Sememangnya hukuman yang berat perlu dijatuhkan ke atas pesalah-pesalah rasuah bagi memastikan ia memberikan peringatan dan pengajaran kepada orang lain yang berhasrat melakukan jenayah itu.

Seperti mana kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad, rasuah ibarat anai-anai yang akhirnya boleh meruntuhkan negara. Justeru salah satu elemen bagi memastikan usaha membanteras gejala itu berjaya adalah melalui hukuman seberat-beratnya ke atas pesalah-pesalah rasuah.

Hukuman yang ringan apatah lagi sekadar denda mungkin tidak boleh menggerunkan pesalah ra­suah atau mereka yang mahu me­lakukan jenayah berkenaan.

Apa yang hendak ditakutkan kalau mereka sudah menyeleweng atau menerima rasuah berjuta-juta ringgit tetapi hanya dikenakan denda yang sedikit.

Malah mereka juga menikmati pelbagai ‘kemudahan dan keistimewaan’ melalui amalan rasuah serta salah guna kuasa, tetapi apabila ditangkap dan didakwa, hukuman yang dikenakan sekadar denda.

Oleh itu, hukuman berat khususnya penjara perlu dijatuhkan ke atas pesalah-pesalah rasuah, terutamanya melibatkan wang berjuta-juta ringgit. Biarlah di sebalik tirai besi nanti, ia akan memberi ruang dan peluang kepada kelompok tersebut bermuhasabah dan menginsafi bahawa apa juga perbuatan jenayah pasti ada balasannya.

Perbuatan mengkhianati amanah semata-mata mahu hidup mewah tidak boleh dibiarkan, begitu juga dengan tindakan yang boleh mendatangkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada hasil negara.

Rakyat akan hilang kepercayaan kepada sesebuah institusi jika rasuah berleluasa. Keadaan itu akan berterusan dari semasa ke semasa jika tiada hukuman berat dikenakan.

Berdasarkan kes-kes yang dibongkar oleh SPRM, ia menimbulkan perasaan ngeri kepada kita kerana virus rasuah sudah meresapi hampir ke semua institusi di negara ini.

Atas sebab itulah sesuatu perlu dilakukan dan antara yang paling berkesan selain penahanan serta pendakwaan oleh SPRM, hukuman berat seperti memenjarakan pesalah-pesalah rasuah juga adalah elemen terpenting dalam usaha kita memastikan negara ini bebas daripada rasuah.

Justeru tidaklah perlu mana-mana pihak berasa terlalu sensitif dengan kenyataan Mohd. Noor. Beliau hanya memberi pandangan berdasarkan pengalaman beliau sebagai hakim, lagipun dalam keadaan apapun kita tetap menghormati dan ­menyanjung tinggi institusi kehakiman.

Hakikatnya, kenyataan Mohd. Noor mewakili persepsi masyarakat keseluruhannya kerana mahkamah perlu terbuka menerima pandangan dan kritikan. Mahkamah juga perlu mencerminkan keseriusan kesalahan rasuah melalui hukuman yang dijatuhkan.

Prinsip undang-undang yang utama dalam menjatuhkan hukuman adalah atas dasar kepentingan awam. Oleh itu, hukuman perlulah menggambarkan kehendak dan keinginan awam yang mahu hukuman lebih berat dikenakan ke atas pesalah rasuah.

Memang benar hukuman adalah atas budi bicara mahkamah, tiada sesiapa pun yang mempersoalkannya, namun apa yang menjadi persoalan adalah bagaimana budi bicara itu dilaksanakan di dalam menjatuhkan hukuman yang mencerminkan kepentingan dan kehendak awam.

Kesimpulannya, mahkamah tidak boleh terpisah daripada realiti kehendak dan pandangan masyarakat. Oleh itu terimalah pandangan Mohd.Noor secara terbuka tanpa sebarang prejudis.