Pertama, bagi mengelak berasa diri yang paling hebat, hubungan baik antara ketua dengan pekerja perlu terjalin secara ikhlas dan jujur. Ingatlah, setiap kebaikan akan mendatangkan kebaikan. Kalau kita sebagai ketua, banyak kebaikan dalam diri kita, pasti akan dapat melihat kebaikan dalam diri orang lain. Timbulkan suasana, pekerja/staf suka dengan kebaikan kita sebagai ketua; menghormati kita, bukan takut kepada kita.

Jadilah ketua yang baik hati; mudah memberikan kasih sayang, nasihat, serta murah hati dari segi kewangan dan pertolongan. Ini kerana pekerja/staf ini ibarat kereta; perlu diservis, diberikan minyak, pelincir dan gris. Pekerja/staf memang sangat memerlukan perhatian daripada ketuanya, oleh sebab itu bermurah hatilah untuk membelanja staf makan dan minum atau menghadiahkan sesuatu sebagai tanda kita memberi perhatian kepada mereka, dengan tujuan untuk membahagiakan mereka.

Dalam hal ini juga, mengenali dan mengingati nama pekerja/staf juga penting, walaupun nampak perkara ini kecil sahaja. Ia menjadi penting, kerana ini menunjukkan sebagai ketua kita tahu tentang pekerja/staf. Barulah mereka berasa seronok bekerja kerana berasa dirinya penting, hingga dikenali ketua.

Sentuhan peribadi dari hati ikhlas ketua terhadap pekerja/staf amat penting sebagai tanda mereka dihargai. Apabila mereka berjaya menyelesaikan kerja dengan baik, segala kepenatan dan stres mereka diang­gap berbaloi, se­telah mendengar ketua mengucapkan terima kasih, memuji dan menghargai usaha mereka. Hargai pekerja/staf apabila mereka memberi idea, walaupun idea itu daripada pekerja/staf bawahan. Cuba dengar dahulu mereka mengemukakan idea, bukan mencatas peluang mereka bersuara.

Jalinkan hubungan silaturahim dengan pekerja; sentiasa rapat dan ramah dengan mereka. Jangan kerana tekanan kerja dan terlalu tertumpu kepada sasaran serta pencapaian kerja, hubungan ketua dengan pekerja/staf menjadi tegang dan renggang. Hubungan baik dan selesa antara ketua dengan pekerja/staf sangat penting; tidak boleh terputus, kerana mereka adalah eset kita yang akan membantu merealisasikan sasaran dan pencapaian kerja kita.

Ketua yang memimpin, mesti adil dan saksama kepada semua pekerja/stafnya. Jika kita sebagai ketua, berhadapan dengan pekerja/staf yang bermasalah; contohnya malas, pekerja/staf tersebut tidak boleh dibiarkan dengan sifat malasnya. Pastikan pekerja/staf kita yang pemalas itu melaksanakan tugasnya. Kalau tidak boleh diperbetulkan sikapnya, sekurang-kurangnya kita sebagai ketua, buat dia berasa tidak selesa dan malu menjadi staf yang pemalas. Kalau kita tidak memberikan perhatian dan menyelesai masalah pekerja/staf yang pemalas ini, dia akan menjadi sumber masalah atau contoh yang tidak baik kepada pekerja/staf yang lain. Kalau sebagai ketua, kita tidak boleh adil kepada staf, jangan harap Allah akan adil dengan kita.

Ada waktunya sebagai ketua kita perlu bertegas dan berani, tetapi bukan untuk menjadi sombong dan bongkak, dengan menganggap kita orang nombor satu dalam organisasi. Jauhi sifat ‘kesedaran keegoan’; suka menunjukkan kuasa, suka dan berbangga melihat orang takut dan mendengar arahan kita, serta suka melihat orang susah dan stres kerana kita.

Perasaan

Begitu juga, kalau kita seorang ketua yang sombong, sibuk suruh orang hormatkan kita sedangkan kita tidak menghormati perasaan pekerja/staf, jangan harap mereka menghormati kita. Ingat formula ‘Reset Minda’, ADA – BERI – DAPAT, sebagai ketua, hormat perasaan pekerja/staf kita dahulu, barulah staf akan hormati kita.

Kedua, mesti ada ilmu. Kalau sebagai ketua, kita tidak cukup ilmu, kemahiran dan pengalaman, kita akan kehilangan keyakinan diri untuk memimpin. Orang bawahan kita juga akan hilang keyakinan kepada kita dan lebih parah lagi mereka tidak menghormati kita, sebagai ketua kerana hilang kepercayaan kepada pimpinan kita.

Walaupun, sebagai ketua kita tidak menguasai bidang yang kita tangani atau bidang yang kita diberi tanggungjawab memimpinnya, sekurang-kurangnya kita mesti mempunyai kemahiran mengawal, mengurus, dan yang lebih penting boleh membuat keputusan. Ketua yang baik sepatutnya menganggap kita bekerja untuk mereka, sebagai orang yang setaraf dengan mereka, bukan sebagai orang bawahan. Gunakan kuasa dengan hati-hati dan tidak mengongkong sehingga menghalang kebebasan dan kemerdekaan pekerja/staf, kecuali apabila benar-benar perlu.

Hakikatnya tidak ada orang yang suka dikongkong dan sentiasa diperintah. Sebagai ketua, cubalah kita letakkan diri di tempat mereka, sebagai pekerja/staf. Kalau kita tidak suka orang memberi layanan negatif kepada kita, begitu jugalah kita mesti melayan pekerja/staf kita sebagaimana kita mengharapkan mereka menerima kita secara positif. Ketiga, ketua yang baik mesti ada sikap dan niat untuk hubudiyah dan berdakwah. Tunjukkan sifat ‘kesedaran ketuhanan’ yang tinggi dengan sifat hubudiyah. Iaitu mempunyai sifat kehambaan kepada Allah, jiwa bersih, dan kuat beribadah. Sikap kehambaan kepada Allah itu akan menjadikan kita pemimpin yang tidak bongkak, dan sentiasa ingat bahawa kuasa yang kita miliki hanya sementara, yang benar-benar berkuasa hanya Allah SWT.

Ketua mempunyai tanggungjawab yang besar, kerana jika tersilap langkah memimpin kedua-dua kakinya ke neraka. Tetapi, jika betul arah tuju langkahnya, kedua-dua kakinya ke syurga. Ketua bukan bertanggungjawab kepada hubungan dirinya dengan Allah sahaja, tetapi ketua juga bertanggungjawab kepada orang sekelilingnya; membimbing ke arah kebenaran dan ketaatan kepada Allah, memberikan manfaat, kebajikan dan kepuasan kepada mereka. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.