Lokman Junit, Pontian.

UKE: Imam al-Nawawi Rahimahullah pernah ditanya tentang hukum bermain catur, apakah haram atau jaiz (boleh)? Beliau menjawab, “menurut sebahagian besar ulama hukumnya haram.”

Beliau pernah pula ditanya tentang permainan catur, boleh atau tidak? Apakah permainan catur itu berdosa atau tidak?

Beliau menjawab; “Jika permainan itu menyebabkan hilang kesempatan untuk menunai solat pada waktunya atau permainan itu disertai taruhan, hukumnya haram.

"Jika tidak, hukumnya makruh sahaja. Begitu menurut pendapat mazhab Syafie. Sedangkan menurut pendapat mazhab lainnya tetap sahaja haram."

Mazhab lain selain mazhab Syafie mengharamkan permainan catur apabila membuang masa apatah lagi sehingga meninggalkan solat, tipu menipu, melakukan kezaliman seperti tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga kerana leka bermain atau berlaku pertaruhan seumpama judi.

Bagi mazhab Syafie permainan ini adalah makruh pada asasnya dan jika disertai dengan apa-apa keburukan yang disebutkan di atas, ia tetap membawa kepada haram dalam mazhab Syafie.

Makruh itu pun dengan syarat bukannya main catur selalu, bukan dijadikan mainan harian, tidak bermain di khalayak ramai dan sekadar bermain-main sahaja. Ini yang perlu dijelaskan daripada mazhab Syafie.

Bukan kata bila makruh, boleh main siang malam. Ada juga pendapat yang mengatakan harus bermain kerana mengasah minda dan otak untuk berfikir.

Bagi kita di Malaysia yang berfahaman dan mengambil aliran mazhab Syafie maka berpeganglah kepada mazhab Syafie.

 

Apakah sah solat kalau tidak memakai telekung? Saya sudah memakai baju jubah labuh dan tangan panjang tetapi tidak memakai tudung bawal.

Ida, Sabak Bernam.

UKE: Kalau anda tak bertudung macam mana anda bersolat? Wajib menutup aurat dan ia syarat sah solat. Berjubah dan berlengan panjang tetapi tidak bertudung tidaklah dikira menutup aurat.

Yang dikehendaki ialah menutup aurat dan bukan membalut aurat dengan ketat.

Kalau berjubah sekalipun tetapi ketat sehingga segala bentuk tubuh badan nampak, itu belum dikira menutup aurat. Tidak semestinya solat mesti bertelekung tetapi yang dikehendaki ialah menutup aurat. Wajib menutup aurat dengan erti kata yang sebenarnya.

Ramai yang kononnya menutup aurat tetapi hakikatnya tidak. Ketat, jarang dan menampakkan warna kulit, maka itu belum sempurna menutup aurat. Maka pakaian yang paling sesuai ketika bersolat ialah bertelekung kerana menepati syarat menutup aurat itu sendiri.

Labuh, longgar, besar, tidak ketat, menutup keseluruhan badan melainkan muka dengan begitu longgar, tidak bertabarruj dan tidak menarik perhatian.

Selain itu tidak memberi fitnah, warna yang sama dan tidak menimbulkan fitnah dengan warna-warni, malah memu­dahkan pergerakan dalam solat maka itulah namanya telekung.

Kalau begitu kenapa ketika solat tidak mahu memakai telekung? Sedangkan jiwa anda akan tenang sebab anda betul-betul menutup aurat ketika solat dan tak perlu was-was lagi.

 

Perempuan diwajibkan memakai tudung yang menutup dada. Bagaimana sekiranya perempuan memakai tudung yang singkat tetapi tidak menampakkan apa-apa di dadanya?

Syifa Auini, Muar.

UKE: Allah berfirman: Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka! Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al-Ahzab:33).

Pakaian itu mestilah longgar dan tidak ketat. Pakaian yang ketat dan menampakkan susuk tubuh wanita tidak memenuhi maksud menutup aurat kerana ia boleh membangkitkan syahwat dan mendatangkan fitnah serta kerosakan.

Jika bertudung tetapi masih memakai pakaian sehingga menampakkan bentuk buah dada walau bertudung, maka tudung tadi hendaklah dilabuhkan sehingga menutupi bentuk buah dada tersebut dan pakaian itu juga hendaklah dilonggarkan.

Jika setelah memakai pakaian longgar dan tudung menutupi dada tetapi apabila ditiup angin misalannya sehingga nampak bentuk maka ia dimaafkan kerana sukar dielakkan dan bukan disengajakan.

Jika pakaian sudah longgar dan kain tudungnya sudah menutupi dada maka itu sudah memadai.

Yang pentingnya menutup aurat, tidak menunjukkan bentuk badan, tidak ketat, tudung pula melepasi dadanya, tidak bertabarruj dan tidak jarang, maka dikira menutup aurat, tak kiralah tudung itu tidak bersegi, empat segi atau labuh.