena dan tidak prihatin kerana di sebaliknya wujud kronisme dan ra­suah dalam penguatkuasaan.

Filem ini menemui penonton pada 22 September 2011 selepas tragedi itu berlaku dalam awal tahun 2000 hingga 2005. De­ngan lebih empat juta penonton menonton karya benar dan me­nyakitkan itu, lewat Oktober 2011 Korea Selatan membuat perubah­an besar terhadap perundangan mereka demi melindungi hak kanak-kanak dan kanak-kanak kurang upaya. Malahan, guru-guru asing yang ingin berkhidmat di Korea Selatan juga terlebih dahulu akan diperiksa rekod perkhidmatan dan latar belakang mereka.

Seterusnya, selepas dua bulan filem ini ditayangkan dan mencetuskan kontroversi, pihak Bandaraya Gwangju secara rasminya menutup sekolah berke­naan pada November 2011. Pada tahun berikutnya, penjenayah terbabit dijatuhkan hukuman le­bih berat dengan tuduhan serang­an seksual dan penderaan secara fizikal. Bukan itu sahaja, rahsia lama yang berkaitan satu-persatu tersingkap dan terbongkar pe­nangan filem berkenaan.

Jika filem yang elemen utamanya adalah hiburan, tetapi mampu menerjah dan menempelak khalayak sehingga perubahan drastik dapat dilaksanakan tentunya perkara ini sewajarnya mampu mengajar kita untuk me­laksanakan peranan kita sebagai khalifah muka bumi ini sebaik yang mungkin.

Baginda Rasulullah SAW menjelaskan bahawa manusia yang terbaik itu adalah yang paling memberi manfaat dalam kalangan manusia. Sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ahmad, Thabrani, Daruqutni, dan kemudiannya hadis ini dihasankan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’.

Memberi manfaat adalah sebahagian daripada perbuatan atau kerja. Apabila dihubungkan de­ngan maksud firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 105 memberikan kefahaman bahawa yang harus dilakukan manusia itu adalah tindakan-tindakan yang boleh memberikan manfaat kepada masyarakat dengan pelbagai pendekatan. Setiap manusia mempunyai kelebihan dan keupayaan tertentu yang boleh dimanfaatkan demi kehidupan yang sejahtera.

Allah SWT tidak melihat pada kejayaan usaha kerana keberhasilan itu adalah milik-Nya secara mutlak. Persis cerita tentang filem tadi, bahawa manusia harus mengusahakan sesuatu demi kebaikan, atau membuang keburukan yang berlaku menurut kebolehan dan kemampuan yang dimiliki. Jika medium yang fungsi asasnya adalah untuk menghiburkan, tetapi mampu memberi impak kepada kehidupan manusia, tentulah setiap individu itu boleh berfikir untuk memberi sumbangan yang terbaik kepada kehidupannya.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).