Sebelum ini kita biasa mendengar tentang permainan video dan perisian sebagai rekreasi, kini dengan wujudnya Persatuan E-Sport Selangor, ia bakal membawa dimensi baharu dalam bidang sukan berteknologi tinggi di negara ini. Malahan lebih mengejutkan kegemaran bermain Mobile Legend mahupun Dota rupanya boleh dijadikan sumber mencari rezeki sebagai pemain E-Sport profesional atau sepenuh masa. Bukankah ia sungguh menarik kerana orang lain bekerja mendapat wang, kita pula bersukan di depan skrin dan ‘berjuang’ mendapat wang?

Buat julung kalinya Persatuan E-Sport Selangor dengan kerjasama The Pantheon memberi peluang kepada orang ramai untuk mendekati dan mengenali sukan elektronik yang semakin berkembang di negara ini. Ia membolehkan mereka mengetahui potensi sukan elektronik sebagai peluang mencipta kerjaya yang membolehkan mereka mengembara dari timur ke barat.

Walaupun sukan elektronik telah pun lama bertapak di Malaysia tapi belum ada persatuan khusus di peringkat negeri yang memberi pendedahan formal dalam arena sukan yang berprestij ini. Menurut Afzaruddin Burhanuddin selaku Presiden E-Sport Selangor, beliau mengambil inisiatif dengan dibantu oleh pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Rembau, Negeri Sembilan dalam penganjuran acara yang dikenali sebagai Selangor E-Sport Experience (SESE) di The Pantheon.

SESE, selain mendedahkan generasi muda bagaimana bermain permainan video atau perisian dengan baik, mereka juga didedahkan dengan peluang kerjaya dalam bidang E-Sport bukan sahaja sebagai pemain profesional malahan diajar bagaimana menjadi penganjur, peserta dan pengulas sukan elektronik yang baik.

Sempena program tersebut, pihak persatuan menjemput Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk merasmikannya. Amirudin boleh dikatakan perintis bagi perkembangan sukan tersebut di Selangor sejak menjadi Exco Belia dan Sukan sebelum dilantik menjadi Menteri Besar.

Mengulas mengenai misi dan visi Program SESE, Afzaruddin berkata, atas nama Persatuan E-Sport Selangor, beliau mahu menjadikan SESE sebagai wadah yang disediakan pihaknya untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam menghasilkan pemain-pemain yang berpontensi untuk diketengahkan di peringkat negeri seterusnya di peringkat antarabangsa sesuai dengan saranan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan E-Sport sudah pun diterima di peringkat antarabangsa sebagai karier dan harus dipandang serius untuk dikembangkan kepada bakat-bakat baharu dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Untuk rekod, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Bajet 2019 berkata, tambahan RM10 juta diperuntukkan untuk menggalakkan dan pembangunan E-Sport sebagai aktiviti dan industri yang diminati generasi muda melibatkan jurutera perisian dan pemaju permainan digital.

Jelas Afzaruddin lagi, pihaknya akan sedaya upaya bersama dengan ahli jawatankuasa yang lain untuk mengumpulkan seramai boleh peminat E-Sport untuk dikumpulkan dalam Persatuan E-Sport Selangor supaya penyelarasan bakat dan tajaan dapat disalurkan dengan lebih sistematik dan telus.

Afzaruddin seterusnya memberitahu, program SESE tersebut akan diadakan pada setiap tahun dan pihaknya amat berterima kasih kepada The Pantheon sebagai penaja utama yang akan menjadi arena utama E-Sport dalam mengadakan apa sahaja aktiviti sukan elektronik tersebut memandangkan kemudahan di The Pantheon adalah di antara yang terlengkap yang ada di Malaysia.

Kepada generasi muda yang ingin menjadikan sukan elektronik bukan sahaja sebagai permainan pada waktu senggang malahan menjadi pemain dalam pasukan yang mendapat tajaan jutaan ringgit seperti Team Lagenda, dekatilah Persatuan E-Sport Selangor segera. Berikut adalah laman sosial media persatuan tersebut yang boleh dihubungi iaitu laman sesawang http://www.esportsselangor.com/, Instagram @esportselangor, Twitter @esportselangor dan Facebook : esportselangor.

Orang ramai dialu-alukan untuk menghubungi Persatuan E-Sport Selangor untuk mendapatkan segala maklumat tentang sukan elektronik dari semua peringkat, komputer peribadi (PC), console, mobile game, VR, dan racing simulator.