Namun, penulis sedar, pendidikan yang rakyat Malaysia nikmati bukan semuanya dapat dirasa oleh semua. Mereka yang duduk ‘menumpang’ sebagai pelarian di negara yang kita cintai ini terasa ketinggalan dan tertanya mengenai peluang dan harapan mereka dalam pendidikan.

Perkara ini terus menekan mereka apabila Malaysia sendiri tidak memberi pengiktirafan kepada golongan pelarian disebabkan tidak menandatangani Konvensyen 1951 dan Protokol 1961 berkaitan orang pelarian di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Secara diplomatiknya memang kita masih belum menuju kearah itu, namun Malaysia tidak pernah menghalang mereka untuk berada di negara kita. Itu istimewanya Malaysia.

Penulis sendiri melihat kesungguhan anak-anak Rohingya yang menjadi pelarian di Semenanjung Malaysia bersungguh-sungguh menuntut ilmu di sekolah pelarian yang diwujudkan oleh banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk kami sendiri di Malaysian Relief Agency (MRA).

Kami sedar peluang untuk mereka mengenal ilmu perlu diberikan walaupun sekadar asas sahaja. Tapi, itulah peluang yang ada.

Misi Muhibbah MRA-UMS 2018

Baru-baru ini penulis sempat bersama dengan MRA cawangan Sabah dalam siri Jelajah Misi Muhibbah melibatkan pihak Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai rakan pelaksana misi kemanusiaan dan pendidikan yang diadakan di Pulau Mabul, Semporna dan di Kota Kinabalu, Sabah.

Melalui Dr. Badariah Saibeh, seorang pensyarah dan pengkaji mengenai isu pendidikan dan kewarganegaraan di Pulau Mabul, kami mendapatkan data-data yang penting berkaitan mengapa isu pendidikan menjadi motif utama kajian beliau.

Kami dimaklumkan bahawa ramai anak-anak kecil berstatus tanpa kewarganegaraan yang berada di sana tercicir dalam bidang pendidikan, dan ini sangat membimbangkan kerana tanpa pendidikan isu sosial dilihat menjadi masalah utama jika tidak dibendung.

Ya, tanpa kewarganegaraan, mereka tidak mempunyai peluang untuk bersekolah seperti mana anak-anak lain. Penulis juga difahamkan mengapa isu kewarganegaraan ini menjadi lebih rumit dan sukar untuk diterjemah. Namun, mengambil kira peranan sebenar kami di pihak NGO, kami melihat isu pendidikan lebih besar daripada masalah kewarganegaraan yang wujud.

Penulis menghormati dasar kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk cuba menyelesaikan isu kewarganegaraan ini dan juga secara akademiknya penulis sangat menghormati kajian yang dilakukan untuk mengenal pasti masalah oleh Dr. Badariah.

Malah, kami juga bersama-sama dengan pihak UMS, pihak berkuasa tempatan seperti Jabatan Imigresen Sabah, Jabatan Pendaftaran Negara (Sabah) dan pemimpin tempatan dari Majlis Hal Ehwal Anak Negeri turut terlibat dalam satu perbincangan akademik mengenai isu pendidikan dan kewarganegaraan di Sabah yang diadakan di UMS sendiri.

Permata Pulau Mabul

Anak-anak kecil yang penulis lihat di Pulau Mabul, ramai yang tidak bersekolah sekadar bermain di gigi pantai dan mendayung sampan kecil untuk melalui kehidupan mereka. Bukan mudah untuk mendekati mereka dan membawa ke sekolah, itulah hidup mereka, laut dan pantai.

Namun, penulis terus bertekad agar kami dapat berbuat sesuatu. Jika sebelum ini ada beberapa NGO dan orang perseorangan di pulau Mabul yang bersungguh membina sekolah dan memberi peluang pendidikan, kami juga mahu lakarkan harapan yang besar untu kanak-anak ini.

Sekurang-sekurangnya mereka lebih cakna dan mahu belajar. Bersama-sama pihak UMS, kami berusaha dan bercadang untuk mengadakan sebuah pusat komuniti yang lebih besar fungsinya agar anak-anak terpinggir ini mendapat peluang yang lebih besar dari sudut pendidikan, peluang kemahiran dan pendidikan sosial.

Ia bukanlah satu perkara yang mudah, namun cita-cita ini kami bulatkan agar ia akan berhasil dengan gabungan wira dan wirawati kemanusiaan dan akademik yang kami ada.

Cikgu Ali, Impian Besar Untuk Anak-Anak Mabul

Semasa penulis berada di Pulau Mabul, penulis sempat berkongsi cerita dengan Cikgu Ali, satu-satunya tenaga pengajar di Mabul Kids Education School (MKES), sebuah pusat pembelajaran alternatif yang mendidik kira-kira 80 orang kanak-kanak tanpa status warganegara di Pulau Mabul.

Usahanya yang murni penulis lihat menjadi satu titik perjuangan yang cukup baik untuk memberikan kesedaran buat anak-anak ini menikmati satu lagi kehidupan yang lebih baik.

Dalam suasana sekolah yang sangat usang tanpa apa-apa kemudahan asas, Cikgu Ali tetap tekad meneruskan sesi pembelajaran buat anak-anak Pulau Mabul. Kelas yang diadakan hanya sebelah malam bergantung kepada diesel untuk menghidupkan generator. Kadang ada, kadang tiada. Tapi itulah perjuangan.

Wira yang tidak didendang buat anak-anak ini tidak pernah mengenal erti penat. Malah hidupnya diserahkan untuk berbakti di sekolah usang ini. Jarang penulis lihat orang sebegini gigih. Namun itulah kehidupan. Tidak menunggu tongkat untuk berjalan.

Cita-Cita Dan Harapan

Hampir seminggu penulis di Sabah, penulis melihat satu perkara sahaja yang harus dilakukan oleh NGO kami ialah cuba meneruskan legasi dalam memberi ilmu asas kepada anak-anak yang terpinggir ini.

Walau apa pun status mereka, peluang untuk menerima ilmu harus diberikan sewajarnya. Kami sendiri sahaja tidak mampu bergerak, jentera sukarelawan dan mereka yang faham mengenai peri pentingnya pendidikan harus bersama-sama mengakar dalam perjuangan ini.

Ketepikan niat politik dan segala benda untuk memberi harga kemanusiaan yang sangat besar buat anak-anak terpinggir ini. Anak-anak kecil ini tidak akan tahu betapa indahnya kehidupan ini dengan pendidikan yang sempurna.

Sekurang-kurang berilah mereka peluang mengenal huruf kecilperjuangan ilmu. A, B & C!

“Sebaik - baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada yang lain.”

**Penulis merupakan Presiden Malaysian Relief Agency (MRA