Antara data yang dilaporkan adalah berkenaan saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab serta aset mata wang asing lain. Selain itu, maklumat seperti jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang juga dipaparkan untuk tatapan umum.

Butiran terperinci rizab antarabangsa yang dilaporkan itu sebenarnya mempunyai empat jadual iaitu Jadual I, II, III dan IV. Maklumat di dalam Jadual I adalah berkenaan aset rizab rasmi Malaysia yang berjumlah AS$104,405.0 juta manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$120.3 juta, jumlah pada akhir Ogos 2018. Di dalam Jadual II ada menunjukkan aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman dalam mata wang asing.

Aliran keluar ini disebabkan oleh pembayaran balik berjadual pinjaman luar negeri oleh kerajaan sebanyak AS$241.0 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang. Nilai ini menunjukkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran kewangan.

Selaras dengan amalan yang digunakan mulai April 2006, data ini tidak melaporkan unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah AS$2,618.5 juta untuk tempoh 12 bulan ke hadapan. Di dalam Jadual III ada menunjukkan satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka adalah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, dan ia dilaporkan berjumlah AS$108.6 juta.

Rizab antarabangsa Malaysia juga tidak mempunyai pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain. Bank Negara Malaysia juga tidak terlibat dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.

Bank Dunia berpendapat bahawa paras hutang Malaysia tidak akan menyebabkan Malaysia terjerumus kepada krisis. Malah risiko kewangan yang dihadapi oleh Malaysia juga didapati masih dalam keadaan terkawal. Merujuk kepada kenyataan Ketua Ekonomi Bank Dunia, Dr. Richard Record, sebanyak 97.7 peratus hutang Malaysia adalah dalam denominasi ringgit.

Ini menunjukkan risiko yang terhad kepada kerajaan apabila terdedah kepada pertukaran asing. Hampir 70 peratus daripada hutang itu adalah jangka sederhana dengan tempoh matang melebihi tiga tahun dan mempunyai risiko terhad berdasarkan terma rollover atau pulang ganti. Pun begitu, kerajaan baharu sudah tentu akan memastikan hutang terus ditangani de­ngan telus, waspada serta berhati-hati selain melaksanakan pengurusan yang lebih berhemat.

Kenyataan Ketua Ekonomi Bank Dunia itu dibuat ketika beliau membentangkan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia Edisi Ke-18 Bank Dunia yang lalu. Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia mengunjurkan ekonomi Malaysia dijangka kekal berkembang pada paras 5.4 peratus untuk 2018 disokong asas makroekonomi dan permintaan eksport yang kukuh.

Malaysia sebenarnya masih mampu mengekalkan pertumbuhan yang kukuh dan dapat memberikan asas mampan untuk kerajaan terus melaksanakan agendanya. Malaysia adalah sebuah negara yang berjaya kerana mempunyai ekonomi yang kukuh dan bergerak ke arah pendapatan tinggi.

Laporan itu juga menekankan kepentingan me­lihat kepada kualiti pertumbuhan secara keseluruhan dan bagaimana setiap rakyat Malaysia boleh memanfaatkan kejayaan ekonomi yang telah dicapai.

Saban tahun hutang negara telah dilaporkan mengikut piawaian IMF iaitu format SDDS ini. SDDS merupakan panduan kepada negara anggota IMF dalam penyebaran statistik dan data negara kepada orang ramai. Mengikut laporan SDDS, hutang Malaysia pada 31 Disember 2017 adalah RM686.8 bilion dan liabiliti luar jangka pula adalah RM238 bilion. Angka ini terbuka dan boleh didapati di laman web Bank Negara, Jabatan Perbendaharaan Negara, Jabatan Perakaunan Negara dan Jabatan Audit Negara.

Baru-baru ini kerajaan telah menambah angka baharu kepada jumlah tersebut termasuk komitmen seperti pembayaran pajakan dan bayaran penyelenggaraan terhadap hutang kerajaan dan liabiliti luar jangka yang berjumlah RM201.4 bilion. Oleh kerana pertambahan itulah yang telah menunjukkan jumlah keseluruhan hutang negara berada pada nilai mendekati RM1 trilion. Ia sebenarnya bermaksud jumlah hutang dan liabiliti adalah sebanyak RM1 trilion. Secara teknikalnya, ini adalah angka yang benar kerana Malaysia mempunyai liabiliti lebih daripada RM1 trilion, di mana RM686.8 bilion adalah dalam bentuk sekuriti hutang.

Kerajaan lain di dunia juga menggunakan SDDS dan melaporkan hutang sekuriti tertunggak mereka sebagai hutang negara, yang tidak termasuk tanggungan luar jangka. Tiada kerajaan di dunia mengambil kira komitmen pajakan dalam laporan hutang negara mereka. Bayaran sewa pula adalah semua perbelanjaan barangan namun ia bukanlah hutang barang. Jika kita memasukkan nilai ini, maka semua perbelanjaan kerajaan seperti gaji pegawai kerajaan, pencen dan subsidi dalam jumlah hutang negara juga perlu dimasukkan ke dalam laporan.

Piawai kiraan yang digunakan adalah seperti yang ditetapkan oleh badan kewangan antarabangsa dalam melaporkan hutang negara, dan angka-angka ini boleh diperoleh dengan mudah menerusi laman web Jabatan Negara, Perbendaharaan, Jabatan Perakaunan dan Jabatan Audit Negara. Ia merupakan laporan yang tepat dan telus yang dilaporkan dari semasa ke semasa.

Malah agensi penarafan, komuniti pelaburan dan institusi kewangan juga memahami dan menyedari akan kewujudan ke semua angka tersebut kerana ia tidak pernah disembunyikan. Bahkan, agensi penarafan sentiasa mengadakan mesyuarat dengan pegawai EPU dan MOF dan laporan sentiasa dikemas kini secara kerap.

Perkembangan ekonomi memungkinkan kerajaan untuk mencari lebih banyak sumber pendapatan sekaligus meningkatkan keupayaan negara untuk menyerap lebih banyak hutang. Untuk rekod, setakat ini, Malaysia tidak pernah culas menunaikan tanggungjawab membayar komitmen yang telah diambil.

Pun begitu, ia bukanlah hanya berkisar kepada jumlah hutang yang kita punyai namun apakah sebenarnya yang boleh dilakukan dengan hutang tersebut dan keupayaan negara untuk melunaskannya. Ini kerana apabila kita pandai berhutang, kita juga perlulah bertanggungjawab untuk membuat bayaran dan menyelesaikan hutang tersebut. Semoga negara ini akan terus maju dan berupaya untuk terus melangsaikan hutang.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.