• Jaja, Gerik.
 

UKE:Yang muktamad dalam mazhab Syafie ialah tidak boleh berkorban untuk si mati melainkan jika diwasiatkan sebelum dia meninggal dunia. Ada juga pendapat lain dalam mazhab-mazhab lain.

Mazhab Syafie berpandangan korban ialah ibadat dan satu daripada prinsip ibadat ialah tidak dilakukan untuk orang lain melainkan jika adanya dalil.

Namun begitu ada juga pendapat yang tidak muktamad dalam kalangan mazhab Syafie mengatakan bahawa korban ini masuk kategori bersedekah bagi orang yang telah meninggal dunia.

Maka dibolehkan walaupun tanpa wasiat dan ini dikatakan memberi manfaat kepada si mati. Sila rujuk kitab al-Mu’tamad oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (2/490).

Daripada Aisyah RA, bahawa seorang lelaki berjumpa Nabi SAW dan bertanya, maksudnya: Wahai Rasulullah sesungguhnya ibuku mati secara mendadak tanpa sempat berwasiat, aku kira kalau beliau sempat berbicara (untuk wasiat) nescaya dia akan bersedekah, adakah baginya pahala kalau aku yang bersedekah bagi pihaknya? Kata Nabi SAW: Benar. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ganti puasa atau bayar fidyah?

Dahulu saya melahirkan anak dalam bulan puasa. Masalahnya saya dah bayar puasa gantinya dan kerana masih berbaki lima hari, saya terus bayar fidyah.

Baru-baru ini saya terbaca di dalam majalah bahawa kena habiskan menggantikan puasa baru boleh bayar fidyah. Bagaimana dengan fidyah yang telah dibayar itu?

  • Makcik Mah, Kuala Lumpur.

UKE: Berpantang dalam masyarakat Melayu kadang-kadang ada yang salah faham. Sebab itu kena faham terlebih dahulu tentang ‘pantang’ secara adat dan syariat. Dalam adat Melayu pantang selepas bersalin ada beberapa tempoh masyhur antaranya 44 hari dan 100 hari.

Berlaku salah faham apabila ada yang berpegang kena habiskan pantang selama hari-hari tersebut sedangkan nifasnya sudah berakhir atau sudah habis. Silapnya ialah dia tidak melakukan ibadat dengan alasan masih dalam pantang sedangkan nifasnya sudah berakhir.

Manakala menurut syariat, berpantang ini boleh dikaitkan dengan hukum keluarnya darah nifas. Hukum nifas, adalah seperti hukum haid pada perkara-perkara yang haram dilakukan yakni solat, puasa, membaca mushaf al-Quran, menyentuh dan membawanya, menetap di dalam masjid, bertawaf dan berjimak serta bermesraan suami dan isteri di antara pusat dan lutut.

Tempoh kebiasaan nifas adalah 40 hari, manakala maksimumnya adalah 60 hari. Maka jika dia masih dalam nifas maka tidaklah perlu menunaikan ibadat puasa dan dia perlu mengqadakan puasa ditinggalkan selama dia dalam nifas.

Wanita yang menangguh qada puasanya sehingga masuk ke Ramadan tahun seterusnya adalah haram dan wajib ke atasnya untuk qada puasa dan membayar satu mud (secupak makanan ruji seperti beras dalam zakat fitrah) bagi setiap puasa yang ditinggalkan dan tidak sempat diganti sebelum tiba Ramadan bagi tahun yang baharu.

Namun begitu pengecualian diberikan jika penangguhan itu bersebabkan uzur syarie. Rujuk al-Iqna (ms. 352). Dalam hal anda ada tiga perkara yang perlu anda perhatikan:

1. Anda hendaklah menggantikan puasa yang ditinggalkan semasa nifas dahulu.

2. Jika anda melewatkan puasa sehingga masuk ke Ramadan yang baharu, maka hendaklah puan ganti puasa, dan membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.

3. Jika anda meninggalkan ganti puasa atas sebab keuzuran seperti masih menyusu anak, lalu masuk ke Ramadan yang baharu, maka puan tidak perlu membayar fidyah tetapi tetap perlu menggantikan puasa.