Turun naik harga barang sentiasa menjadi topik hangat dibincangkan oleh orang ramai dan ia merupakan salah satu perkara yang penting. Ia suatu fenomena berlaku di seluruh dunia, jadi apa tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah tersebut?

Di KPDNHEP, aktiviti pengawalan harga barang aktif dilaksana sejak 2011 dengan menguatkuasa Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Barangan asas di negara ini sememangnya dikawal, malah ditetapkan juga harga silingnya dan tidak ada mana-mana kerajaan yang berbuat sebegitu. Contohnya, harga gula dikawal di bawah undang-undang.

Cubalah melawat ke negara-negara jiran, lihat berapakah harga gula yang jauh lebih mahal berbanding harga kita tetapkan dalam negara.

BEKALAN TIDAK PUTUS

Selain kawalan harga, stok bekalan barangan yang mencukupi juga menjadi keutamaan kementerian. Barangan asas seperti gula, tepung, minyak masak, minyak petrol, diesel serta pelbagai lagi perlu sentiasa dipastikan mencukupi.

Tiada gunanya jika kita kawal harga namun stok tidak mencukupi. Kita perlu pastikan keperluan rakyat mencukupi sepanjang masa tanpa putus. Jika tidakcukup, kerajaan akan import.

Bahkan kementerian telah dimaklumkan oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi selain penetapan kadar harga yang dibuat perlulah berpatutan.

Kita juga tidak boleh menetapkan harga di bawah harga kos dalam usaha membantu rakyat kerana tindakan itu akan menganiayai penjual, pengedar dan seluruh rantaiannya.

ADUKAN KEPADA KPDNHEP

Jika sebelum ini pelbagai kerenah birokrasi perlu dilalui oleh pengguna dalam membuat sebarang aduan, namun kini tiada lagi. Kementerian hari ini membuka beberapa saluran untuk memudah pengguna membuat sebarang aduan.

Antaranya aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317. Ambil gambar dan hantar apa sahaja aduan seperti caj keterlaluan dan penipuan barangan yang dihantar tidak ikut spesifikasi. Namun mestilah terperinci agar mudah untuk pihak kami mengambil tindakan.

Tiada lagi tembok yang menghalang rakyat untuk terus berhubung dengan kita. Jadi, tiada alasan jika orang ramai tidak boleh membuat aduan. Selain WhatsApp, orang ramai juga boleh menggunakan saluran seperti e-mel, laman web, surat atau datang sendiri ke kementerian.

Kementerian juga telah mengaktifkan semula Majlis Tindakan Kos Sara Hidup yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sekali gus menunjukkan betapa seriusnya kementerian mahu isu kos sara hidup rakyat diatasi.

Dalam majlis tersebut, kita bahagikan isu kos sara hidup kepada enam kluster iaitu perumahan, pengangkutan, utiliti, kesihatan, pelajaran dan makanan yang memerlukan kerjasama kementerian-kementerian yang berkaitan.

INISIATIF TABUNG MAKANAN DI UNIVERSITI

Kementerian hari ini telah memperluaskan program tabung makanan (food bank) yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan orang ramai. Ia dilihat berkesan dalam membantu golongan yang amat memerlukan selain memastikan tiada pembaziran makanan berlaku dalam negara. Kita juga sedang memperluaskan program ini ke universiti.

Sebuah yayasan khusus dinamakan Yayasan Tabung Makanan bagi mengendalikan program tersebut ditubuhkan sambil dibantu badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Food Aid Foundation, Kenchara Soup Kitchen dan Mutiara Food Bank.

Buat masa ini kementerian bekerjasama dengan empat buah universiti iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan akan diperluaskan ke universiti-universiti awam lain seluruh negara.

i-KeeP BANTU RAKYAT

Kementerian turut memberi perhatian kepada golongan pertengahan yang juga merasai himpitan kos sara hidup dengan mewujudkan Kedai Ekonomi Pengguna (i-KeeP) yang menawarkan harga barang keperluan harian lebih rendah. Kita telah memiliki hampir 304 premis i-KeeP di seluruh Semenanjung dengan lebih 100 jenis produk (SKU).

Kerajaan terdahulu hanya melantik sebuah syarikat sebagai penggerak program yang sama namun bagi i-KeeP, program ini dibantu oleh enam rakan strategik yang juga merupakan syarikat peruncitan yang berpengalaman dan berkeupayaan.

Konsep i-KeeP bukan buka kedai tetapi barangan yang terpilih akan diletakkan di pasar raya sedia ada namun menawarkan kadar harga yang berpatutan.

Pada fasa seterusnya, i-KeeP juga akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada fasa seterusnya dan menyasarkan sekitar 500 premis i-KeeP di seluruh negara menjelang 2020.

BERDEPAN cabaran ekonomi masa kini, kerajaan tidak pernah berdiam diri. Dalam pertemuanbersama wartawan Utusan Malaysia, ASHRIQ FAHMY AHMAD dengan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), DATUK MUEZ ABD. AZIZ baru-baru ini, beliau menjelaskan bahawa keluh-kesah rakyat terhadap kos sara hidup sentiasa mendapat perhatiannya.

“Kementerian kini mengambil pendekatan lebih ‘mesra’ terhadap rakyat dengan memperbanyakkan usaha turun padang serta sedia menerima sebarang aduan berkaitan pengguna dan perdagangan,” katanya, sambil menyebut satu persatu usaha kementerian dalam memperjuangkan kepentingan pengguna dalam menangani kos sara hidup.