Jika disemak dengan semua universiti awam, terdapat portfolio khusus berkaitan kerjasama universiti dan industri sama ada lantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (TNC), Penolong Naib Canselor (PNC) mahupun Pengarah. Ini memperlihat kesungguhan universiti menjadikan misi dan visi mereka terus subur bersama penglibatan rakan strategik dari pihak industri. Sejak sekian lama hubungan universiti dan industri terjalin melalui pelbagai platform seperti penglibatan ­Panel Penasihat Industri dan Profesor Adjung dalam sesuatu program akademik.

Setiap kali program disemak, panel ini memainkan peranan memberikan input berharga dari pihak industri agar program yang dijalankan di institusi pengajian tinggi (IPT) sentiasa relevan ­seperti yang digariskan oleh pihak berwajib seperti MQA dan Badan Profesional berkaitan. Sesetengah program terutama berkaitan sesuatu teknologi sangat menekankan peri penting untuk bergerak seiring dengan kemajuan dan kepesatan sektor perindustrian negara.

Lawatan akademik oleh sekumpulan pelajar dan latihan industri juga diwajibkan bagi semua pelajar sebelum layak bergelar graduan sesebuah IPT. Malah terdapat IPT yang menjemput pakar dari industri berkongsi pengalaman dan pengetahuan kepada pelajar melalui perbagai program untuk mendedahkan pelajar kepada persekitaran sebenar sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), banyak inisiatif diambil kerajaan bagi meningkatkan kualiti pensyarah, menambah baik penyelidikan, pembangunan dan inovasi di IPT. Peratusan staf akademik dengan kelulusan ijazah doktor falsafah (PhD), dapat mempertingkatkan kualiti pengajaran dan menyumbang kepada penarafan universiti yang lebih baik. Dalam tempoh 2011 hingga 2013, program Mybrain15 memberikan manfaat kepada 3,150 pemohon. MyPh.D dan PhD Industri telah memberikan manfaat kepada 4,514 orang di seluruh negara melalui kerjasama kedua pihak universiti dan industri.

Program pemindahan pengetahuan (KTP) adalah platform penting bersama pihak industri yang diperkenalkan dalam tempoh RMK-10 bagi menterjemahkan output penyelidikan bernilai seperti harta intelek. Projek KTP yang diluluskan pada 2014, sebanyak 254 projek yang bernilai RM35.6 juta termasuk sumbangan pihak industri berjumlah RM8 juta telah dilaksanakan yang memberikan pulangan kepada pihak universiti dan industri.

Sejak sedekad lalu, budaya untuk berdaya saing secara tidak sihat di beberapa syarikat di dalam sektor industri di negara ini, ha­nya diguna pakai bagi menyempurnakan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) tanpa melihat komitmen kepada pembangunan minda bakal pekerja mereka di IPT. Pendedahan kepada alam pekerjaan sebenar kurang di­terapkan di peringkat awal dalam kalangan pelajar universiti, kerana kurangnya tenaga pendidik yang mempunyai pengalaman bekerja di sektor industri.

Pemantauan bagi mengoptimumkan proses tidak diberi tunjuk ajar secara menyeluruh dan terperinci. Kesedaran tentang jenis-jenis pembaziran yang lazim berlaku di kawasan pengeluaran juga tidak disediakan secara teknikal dan visual, lantaran ketandusan idea dalam kalangan tenaga pendidik tanpa melengkapkan diri dengan pengalaman sebenar terlebih dahulu sebelum berkecimpung di dalam arena akademia.

Laluan pantas juga adalah cabaran kepada IPT, kerana ada dalam kalangan mereka yang berterusan menimba ilmu bermula di peringkat ijazah sehinggalah ke peringkat doktor falsafah (PhD), memonopoli profesion ini tanpa pendedahan di sektor industri hanya berpandukan buku teks dan mewariskan segala ilmu teori kepada pelajar yang ­sememangnya dahagakan bimbingan dan pe­ngalaman pensyarah mereka.

Kewujudan industri gergasi yang mengeluarkan mesin dan perkakasan industri dengan teknologi terkini, juga boleh menjadi cabaran kepada universiti sekiranya tidak dimanfaatkan. Latihan-latihan yang disediakan bagi memperkasakan kemahiran penyelenggaraan mesin sebagai contoh, sekiranya tidak disertakan dengan usaha bagi menjadikan ia sebagai satu saluran latihan melalui kerjasama antara pihak universiti dan industri akan melumpuhkan lagi fungsi kedua-dua entiti ini untuk terus berdaya saing.

Penghayatan terhadap polisi universiti untuk melaksanakan ‘MoU’ antara universiti dan industri ditandatangani sebahagiannya dilakukan tanpa ada pelan tindakan menyeluruh bagi merealisasikan objektif bersama tercapai. Perancangan yang tidak efektif menyebabkan program kolaborasi yang dimaksudkan hanya tinggal sebagai projek gajah putih dan hanya tampak hebat ketika sidang akhbar membuat liputan semasa upacara menandatangani memorandum bersama berlangsung.

Mengimbangkan komponen teori dan praktikal dalam kurikulum yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak, iaitu antara universiti dan industri yang lebih relevan dengan operasi sebenar di sektor pembuatan, terutamanya untuk penambahbaikan kadar rejection, downtime and juga speed loss amat penting bagi mengukur kualiti graduan dan pengamal industri. Kurikulum ini terlebih dahulu perlu diuji dalam kelompok kecil yang bertindak sebagai jawatankuasa pemacu dalam jangka masa yang ditetapkan yang terdiri daripada kalangan pakar di universiti dan pakar-pakar industri.

Menyemarakkan lagi program kolaborasi antara universiti dengan industri, seperti penyaluran dana penyelidikan, memantapkan latihan industri serta Pembangunan Graduan Akademia-Industri (AIGDC) di semua IPT bagi membolehkan pentadbir dan pelajar mendapat pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar serta penyelarasan yang lebih menyeluruh. Perkongsian [email protected] dari tokoh tersohor perlu diperhebatkan lagi kerana ia boleh menjadi ikon kepada pelajar, malah mendapat suntikan terus dari pakar industri. Dengan wujudnya program latihan teknikal bersama kedua pihak mampu memenuhi matlamat pemindahan teknologi sebagaimana yang seharusnya diidamkan.

Pihak Universiti juga perlu melipatgandakan komitmen profesional daripada industri bagi memperkaya dan memperkukuh reputasi akademik dengan lebih kondusif. Melalui inisiatif ini, IPT Malaysia akan memperoleh bakat dari pelbagai pihak dalam usaha mendapat pengiktirafan dari pertubuhan profesional serta industri dari dalam dan luar negara.

Keterbukaan dan komitmen yang menyeluruh pihak universiti dan industri adalah formula penting bagi bergerak bersama menyaingi negara maju yang lain dan seterusnya dipandang tinggi oleh masyarakat dunia.

PROFESOR DR. YUSRI YUSOF dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).