Demikian juga di Brunei, jika selepas Perintah 2013 mengenai hudud dilaksanakan sekali pun, mengikut apa yang dicadangkan, jika di peringkat penyiasatan lagi, didapati tidak ada keterangan untuk mensabitkan tertuduh dan menghukumnya dengan hukuman hudud, tertuduh akan dituduh di Mahkamah Sivil, jika ada keterangan yang cukup mengikut Akta Keterangan (Sivil).

Perbincangan utama kita adalah mengenai pelaksanaan. Misalan yang dilakukan oleh Umar Ibn Khattab juga ber­kenaan dengan pelaksanaan. Undang-undang hudud telah dijadikan undang-undang negara, tetapi bagi tempoh ber­kenaan hukuman itu digantung. Kita berada dalam senario yang berbeza sedikit. Kita belum menjadikannya undang-undang negara. Soalnya, sama ada ia patut dijadikan undang-undang negara, dalam keadaan yang kita hadapi sekarang.

Adakah perbezaan itu perbezaan yang material? Pada pandangan saya tidak kerana kesannya sama: hukuman itu tidak akan dilaksanakan. Soalan berikutnya, adakah musim kelapar­an satu-satunya alasan yang memungkinkan penggantungan atau tidak melaksanakan hudud?

Dalam menimbang sama ada hendak membuat dan me­laksanakan sesuatu undang-undang, pihak berkuasa perlu menimbang banyak faktor. Pertama, pemerintah tidak dapat mengelak hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berperlembagaan. Maka, dalam membuat sesuatu undang-undang, ia mesti dilakukan dalam lingkungan bidang kuasa masing-masing, Persekutuan dan negeri.

Kedua, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen. Pandangan pengundi Islam dan bukan Islam perlu diambil kira. Terutama sekali dalam keadaan pada masa ini, di mana kedudukan UMNO-BN tidak kukuh, faktor pelaksanaan hudud boleh menjadi sebab jatuhnya kerajaan itu. Soalnya, mana lebih penting di antara mengekalkan pemerintahan UMNO-BN atau melepaskan Kerajaan Persekutuan kepada pakatan pembangkang dengan DAP dan parti-parti Kristian Sabah dan Sarawak menjadi parti dominan? Mana lebih me­rugikan Melayu dan Islam?

Ketiga, kita mesti menyedari hakikat Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama. Dalam hal ini, kea­daan di Malaysia adalah berbeza daripada keadaan di Kelantan yang majoriti besarnya adalah orang Melayu, Islam dan Pas yang terpikat dengan janji pilihan raya untuk melaksanakan hudud semata-mata atas hujah hudud adalah hukum Allah dan menentangnya bererti menentang hukum Allah.

Bagi Pas, memanglah sukar untuk mengatakan sesuatu berlainan, kerana takut kehilangan undi. Sebenarnya faktor hilang undi itu tidak betul.

Pada masa ini, di Malaysia hanya Pas yang paling vokal dan konsisten pendiriannya mengenai hudud. Jadi, jika pelaksana­an hudud begitu penting bagi mereka, mereka akan kekal menyokong Pas kerana untuk tujuan itu, Paslah pilihan terbaik. Kelantan tidak akan jatuh kepada UMNO, apatah lagi kepada pakatan DAP-PKR-GHB jika Pas berlembut sedikit mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan.

Dalam keadaan sekarang, Pas dan Kelantan perlu memikirkan mudarat yang lebih besar yang bakal menimpa orang Melayu dan Islam jika Kerajaan Persekutuan jatuh ke tangan pembangkang. Segala usaha dan perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat untuk orang Melayu dan Islam akan terbantut. Impian melaksanakan hudud juga akan berkecai.

Keempat, kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kelantan perlu ingat salah satu terma rujukan yang diberi kepada Suruhanjaya Reid adalah untuk membentuk sebuah negara Persekutuan yang kukuh. Sebab itulah antara lain, undang-undang jenayah diletakkan di bawah Persekutuan. Jika susunan ini dirombak, mungkin akan melemahkan negara Persekutuan Malaysia dan membawa kepada perpecahan.

Kelima, masalah keperlembagaan dan perundangan yang berserabut yang tidak dihadapi oleh Brunei, Pakistan mahupun Arab Saudi yang disebut dalam Bahagian 1, yang tidak memungkinkan satu jalan keluar yang memuaskan, perlu diambil kira.

Keenam, pelaksanaan hudud oleh negara-negara di dunia di zaman ini nampaknya tidak berjalan dengan baik:

* Di Pakistan, setelah kesalahan rogol dijadikan kesalahan hudud selama beberapa tahun, ia telah dipindah semula ke Penal Code sebagai kesalahan jenayah biasa. Sebabnya kerana berlaku ketidakadilan kepada perempuan yang dirogol dan mengandung tetapi tidak berjaya mengemukakan empat orang saksi. Mereka dihukum kerana berzina.

* Di Nigeria, beberapa negeri melaksanakan hudud tanpa berbincang dengan Persekutuan sedangkan polis, penjara dan undang-undang keterangan berada di bawah Kerajaan Persekutuan. Pelaksanaannya tidak seperti yang diingini dan undang-undang hudud semakin dilupai. Mengikut satu kajian dari Universiti Abuja, Nigeria pelaksanaan hudud tidak mengurangkan kes-kes rompakan dan seumpamanya.

* Di Sudan, pada Mac 2013 Timbalan Hakim Besar, Mahkamah Agung Sudan mengeluar amaran kepada para doktor jika mereka enggan melaksanakan hukuman hudud (misalnya potong tangan) beliau akan melatih hakim-hakim melakukannya. Ertinya ada sesuatu yang tidak kena juga.

* Di Arab Saudi, yang dilihat sebagai negara contoh dalam pelaksanaan hudud, mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai, kesalahan hudud tidak dikanunkan. Terserahlah kepada hakim-hakim untuk melaksanakannya atau tidak. Hakim-hakim itu hanya melaksanakannya terhadap orang luar (pendatang). Seorang Profesor Syariah yang melihat hukuman potong tangan di Arab Saudi berkata cara orang ramai bersorak dan memaki hamun pesalah bukanlah cara Islam.

Ketujuh, negara yang melaksanakan hudud bukan terdiri daripada negara yang aman yang mempunyai kadar jenayah yang rendah. Keadaan yang lebih baik di Arab Saudi bukanlah kerana pelaksanaan hudud tetapi kerana sebuah negara kaya. Namun demikian, tidakkah larangan perempuan memandu kereta dan keluar rumah tanpa ditemani saudara mara lelaki mempunyai kaitan dengan keselamatan mereka? Negara-negara yang mempunyai kadar jenayah rendah adalah Sweden, Belgium, Norway dan Jepun.

Kelapan, sekarang kita mahu doktor melakukan hukuman hudud seperti potong tangan. Adakah kita sendiri sudah merasa ia terlalu ngeri untuk melakukannya seperti yang dilakukan di zaman dahulu? Bagaimana jika doktor enggan melakukan­nya kerana kerja mereka adalah merawat bukan mencederakan?

Kesembilan, soal imej terhadap Islam yang diburukkan lagi oleh Taliban, ISIS dan Boko Haram yang melakukan kezaliman atas nama hendak melaksanakan Syariah. Semua faktor ini perlu ditimbang oleh Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan Kelantan sebelum membuat sesuatu keputusan.

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD ialah bekas Ketua Hakim Negara.