Sejak penubuhan Pas dan penceraian yang berlaku antara Pas dan UMNO, kedua-dua parti ini senantiasa bertembung dan tidak seia-sekata dalam semua aspek. Kemuncak polemik kedua-dua parti ini hingga menimbulkan suasana dua imam dalam satu kariah, menjatuhkan hukum haram-mengharam antara satu sama lain, kafir-mengkafir dan kemuncaknya apabila muncul amanat Hadi Awang pada tahun 1981 bahawa kalau mati melawan puak-puak ini (UMNO), mati mereka adalah syahid.

Maka sudah tentu kehadiran Ahmad Zahid Hamidi dan delegasi pemimpin UMNO dalam Muktamar Pas baru-baru ini membawa pelbagai erti dan persepsi dalam kalangan orang Melayu dan bukan Melayu.

Sememangnya ramai orang Melayu amat gelisah dengan apa yang sedang berlaku kini selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan. Hari demi hari ada saja isu-isu yang menyentuh perihal orang Melayu yang dibangkitkan sehingga melibatkan dasar dan Perlembagaan negara.

Awang percaya tidak pernah terlintas selama ini bahawa Kementerian Kewangan, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara akan diketuai oleh mereka yang bukan Melayu dan Islam. Tambahan pula, persoalan berkaitan kedudukan agama Islam, perihal bahasa Melayu, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, isu sosial seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta ancaman Islam liberal yang cuba dibangkitkan dilihat sudah menjadi satu ancaman kepada keharmonian yang dibina sejak 61 tahun dahulu.

Pada masa sama, timbul juga pelbagai pihak tertentu yang semakin berani menyoal secara terbuka perkara-perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan negara termasuklah peranan Institusi Raja-raja Melayu.

Hakikat sebenarnya, UMNO dan Pas mewakili lebih 50 peratus orang Melayu dalam negara ini. Pecahan terbesar orang Melayu berlaku kerana pertelingkahan antara UMNO dan Pas.

Ramai yang berbisik kepada Awang dan mereka mengharapkan persefahaman antara UMNO dan Pas kali ini bukan lagi hanya sandiwara semata-mata tetapi diharapkan menjadi realiti yang sudah lama dinanti-nantikan.

Kerjasama tahlul siyasi dengan UMNO yang diluluskan oleh Muktamar Pas diharap akan menjadi satu permulaan gandingan besar bagi menjamin masa depan orang Melayu dan Islam khususnya.

Pas sudah pernah bersama dengan pimpinan PH sama ada PKR atau DAP sebelum ini. Pas juga sangat mengenali dengan dekat pemimpin-pemimpin Amanah dan Pas juga tidak pernah sehaluan dan sefahaman dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dari dulu hingga kini.

Sememangnya keadaan orang Melayu kini seperti orang Melayu ketika dihimpit pada tahun 1946 apabila Kesultanan Melayu cuba dirobek oleh kuasa Inggeris ketika itu.

Bagi Awang, UMNO dan Pas tidak perlu gusar dengan persepsi kononnya orang bukan Melayu tidak akan menerima gandingan ini. Dalam erti kata lain, hubungan ini bukan untuk menimbulkan kegusaran politik perkauman. Apa yang lebih penting adalah bagaimana untuk memastikan survival perjuangan Melayu akan terus diperjuangkan dan Islam terus dipelihara.

UMNO dan Pas sudah pun bersetuju untuk memastikan undang-undang Islam akan dilaksanakan dalam negara ini. Maka tepatlah masanya hari ini, pakatan UMNO dan Pas menjadi kenyataan dan mempamerkan blok terbesar mewakili orang Melayu di dalam Parlimen.

 

HALA TUJU AHLI PARLIMEN UMNO?

Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman akhirnya mengaku kalah dalam perjuangan apabila membuat kejutan berhijrah keluar daripada UMNO. Apa jua alasan yang diberi, matlamatnya dilihat sama iaitu mencari jalan keluar daripada menjadi pembangkang dan cuba menjadi sebahagian daripada kerajaan pada hari ini.

Kalau dulu, tiga orang Ahli Parlimen UMNO daripada Masjid Tanah, Bagan Serai dan Bukit Gantang awal-awal lagi telah tumpas dengan tekanan, kini gelombang lompat parti menjelma kembali.

Persoalannya, apakah UMNO akan lumpuh dan adakah akan lebih ramai lagi yang akan meninggalkan UMNO dengan terus memberi alasan kolot iaitu kegagalan Presiden dan pucuk pimpinannya untuk membentuk hala tuju UMNO yang lebih jitu?

Awang merasakan bahawa rakyat tidak meminta hala tuju UMNO dirombak. Hakikat yang pasti ialah rakyat menolak UMNO pada PRU yang lalu disebabkan ketirisan kepimpinan UMNO dahulu terutamanya persepsi terhadap bekas Presiden yang terpalit dengan isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, tekanan kutipan GST ke atas rakyat serta anak muda yang termakan dengan janji PH seperti bayaran semula PTPTN dihapuskan dan peluang pekerjaan yang lebih besar.

Namun demikian, fenomena lompat parti yang semakin menjadi-jadi kini membuatkan Awang sendiri tertanya-tanya ke mana sebenarnya hala tuju Ahli Parlimen UMNO yang menang pada PRU-14 lalu?

Mampukah mereka menjadi pembangkang yang baik atau mereka sebenarnya masih dalam lamunan impian dan angan-angan untuk menjadi kerajaan? Beranikah mereka menjadi pembangkang bersuara lantang dan vokal atau suara mereka sudah dibekukan dengan ancaman jejak ke penjara?

Awang merasakan masalah besar Ahli Parlimen UMNO ialah mereka kini diigaukan dengan bayangan tirai besi penjara sehingga ada yang tersungkur sebelum berjuang dan ada yang kelu terkunci lidah mereka untuk tidak berkata apa-apa.

Timbul juga persoalan, mampukah UMNO bertahan jika terus mengharapkan Ahli-ahli Parlimen yang mempunyai sikap seperti ini ataupun UMNO perlu ditransformasi dengan pimpinan generasi baru yang langsung tidak pernah terlibat dengan pimpinan kerajaan terdahulu agar mimpi ngeri tirai penjara tidak menjadi penghalang untuk mengembalikan perjuangan sebenar UMNO seperti awal dahulu?

Jika keadaan lompat parti ini terus berlaku, biarlah UMNO tidak ada wakil di Parlimen sekalipun. Perjuangan bangsa akan tergadai apabila kepentingan peribadi lebih diutamakan berbanding kepentingan parti dan ini yang berlaku dalam UMNO hari ini.

Awang berasa simpati kepada ahli-ahli UMNO yang selama ini tidak berputus asa dan terus berjuang mempertahankan UMNO tetapi lain pula yang berlaku pada saf kepimpinan atasan yang tunduk layu sebelum berjuang. Walau apa pun yang berlaku, ramai yang masih mengharapkan maruah dan roh UMNO perlu terus dipertahankan.

Awang juga merasakan sudah tiba masanya kerajaan mengkaji untuk menggubal Undang-Undang Anti Lompat Parti (Anti-Hoping Laws) bagi memastikan kesetiaan dan integriti dalam politik. Ini juga bagi mendidik ahli politik tidak membuat pengkhianatan dan komplot bagi menjatuhkan kerajaan dan parti, dan yang lebih penting adalah soal pengkhianatan terhadap mandat rakyat.

Pemimpin harus sedar kemenangan semasa pilihan raya disebabkan jentera parti, khidmat ahli akar umbi, manifesto dan kesepakatan antara pemimpin serta ahli parti yang mendukung calon-calon di setiap Parlimen atau Dewan Undangan Negeri walau sejauh mana popularnya mereka sekalipun.

 

ORANG MUDA DAN PTPTN

Awang bersyukur akhirnya Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima realiti hutang mesti dibayar. Mengajar anak muda untuk tidak membayar hutang merupakan satu jenayah kepada bangsa dan negara. Lebih-lebih lagi hutang itu adalah hutang untuk menampung perbelanjaan pendidikan generasi masa hadapan negara.

Tidak adil untuk mereka yang menerima wang pinjaman tetapi mengelak untuk membayar semula. Anak muda tidak pernah merungut tentang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Malahan ia merupakan satu bantuan besar kepada ibu bapa bagi memastikan anak-anak mereka dapat menjejak kaki ke menara gading dan meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.

Hakikatnya, PH yang memanipulasikan isu pembayaran PTPTN. PH memberi harapan kepada mereka bahawa kini mereka boleh mendapat wang percuma untuk pendidikan tanpa perlu membayar semula. Janji manis ini juga yang menarik minat anak muda untuk memangkah PH dalam PRU lalu.

Seharusnya Tun Mahathir dan pimpinan PH perlu bertanggungjawab dan mengotakan janji untuk memberi pendidikan percuma di universiti seperti mana yang diuar-uarkan dalam kempen pilihan raya mereka.

Awang amat bersetuju dengan kenyataan Tun Mahathir, mereka yang tidak membayar pinjaman PTPTN memang memalukan tetapi lebih memalukan apabila ada pemimpin yang berjanji dan kata tak perlu bayar hutang jika mereka diberi mandat membentuk kerajaan. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak janji memalukan diri.