MUHYIDDIN YASSIN tidak habis-habis memburukkan Najib di media Indonesia dan terbaharu dalam majalah Tempo awal September lalu.

Kalau mahu disentuh dalam konteks hubungan antara negara, Indonesia adalah antara negara awal yang secara rasminya menjalinkan hubungan diplomatik dengan Malaysia sejak kita mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun yang lalu. Itu kalau dilihat dari sudut ‘kerajaan dengan kerajaan’. Namun hubungan kita dengan mereka sudah jauh lebih lama daripada itu, lebih lama lagi sebelum berlakunya penjajahan Inggeris dan Belanda.

Kita menerima keha­diran keluarga orang Bugis, Minangkabau, Man­dailling, Jawa, Ba­wean dan lain-lain ke sini lama sebelum adanya buku merah bernama pasport. Leluhur kita juga ba­nyak dari sana. Pa­rameswara yang mendirikan Melaka itu dari mana?

Namun seperti mana air dan pantai, begitu juga terjadinya ‘pasang surut’ hubungan dua hala di antara kita dan mereka. Adakalanya dilihat se­nada, tetapi tidak seirama. Adakalanya di­lihat keruh di hulu tetapi jernih di hilirnya. Ini diburukkan lagi dengan pihak-pihak berkepen ­tingan yang lebih suka melihat perseteruan an­tara dua bangsa ini bagi mencapai matlamat dan perasaan busuk hati yang bersarang di jiwa mereka sejak sekian lama.

Terbaharu insiden ‘bendera terbalik’ di buku atur cara sempena majlis pembukaan Sukan SEA di Kuala Lumpur baru-baru ini. Walaupun permohonan maaf secara terbuka telah dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Presiden Jokowi sendiri meminta agar isu itu tidak dibesarkan-besarkan, namun ia tetap mendapat protes di sana terutama dalam kalangan anggota Laskar Merah, hingga diadakan demonstrasi besar-besaran di pejabat kedutaan kita. Seolah-olah kekhilafan itu sengaja dibuat bagi memalukan mereka!

Paling menyedihkan, emosi dan amarah rakyat mereka satu hal, tetapi rakyat kita sendiri juga ada yang menabur fitnah, mengadu domba, memburukkan negara dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak di media mereka hanya kerana berbeza pendapat dan tidak sebulu dengan corak kepimpinannya. Apa ertinya semua ini?

Antaranya bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tak habis-habis memburukkan Najib di mata media Indonesia. Terbaharu dalam majalah Tempo awal September beberapa hari selepas negara menyambut ulang tahun kemerdekaan pada 31 Ogos baru-baru ini. Serangan bertalu-talu dihamburkan ke atas Perdana Menteri walaupun sehingga kini semua yang beliau perkatakan jauh menyimpang daripada hakikat dan realiti sebenar apa yang berlaku.

Insaf atas apa yang terjadi dan sebagai rakyat yang bertanggungjawab untuk melihat hubungan jernih antara dua negara terus dipelihara daripada anasir-anasir liar ini, saya dan rakan-rakan di sana menubuhkan sebuah inisiatif bukan kerajaan yang dinamakan Nusa­sentris. Antara objektif penubuhannya adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara people to people khususnya dalam kala­ngan anak muda.

Nusasentris diharapkan dapat mengeratkan hubungan para pemuda dari kedua negara supaya sebarang isu yang tercetus antara kedua-dua buah negara dapat diselesaikan dengan baik dengan tanpa wujudnya sebarang sentimen yang boleh menggugat keharmonian yang telah terjalin sejak sekian lama.

Kita juga akan membuat program-program yang melibatkan mereka untuk mengembangkan bidang kebudayaan, sosial dan pendidikan antara dua negara. Salah satu daripadanya adalah mempopularkan konsep pemikiran kesederhanaan dalam Islam atau wasatiyyah yang diketengahkan oleh Najib sendiri di dalam buku tulisannya Wasatiyyah: Idea dan Realitis.

Alhamdulillah buku itu telah dialih bahasa dalam bahasa Indonesia. Ia diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan sebuah syarikat penerbitan Indonesia, Penerbit Penjuru Ilmu. Pelancaran buku itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sempena Pameran Buku Antarabangsa Indonesia yang berlangsung baru-baru ini.

Selain itu, ketika di Jakarta, saya juga berkesempatan menjawab segala isu, tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada negara dalam satu temu bual dengan para wartawan Rakyat Merdeka.

Dalam temubual itu, tanpa berselindung saya membe­ritahu wartawannya, tidak dapat dibayangkan bagaimana rasanya kalau kedua-dua buah negara serumpun ini saling bercakaran, apatah lagi susur galur saya sendiri orang Jawa dan mentua saya Mandailing (Sumatera)! 

Dalam isu 1MDB, saya memberitahu mereka yang ia jelas usaha terdesak pihak pembangkang untuk menggu­lingkan Najib. Ia sudah dibahas dan dijawab dengan terperinci malah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sendiri mengesahkan tidak ada wang negara yang hilang seperti mana yang didakwa!

Namun pembangkang akan terus menyerang dan saya petik apa yang dilakukan ahli propaganda Nazi Jerman Jo­seph Goebbels yang berkata: ‘Pembohongan yang di­ulang-ulang akan (dianggap) menjadi kebenaran’.

Kesimpulannya, kedatangan saya ke Jakarta kali ini benar-benar memberi kepuasan. Apalagi sumbangan itu demi negaranya. Semoga persaudaraan antara kedua-dua buah negara ini akan terus berkekalan selama-lamanya sekali gus memadamkan api sengketa yang datangnya tidak dijangka!

PENULIS ialah Ahli Parlimen Sungai Besar.