Dalam keadaan ini sebagai orang Islam kita diajar menerima apa yang datang sebagai rezeki. Konsep reda atau sebutan pasarnya redho membuatkan kita pantas bersyu­kur dan menerima apa pun dugaan dan ujian mendatang dengan berlapang dada atau secara positif, walau hakikatnya hendak meredai sesuatu tidak semudah menuturkannya.

Mulai 1 Ogos lalu penulis ditugaskan ke Unit Media Baharu, unit yang asing bagi penulis yang lebih 20 tahun berkhidmat dengan media cetak. Bercakap tentang media baharu, hanya satu benda yang dapat penulis kaitkan dengan penuh yakin iaitu internet.

Internet pada pendapat penulis adalah ciptaan teknologi paling bijak oleh manusia yang telah mempermudah dan mempercepatkan proses penyampaian informasi atau maklumat dan berkomunikasi.

Internet dikaitkan dengan pelbagai gajet atau peranti moden seperti komputer riba, tablet dan telefon pintar, yang kesemuanya menjadi alat media baharu.

Lawan kepada media baharu sudah tentulah media lama atau lebih tepatnya media konvensional. Contoh­nya, media cetak iaitu surat khabar, majalah dan buku, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio.

Apa yang membezakan media konvensional dengan media baharu? Tentulah medium penyampaiannya yang tidak lagi bercetak seperti akhbar mahupun bersiaran menggunakan pemancar seperti stesen televisyen RTM, TV3 dan lain-lain mahupun radio. Contohnya, akhbar Utusan Malaysia edisi cetak adalah media lama/konvensional manakala edisi online atau dalam talian dipanggil media baharu.

Zaman ini orang tidak lagi membaca akhbar tetapi membaca gajet ~ demikian kata Datuk Abd. Jalil Ali dari Sinar Harian pada sidang meja bulat editor baru-baru ini.

Ternganga penulis men­dengar kata-kata beliau. Kesempatan menghadiri si­dang tersebut atas undangan Wan Infra membuka mata penulis terhadap realiti evolusi industri media yang sedang berlaku di depan mata.

Bukan lagi rahsia apabila bidang penerbitan atau lebih khususnya persuratkhabaran dianggap sebagai sunset industry atau industri yang menunggu masa untuk terbenam bak mentari senja.

Orang ramai tidak lagi membeli suratkhabar. Dalam keadaan kos sara hidup agak tinggi, golongan marhaen yang berpendapatan cukup makan akan mengetepikan perbelanjaan kurang penting, atau menggantikan produk seakan-akan pada harga lebih murah atau lebih baik lagi secara percuma.

Memandangkan rata-rata rakyat Malaysia memiliki te­lefon pintar malah ada kajian mendakwa majoritinya mempunyai lebih daripada dua gajet, tidak dapat dielakkan lagi ramai yang beralih mencari maklumat berita di hujung jari.

Akhbar seperti Utusan Malaysia, The Star dan New Straits Times mungkin mempunyai sejarah panjang antara yang tertua dalam bidang penerbitan/persuratkhabaran di negara ini, namun dalam dunia media digital ketiga-tiganya adalah pemain baharu atau jika tidak ke­terlaluan dianggap - budak mentah dalam industri.

Portal berita propembangkang Malaysiakini yang beroperasi lebih sedekad lalu mungkin tidak salah dikatakan yang paling berpengalaman dalam industri media baharu di negara kita. Mungkinkah istilah media arus perdana akan ditafsir semula 10 atau lima tahun lagi?

Beberapa hari selepas berpindah ke Unit Media Baharu, penulis berkesempatan bersembang dengan sekumpulan anak muda. Sengaja memancing pendapat mereka, penulis dengan merendah diri mengakui agak cetek pengetahuan tentang media baharu.

“I am a ‘New Kid on The Block’ in this industry,” kata penulis ramah. Anak-anak muda itu memandang penulis dengan muka tercengang. Agak lama baharulah salah seorang daripada mereka bersuara; “New Kid on The Block? Aunty you are so...old.”

Ungkapan yang membuatkan penulis tersentak dan benar-benar sentap. Nampaknya banyak lagi yang penulis perlu belajar. Bak kata anak-anak muda itu, media baharu mestilah mudah, segar dan terkini.

Menurut mereka dalam penerangan panjang lebar kepada penulis, apa yang dikatakan media baharu itu bukan sekadar portal berita yang boleh diakses dalam talian atau interaksi media sosial menerusi Facebook, Twitter dan sebagainya.

Banyak benda dan perkara yang biasa orang seangkatan penulis lakukan dahulu seperti menonton wayang di panggung dan membeli CD penyanyi kesukaan di kedai muzik, tidak payah lagi anak-anak muda kini bersusah-payah secara fizikal mendapatkannya.

Semuanya boleh dibeli, dimuat turun atau dilayari secara maya menerusi internet. Malahan membeli-belah pun sudah tidak perlu ke pasar raya lagi. Media baharu mengubah segalanya.

Syarikat dan staf selaku pengamal media di dalam­nya perlu mengubah modus operandi daripada mengejar hanya satu offstone sehari. Industri media baharu khususnya berkaitan penyebaran berita kata kuncinya mestilah segar, ringkas, pantas dan terkini! Berita tertangguh dalam dunia media baharu adalah berita yang sudah basi.

Justeru media konvensional yang hendak bertukar operasi menjadi media baharu, tidak boleh lagi bertingkah-laku seperti sebelumnya. Sebaliknya perlu pantas mencari berita dan maklumat lantas menyalurkannya kepada pelayar portal berita atau laman sesawang seringkas dan secepat mungkin.

Dalam hal ini, para pengamal media terlibat termasuk penulis tidak boleh berlengah-lengah lagi. Perubahan yang berlaku harus didakap dan dihadamkan serta diterima secara positif jika tidak mahu ketinggalan dalam serba-serbi.
Bagi penulis pula secara peribadi, tidak sanggup rasanya dikatakan ‘sudah terlalu tua’ sekali lagi.