sampai akhir nanti
Oh biar rasa ini
Tersimpan hanya untuk aku
Kamu saja tahu
Oh biar rasa ini
Hanya sekadar engkau tahu
aku ada bila perlu
Kita saja tahu...

Itu antara bait lagu Haram nyanyian penyanyi terkenal Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah. Jika diamati lirik ini, ia mengenai hubungan pasangan kekasih yang menjalinkan percintaan secara rahsia.

Ia mungkin terjadi antara pasangan telah berkahwin tetapi mempunyai ‘kekasih gelap’ tanpa pengetahuan pasangan masing-masing.

Selalu kita dengar kes seumpama ini melibatkan suami orang ‘memasang’ skandal dengan perempuan lain. Betul ke orang kata bercinta dengan suami orang ni best?

Cekmek Molek ada kawan sebegini. Katanya, pada mulanya, tidak ada sekelumit pun niat untuk kacau suami orang. Tetapi perasaan cinta itu hadir tanpa sedar selepas mereka yang bekerja dalam satu pejabat sering bersama atas faktor tugasan.

Mereka selalu berkongsi masalah. Kadang-kadang si lelaki itu bercerita mengenai masalah rumah tangganya. Mulanya hanya rasa kasihan dan cuba memberikan nasihat, tetapi akhirnya simpati bertukar jatuh hati.

Entah macam mana rasa serasi pula dan saling memerlukan. Bila salah seorang tiada, rasa hidup tidak keruan dan perasaan rindu mula menjengah pintu hati.

Dan si lelaki pula, seperti ‘orang mengantuk disorongkan bantal’. Bila dah ada orang yang terlebih take care, la­yanan bertaraf lima bintang, segala-galanya rasa lebih nikmat dan bahagia berbanding bersama isteri sendiri. Dan mulalah nak membandingkan antara isteri sendiri dengan kekasih gelap itu.

Dalam hal ini, masyarakat tentunya menuding jari kepada perempuan itu yang dikatakan sengaja menggoda suami orang.

Mungkin ada benarnya kerana jika perempuan itu tidak melayan, pasti hubungan terlarang itu tidak terjadi. Jadi sebelum anda dilabel ‘pengacau’ rumah tangga orang, sila fikir dahulu perkara-perkara ini.

Pertama, si suami itu pasti akan terlibat dalam penipuan dengan isterinya semata-mata untuk berjumpa anda. Dan sikap ini mungkin akan diulangi dalam perhubungan kamu berdua nanti.

Kedua, sebagai wanita, sanggupkah anda mengecapi kebahagiaan di atas penderi­taan wanita lain? Lebih-lebih lagi apabila isteri ‘kekasih’ anda memiliki anak-anak?

Ketiga, fikirkan soal komitmen lelaki itu. Bukan sahaja soal kewangan, tetapi bolehkah dia dapat memenuhi tanggungjawab dan pembahagian masa yang adil antara isteri-isterinya nanti?

Keempat, hubungan anda dan dia terpaksa dirahsiakan. Anda tidak bebas untuk ke mana-mana kerana bimbang diketahui orang lain. Perihal kebebasan ini Cekmek Molek sudah bincangkan dalam kolum yang lepas.

Kelima, tolong ‘jual mahal’ sikit. Jika si suami orang itu benar-benar ikhlas memperisterikan anda, minta dia berte­rus-terang dengan isterinya.

Keenam, anda akan sering makan hati dalam perhubu­ngan kerana pastinya dia akan mengutamakan isterinya. Lebih parah, kamu akan di­tinggalkan terkontang-kanting selepas bertahun-tahun menjalinkan hubungan apabila dia akhirnya tidak sanggup untuk memadukan isterinya.

Oleh itu, fikir semasak-masaknya sebelum terjerat dalam percintaan terlarang. Walaupun lelaki boleh beristerikan lebih seorang, tetapi periksa dahulu tahap kejujuran suami orang itu sebelum terlajak mencintai dia.