Istimewa kerana acara santai di Arena Futsal, Rumah Pangsa PKNS ini penuh mesej sinikal. Tujuannya untuk membantah penganjuran pesta minum arak yang menjadi kontroversi sekarang.

Begitulah setiap orang ada cara tersendiri untuk menyampaikan mesej. Lain dulang lain kakinya, lain orang lain hatinya.

Ada pihak yang terang-terangan menyokong pesta maksiat itu tanpa kurang ada yang tersipu-sipu berselindung di balik koridor kuasa kerana takut hilang sokongan. Begitu juga ada pihak yang membantah keras malah sanggup membuat demonstrasi sehingga terpaksa berurusan dengan polis.

Barangkali sebab keistimewaan acara yang satu ini sehingga menarik perhatian Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk menghadirinya. Sungguh, satu bentuk protes yang halus seninya yang menyentuh hati.

Festival yang menjanjikan 'datang dan balik pastiya dalam keadaan 'sedar dan gembira' ini adalah manifestasi bantahan umum terhadap pesta minum arak yang diadakan setiap bulan Oktober di negara ini.

Pesta ini menjadi masalah apabila apa pihak yang sengaja mahu melanggar tembok toleransi orang Islam. Pesta ini dipromosi secara leluasa dan dibuat di tempat terbuka seakan-akan mengajak masyarakat supaya minum arak yang merupakan ibu segala maksiat itu.

Selain itu, pesta ini tidak selamat kerana menurut risikan polis menjadi sasaran pengganas. Itu punca DBKL tidak membenarkan penganjurannya di Kuala Lumpur. Bantahan pesta minum arak ini pun bukan hal baharu. Tahun lepas ada bantahan tetapi pesta tetap diteruskan.

Gambar politikus daripada parti yang mempertahankan penganjuran pesta ini kemudian tersebar luas. Entah disengajakan atau tidak, mereka seperti bangga dan gembira sambil menayang gelas arak. Nilailah mereka. Lagak mereka seperti sedang merayakan kemenangan.

Sekali lagi, kumpulan politikus ini terus mengasak tembok toleransi itu. Kita pun semakin mengenali pendirian dan sikap setiap orang daripada mereka. Kita pun semakin faham betapa kuasa politik itu boleh mengatasi sensitiviti dan sentimen majoriti malah perkara yang sudah termaktub.

Tidak benarlah andaian bahawa kumpulan minoriti ini tidak boleh memaksakan apa sahaja agenda dan kehendak mereka. Ternyata boleh.

Kita ambil contoh tentang apa yang berlaku di Majlis Perbandaran Klang yang meluluskan penganjuran pesta arak itu di sebuah pasar raya. Ikut ceritanya PKR dan DAP yang masing-masing mempunyai sembilan ahli majlis menyokong penganjuran pesta yang kemudian diubah nama.

Tentu sahaja bantahan lima wakil Pas tidak ada ertinya. Tetapi sekurang-kurangnya Pas ada peranan seperti pernah dinyatakan dahulu untuk terus berada dalam kerajaan negeri bagi mengawal tindakan DAP.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin yang mempengerusikan mesyuarat itu pula terhad kuasanya hanya sekadar pemudah cara sahaja. Kerajaan negeri pun seperti lazimnya bermain politik selamat mengambil sikap lepas tangan.

Frasa-frasa 'ikut suara majoriti' dan 'jika memenuhi syarat' dijadikan pelindung oleh kerajaan negeri. Dengar khabarnya pula, ada ahli majlis yang buat pusingan u apabila menyedari bantahan umum semakin kuat dalam keadaan polis pun bertegas tidak memberikan kelulusan atas faktor keselamatan.

Yang paling melenting ialah DAP. Parti penguasa sebenar di Selangor ini menunjukkan taring yang semakin tajam itu. Dan, mereka boleh berkata apa sahaja tanpa peduli tentang sensitiviti kaum dan agama.

Kenyataan terbaharu Exco kanan dari DAP, Datuk Teng Chang Khim menyerlahkan wajah sebenar parti yang diwakilinya. Beliau menyifatkan tindakan polis melarang penganjuran pesta arak di Klang sebagai tidak profesional dan gagal memahami sensitiviti masyarakat bukan Islam.

"Sebab itu saya kata, polis kita tidak profesional. Inilah masalah Malaysia hari ini yang mana dalam polis itu keanggotaannya adalah lebih 90 peratus Melayu dan orang Islam. Jadi, dia (polis) tidak memahami, polis sendiri tidak memahami sensitiviti orang bukan Islam. Ini masalah sistem kita," kata beliau.

Terima kasih Chang Khim kerana telah menunjukkan wajah sebenar DAP. Lihatlah mereka boleh mengata kaum lain ikut selera mereka. Salah siapa jika lebih 90 peratus anggota polis Melayu?

Tetapi sikap sebegini bukan pelik. DAP semakin teruja dengan kuasa yang ada pada mereka. Padanlah, musuh utama Tun Dr. Mahathir Mohamad kini pun dalam genggaman mereka.

Jika supremo DAP, Lim Kit Siang boleh melabel ketua SPRM sebagai monyet, apa yang dinyatakan Chang Khim ini hanya lantunan yang nampaknya semakin keras dan berani. Suara hati mereka yang memperlekeh seperti ini seharuanya diwaspadai.

Parti-parti politik berasas Islam dan Melayu serta pelbagai NGO boleh sahaja membantah. Akhirnya yang bakal menentukan ialah parti politik yang ada kuasa. Ini baru cerita tentang teh tarik (yang diwakili oleh UMNO dan Pas) lawan arak (diwakili DAP dan PKR). Banyak lagi cerita lain tentang 'perlawanan' yang akhirnya dimenangi oleh mereka.

Malangnya kita terus leka. Bertambah malang ada juga si Melayu yang berhempas pulas menyokong mereka.