Penulis berharap kenyataan yang dibuat Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya semalam, tidak benar. Namun jika mengikut jawapan beliau dalam sesi pertanyaan di Dewan Rakyat itu, nampaknya kenyataan itu sahih dan benar.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan telah memutuskan untuk mengenakan caj bagi tempat letak kereta di kawasan hospital di zon tengah Semenanjung – maknanya orang Lembah Klang, warga kota yang sememangnya sudah terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi – alasannya bagi mengelak ‘salah guna’ kawasan parkir.

Menurutnya lagi, langkah mengenakan caj itu adalah untuk mengelak ‘mereka’ yang tidak mempunyai urusan di hospital daripada menggunakan tempat letak kereta di hospital.

Persoalannya siapa ‘mereka’ ini? Setahu penulis, dan penulis percaya ramai daripada kita sedia maklum, kebanyakan hospital kerajaan dibina jauh dari kawasan perumahan atau pusat komersial.

Hospital besar selalunya ada kawasan sendiri kecuali hospital yang memang sudah lama dibina macam Hospital Kuala Lumpur (HKL), itu pun bangunan berdekatan memang ada kaitan dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh hospital itu sendiri.

Jadi siapa ‘mereka’ yang dimaksudkan sewenang-wenang meletakkan kenderaan di kawasan hospital ini? Siapa yang menyalah guna tempat letak kereta percuma di kawasan hospital untuk menjalankan urusan lain yang tidak ada kena-mengena dengan hospital?

Tak mungkin orang yang hendak ke pasar Chow Kit meletak kereta di kawasan parkir HKL? Tak mungkin juga sesiapa yang nak berurusan di pejabat atau bank sepanjang Jalan Tun Razak bersusah payah meletak kenderaan mereka di HKL? Kalau pun ada yang hendak ke IJN, apa salahnya jika meletak kereta sekejap di kawasan HKL?

Hakikatnya yang menggunakan kawasan parkir hospital di seluruh negara termasuk HKL ialah orang ramai yang memang ada urusan di situ. Sama ada mereka sendiri ialah pesakit atau datang membawa mahupun melawat ahli keluarga, sanak saudara atau kenalan yang sakit. Dan jumlah mereka ini memang ramai. Orang marhaen macam penulis. Bukan seratus dua sebaliknya mencecah ribuan orang sehari.

Maka tidak hairanlah mencari ruang letak kereta yang kosong antara cabaran besar yang dihadapi pelawat atau pe­ngunjung hospital kerajaan seperti di HKL. Sebab yang datang kebanyakannya bukan orang senang, golongan marhaen.

Penulis tak percaya ada yang sengaja datang bersesak dan bersusah payah menempuh azab mencari ruang letak kereta di dalam kawasan hospital jika memang tidak ada urusan di hospital.

Penulis percaya yang pergi ke hospital dan meletak kereta di kawasan hospital, rata-ratanya memang ada urusan di hospital. Sama ada mereka sendiri sakit atau orang tersayang yang sakit.

Justeru keputusan Kementerian Kesihatan seperti di­nya­takan oleh timbalan menteri akan mengenakan caj tempat letak kereta di kawasan hospital atas alasan ‘mengelak salah guna’ kawasan parkir oleh ‘mereka yang tidak mempunyai urusan di hospital’ adalah satu kenyataan yang tidak prihatin dengan masalah dan senario sebenar dialami masyarakat biasa, warga kota daripada golongan bawah dan pertengahan.

Kita tahu golongan kelas atasan selalunya tidak akan ke hospital kerajaan sebalik­nya ke hospital swasta yang semuanya berbayar termasuk tempat parking yang canggih dan cantik macam di pusat beli-belah. Memang hampir semua hospital swasta me­ngenakan caj untuk sesiapa yang menggunakan tempat letak kereta di dalam kawasan hospital. Itu semua orang tahu. Dan mereka tidak akan me­rungut kerana memang itu ‘harga yang perlu dibayar’ untuk meletak kenderaan dalam keadaan selesa.

Namun piawaian yang sama tidaklah patut dikenakan ke atas orang ramai yang berurusan di hospital kerajaan.

Dengan mengenakan caj bagi tempat letak kereta di kawasan hospital, ini bermakna ‘mereka yang benar-benar ada urusan di hospital’ pun turut sama terkena ‘tempias’.

Lainlah jika pihak pengurusan parkir yang dilantik Kementerian Kesihatan itu akan memperkenalkan mekanisme bagi membezakan mereka yang ada urusan dengan yang tidak ada urusan di hospital.

Jika kesemuanya ‘pukul rata’ dikenakan caj meletak kenderaan, alasan keputusan itu dibuat untuk ‘mengelak salah guna’ kawasan parkir telah tersasar.

Sebaliknya, apa yang berlaku seolah-olah kawasan tempat letak kereta hospital pula telah ‘disalah guna’ untuk tujuan komersial bagi mengaut keuntungan, bukannya bagi memberi kemudahan kepada orang ramai yang ‘terpaksa’ berurusan di sesebuah hospital itu.

Dalam keadaan rakyat terutama golongan bawahan tertekan dengan beban kos sara hidup yang semakin meningkat, kenaikan tol dan tambang pengangkutan awam, keputusan terbaru untuk mengenakan caj parking di kawasan hospital ini hanya menambah sesak di dada mereka.

Ya. Mungkin ada yang ‘suka-suka’ meletak kenderaan di kawasan hospital walaupun tidak ada urusan. Namun penulis percaya jumlahnya boleh dibilang dengan jari. Lebih ramai yang menggunakan ruang letak kereta di situ ialah mereka yang memang ada urusan.

Penulis percaya tidak ada yang sengaja ‘cari penyakit’ untuk meletak kenderaan di dalam kawasan hospital seperti di HKL. Hospital kerajaan lain di zon tengah seperti Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Putrajaya pula memang lokasinya jauh dari penempatan penduduk dan kawasan komersial. Jadi memang pelik jika ada orang yang mahu ‘menyalah guna’ ruang letak kereta di kawasan itu untuk membuat urusan lain yang tidak berkaitan.

Dalam keadaan ini diharap pihak berkuasa yang berkenaan cuba memahami keperluan mereka yang memang kerap berurusan di hospital kerajaan. Lihatlah dari kacamata rakyat marhaen, selami kepayahan mereka.

Janganlah membuat keputusan hanya berdasarkan rungutan atau aduan seorang dua pelawat yang sudah biasa berurusan di hospital ‘mewah’. Yang menjenguk ke hospital kerajaan pun sekali seumur hidup.

Janganlah dibuat keputusan yang tidak perlu, atau diambil tindakan yang hanya akan menyusahkan golongan marhaen - mereka yang benar-benar tidak dapat mengelak daripada berurusan di hospital kerajaan.