Dalam konteks Malaysia, dari satu sudut, memang benar, ba­nyak yang telah dicapai dalam usaha mewujudkan dunia yang lebih baik untuk wanita. Sebagai contoh, gaji sama untuk lelaki dan perempuan yang melakukan pekerjaan sama sekurang-kurangnya di sektor kerajaan; semakin ramai wanita memegang jawatan membuat keputusan; hak (hampir sama) dalam perundangan, dan seumpamanya.

Namun, dari sudut lain, wanita masih ketinggalan. Misalnya, dalam dunia perniagaan dan politik, bilangan wanita jauh lebih kecil berbanding lelaki. Dari segi kesihatan dan mangsa keganasan, keadaan wanita adalah lebih teruk berban­ding lelaki.

Untuk mewujudkan dunia yang lebih baik untuk wanita dalam bidang-bidang inilah maka wanita dan lelaki, ya – wanita dan lelaki – perlu #BeraniUntukBerubah. Kenapa lelaki? Kerana dunia yang lebih baik untuk wanita hanya akan menjadi kenyataan jika lelaki sama-sama menginginkannya dan memperjuangkannya.

Teringat penulis kepada khutbah Rasulullah SAW pada 9 Zulhijjah 10H. Salah satu perkara yang ba­ginda tegaskan dalam khutbah tersebut ialah supaya para suami melayani isteri mereka sebaik-baiknya kerana para isteri adalah amanah yang diterima dengan nama Allah. Perkara ini kemudiannya ditafsir sebagai perintah baginda supaya lelaki memuliakan wanita, teman seperjuangan mereka di muka bumi ini. Pengiktirafan ba­ginda terhadap wanita ini menyebabkan 9 Zulhijah dipilih sebagai Hari Wanita Muslim Sedunia.

Rasulullah SAW telah memperjuangkan hak wanita lebih 1,400 tahun yang lalu. Bagaimana dengan lelaki di zaman ini? #BeraniUntukBerubah demi mempertahankan wanita: hak-hak dan kemuliaannya?

Pada pendapat penulis, bukan sesuatu yang sukar untuk lelaki menyokong dan mempertahankan hak wanita. Di zaman ini, seorang lelaki yang membukakan pintu kereta untuk isterinya akan dipuji melangit, inikan pula jika dia memperjuangkan hak-hak wanita. Soalnya, mahu atau tidak lelaki melakukan perkara ini? Jika Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik untuk kita, Baginda sepatutnya diteladani.

Namun, #BeraniUntukBerubah demi mewujudkan dunia yang lebih baik untuk wanita akan menjadi lebih mencabar kepada wani­ta itu sendiri. Ini kerana dalam masyarakat Timur, wanita yang baik adalah wanita yang senyap, patuh dan sentiasa tersenyum. Dalam konteks ini, #BeraniUntukBerubah adalah tema yang mampu memberi semangat kepada wanita untuk berani mendapat dan memperjuangkan hak mereka.

Dalam hal ini, siapakah yang perlu wanita Islam contohi? Sebaik-baik­nya wanita Islam memiliki ikonnya sendiri yang terdiri daripada wanita Islam juga. Bagaimana­­kah agaknya wanita Muslimah di zaman awal Islam? Apakah mereka hanya senyap, patuh dan sentiasa tersenyum? Inikah ciri-ciri wanita Islam pada ketika itu? Atau apakah mereka juga memiliki semangat #BeraniUntukBerubah dan betul-betul bertindak ke arah itu?

Ummu Salamah R.A, salah seorang isteri Rasulullah SAW dilaporkan pernah bertanyakan tiga soalan kepada baginda. Pertama, soalan mengenai mengapa wanita tidak disebut di dalam al-Quran sebagaimana lelaki. Untuk menjawab­nya, Rasulullah SAW membacakan ayat 35, Surah al-Ahzab. Kedua, soalan mengenai mengapa di dalam al-Quran tiada disebut mengenai pahala yang diperoleh oleh wanita yang turut berhijrah. Ini dijawab baginda dengan membacakan ayat 195, Surah Ali Imran. Ketiga, soalan mengapa lelaki sahaja yang berperang dan mengapa wanita mendapat separuh sahaja daripada harta pusaka. Untuk itu, baginda bacakan ayat 32, Surah An-Nisaa.

Ternyata, isteri Rasulullah SAW sendiri tidak hanya ‘senyap, patuh dan tersenyum’ ketika timbul persoalan-persoalan di mindanya, hatta persoalan yang berkenaan de­ngan al-Quran. Sebaliknya, beliau menyuarakan kemusykilan itu dan jawapannya mengubah diri beliau daripada ‘tidak tahu’ kepada ‘tahu’.

Pada suatu ketika, Umar al-Khattab r.a. dan isterinya berbantahan sesama sendiri. Sampai satu saat, Umar memarahi isterinya kerana tidak tahan dengan sikap membantah isterinya itu. Lalu isterinya bertanya: “Kenapa engkau tidak boleh terima aku membantahmu sedangkan isteri Rasulullah pernah membantah baginda?”

Penulis tidak bermaksud untuk mengajak para isteri berbantahan dengan suami masing-masing. Pe­ng­a­­­jaran dari kisah ini ialah bersikap terlalu keras dengan isteri bukanlah satu sikap yang terpuji. Sebaliknya, perlu berlaku komunikasi dua hala dalam hubungan suami-isteri iaitu kedua-dua belah pihak boleh menyuarakan pandangan, kemarahan, rasa tidak puas hati dan seumpa­manya dengan cara yang berhikmah, demi kebaikan bersama.

Di zaman Rasulullah SAW juga ada banyak kisah lain yang menunjukkan betapa wanita di zaman itu bukan sahaja memiliki semangat #BeraniUntukBerubah ini, tetapi juga benar-benar bertindak de­ngan berani demi kebaikan mereka. Pernah suatu ketika, seorang wanita meminta agar Rasulullah SAW meng­adakan satu masa khusus untuk para wanita belajar terus daripada baginda tanpa perlu berkongsi dengan khalayak lelaki. Ada wanita yang datang kepada Nabi meminta untuk bercerai dengan suaminya. Ada wanita yang berjumpa untuk memastikan apakah tempoh idah kematian suaminya telah tamat supaya dia dapat berdandan semula (untuk mencari calon suami).

Wanita-wanita ini telah dengan beraninya melakukan apa yang perlu mereka lakukan demi untuk berubah ke arah yang lebih baik. Ternyata, Rasulullah SAW tidak merasa tergugat dengan keberanian itu, malah baginda ‘mengha­diahkan’ mereka dengan jawapan-jawapan yang memuaskan hati dan mengubah kehidupan wanita-wanita tersebut.

Sama dengan kita kini – lebih 1,400 tahun hijrah kemudiannya. Kita perlu #BeraniUntukBerubah asalkan perubahan itu tidak bertentangan dengan ajaran dan nilai Islam yang kita pegang.

PENULIS ialah Felo Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM.