Dalam era media sosial menjadi ‘pujaan’, ramai yang tidak mahu ketinggalan jump into the band wagon. Buktinya, #10yearChallenge yang kini tular di Facebook menyaksikan pelbagai perkongsian menarik.

Pelbagai pihak tidak mahu ketinggalan merakam dan menyiarkan gambar silam mereka pada tahun 2009 dan yang terkini pada 2019. Benarlah “sekeping gambar memberi seribu makna”.

Penulis suka memetik kata-kata pendakwah bebas, Ustaz Amirul Amin atau PU Amin: “Tak salah nak throwback, tapi yang baik-baik sahaja diceritakan. Kisah silam yang tak baik haram diceritakan. Kerana Allah telah menutup keaiban diri kita, jangan kita sesekali membongkarnya,” tulisnya di Instagram.

Malangnya, dalam keghairahan menyertai cabaran 10 tahun itu, ada yang tanpa segan-silu membuka pekung di dada

Mereka memuat naik gambar-gambar yang tidak menutup aurat. Seolah-olah bangga pula menayangkan dosa-dosa silam semasa jahiliah dulu. Orang yang 10 tahun lalu tidak bertudung tanpa rasa bersalah membuka aib dengan menayangkan semula gambar tersebut sebagai perbandingan dengan sekarang yang sudah bertudung.

Lebih malang, dosa itu makin berkembang apabila ia makin banyak dikongsi atau di like dalam media sosial.

Aib diibaratkan seperti aurat harus dijaga dan tidak boleh didedah kepada orang lain. Membuka aib orang lain secara tidak langsung kita sama seperti melakukan ghibah dalam Islam dan hal tersebut sama seperti membuka aib sendiri.

Telah dikatakan oleh Rasulullah SAW bahawa Allah SWT akan membuka aib seseorang yang suka membicarakan aib orang lain meskipun orang tersebut menyimpannya di dalam lubang sekalipun.

Pada suatu hari Nabi SAW pernah bersabda kepada sahabatnya: Seluruh umatku akan diampuni kecuali al-Mujahirun. Lalu sahabat bertanya, siapa itu Mujahirun, Ya Rasulullah? Lalu baginda menjawab, “Dia yang berbuat dosa pada malam hari dan Allah SWT menutup aibnya tetapi kemudian pada pagi harinya dia membuka aibnya sendiri. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Syaikh Muhammad bin Sholih Al ‘Utsaimin Rahimahullah dalam Syarh Riyadhus Salihin mengatakan, al-Mujaahiriin adalah orang yang menunjukkan bahawa dia telah melakukan maksiat kepada Allah SWT. Mereka terbahagi dua golongan:

1) Orang yang melakukan maksiat dan menunjukkan perbuatan tersebut di hadapan manusia dan manusia yang lain pun melihatnya. Yang demikian ini tidaklah kita ragukan lagi bahawa mereka termasuk golongan al-Mujaahiriin dan tidak akan mendapat pengampunan Allah SWT.

2) Orang yang melakukan maksiat secara sembunyi-sembunyi. Misalnya buat maksiat waktu malam kemudian Allah menutup aibnya tersebut. Begitu juga seseorang yang melakukan maksiat di rumahnya kemudian Allah menutup aibnya tersebut sehingga manusia lain tidak dapat melihatnya sehingga jika dia bertaubat maka jelas hal itu akan baik baginya.

Namun ketika ia menemui hari berikutnya dan bertemu dengan orang lain dia berkata: “Aku telah melakukan perbuatan maksiat ini dan itu”...maka orang begini termasuk golongan yang tidak akan diampunkan Allah SWT.

Islam menyuruh umatnya menyembunyikan aib bagi memelihara kemuliaan manusia di samping memberi peluang kepada individu terlibat bertaubat dan menginsafi kesilapan lalu.

Ia sebagaimana peristiwa Rasulullah SAW didatangi seorang wanita yang mengaku melakukan dosa dan minta supaya dihukum.

Daripada Imran bin Hushain menceritakan: Seorang perempuan dari (suku) Juhainah datang kepada Nabi yang pada ketika itu sedang mengandung hasil zina, lalu dia berkata: “Ya Rasulullah, saya telah berzina, hukumlah aku”. Lalu Rasulullah bertanya, “adakah kamu sedang mengandung?” Wanita itu menjawab: “Ya.”

Rasulullah meminta wanita terbabit pulang dahulu dan melahirkan anaknya. Setelah melahirkan anak, wanita itu kembali kepada Rasulullah meminta dihukum, lalu baginda SAW memerintahkan wanita itu direjam dan baginda sendiri yang menyembahyangkan jenazah wanita itu.

Saidina Umar kehairanan lalu bertanya: Engkau telah bersolat ke atasnya wahai Nabi Allah sedangkan dia telah berzina?

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya dia telah benar-benar bertaubat yang kalau diagih-agihkan bahagian taubat itu kepada 70 orang penduduk Madinah nescaya akan mencukupi mereka, apakah engkau jumpa suatu taubat yang lebih utama daripada seseorang yang sanggup menggadaikan nyawa kerana Allah SWT?. (Riwayat Muslim)

Mereka yang menutup aib saudara-saudara mereka bergembiralah dengan hadis baginda SAW yang bermaksud: Barang siapa yang menutup aib seorang muslim, nescaya Allah menutup aibnya di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim)