Sedar atau tidak, kita sudah berada pada 22 Syawal. Maknanya hanya berbaki seminggu sebelum Syawal me­labuhkan tirainya Jumaat depan. Dengan kata lain, mereka yang masih belum puasa sunat enam hari Syawal, masih ada masa berbuat demikian untuk mendapat ganjaran pahala puasa sepanjang tahun. Halangan utama barangkali adalah banyaknya jemputan Rumah Terbuka Aidilfitri.

Persoalannya, bolehkah mendapat pahala puasa sepanjang tahun kalau masih ada hutang puasa Ramadan? Sebab hadis Nabi SAW menyebut: Sesiapa yang ­berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dalam bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun. (Riwayat Muslim)

Dalam hal ini, ulama berbeza pendapat. Pendapat pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah r.ha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqadanya ke bulan Syaaban akan datang. Aisyah r.ha berkata yang maksudnya: “Aku berhutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Para ulama yang mengemukakan pendapat ini berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri baginda SAW iaitu Aisyah r.ha tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Tindakan beliau yang mengqada puasa Ramadan dalam bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan puasa sunat enam Sya­wal sekalipun seseorang itu berhutang puasa Ramadan.

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya. Ia berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di atas tadi. Nabi SAW mensyaratkan berpuasa Ramadan terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan selepas seseorang itu menggenapkan puasa Ramadan. Jika ada puasa Ramadan ditinggalkan, ia perlu diqada dahulu kemudian barulah diiringi puasa sunat enam Syawal.

Jika diteliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat) kerana ia lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal. Selain itu, membayar hutang yang wajib juga mesti didahulukan daripada memberi sedekah yang sunat. Hal ini disokong dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bersegeralah kalian kepada ampunan dari Tuhan kalian dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa. (ali-Imran: 133). Dari segi aulawiyat, pasti amalan wajib lebih perlu disegerakan berbanding yang sunat.

Namun, jika seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qada kemudian berpuasa enam dan dia yakin sempat mengqadakannya sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh di­terima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah r.ha.

Malah Imam An-Nawawi, Mazhab Maliki, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qada puasa Ramadan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadanya adalah secara bertangguh, tidak disyaratkan qada terus apabila boleh melakukannya”.

Dalam pada itu, ada ulama yang membolehkan seseorang melakukan puasa qada dan sunat serentak. Inilah pendapat Imam Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh Muhammad Ramli (Lihat al-Nihayah 1/162) dan Imam al-Barizi.

Pandangan ini juga dipilih oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkannya. Ini kerana ia adalah jenis ibadah yang sama tetapi dengan dua niat. Ini juga pendapat sebahagian ulama berdasarkan pengamatan kepada beberapa nas.

Walaupun begitu, yang terbaiknya adalah memisahkan antara qada puasa Ramadan dengan puasa enam Syawal untuk keluar daripada khilaf (tidak sependapat atas sesuatu perkara).