Apa tidaknya. Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke utara tanah air telah pun beroperasi sekali gus memberi manfaat kepada penduduk, mengapa perkara sama tidak direalisasikan untuk kawasan selatan tanah air?

Status projek tersebut sebenarnya ditangguhkan sementara sehingga Mei 2020 dan kata sepakat itu dicapai setelah kedua-dua pihak menandatangani Surat Sampingan projek tersebut. Selain itu, Malaysia juga perlu membayar kos penangguhan kepada Singapura sebanyak Dollar Si­ngapura 15 juta (RM45.1 juta) sebelum Januari 2019 ini.

Pelbagai maklum balas telah diberikan terhadap jumlah kos yang perlu dibayar oleh Malaysia dek kerana penangguhan tersebut. Masakan tidak, dalam persekitaran ekonomi semasa, angka tersebut dilihat sebagai angka yang tinggi untuk dibayar.

Namun begitu, kos penangguhan yang perlu dibayar oleh kerajaan Malaysia itu sebenarnya me­rupakan kos terhadap kerja-kerja pemindahan utiliti yang telah pun dijalankan oleh kontraktor di Si­ngapura.

Penangguhan bersifat sementara yang memakan masa selama dua tahun itu diharap tidak memberi impak besar terhadap model perniagaan dan kenaikan kos. Namun sekiranya Malaysia tidak dapat meneruskan projek HSR selepas 31 Mei 2020, Malaysia bakal menanggung kos yang dihadapi pihak Singapura dalam memenu­hi Perjanjian Bilateral HSR.

Sudah pasti kerajaan akan melakukan sesuatu supaya tidak menanggung sebarang kerugian dan juga akan meneruskan sebarang projek berimpak tinggi untuk meningkatkan kemajuan negara.

Realitinya, projek HSR ini telah dilihat sebagai satu projek berdaya maju dan mempunyai kepentingannya kepada rakyat di kedua-dua negara. Justeru, ke­perluan bagi menjayakan projek ini sudah tentu melibatkan pelan perancangan yang teliti bagi memastikan kewujudannya mampu memacu pertumbuhan ekonomi buat dua negara terbabit. Umum mengetahui, kedudukan geografi kedua-dua negara ini amat strategik terutama dalam konteks menarik lebih ramai pelabur luar.

Bagaimanapun tidak dinafikan terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi seperti mengkaji semula penggunaan pelbagai teknologi baharu dalam usaha mengurangkan kos bagi menjayakan projek berprestij ini.

Sememangnya, projek HSR ini mampu memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi buat Malaysia dan Singapura. Bahkan projek ini dilihat bakal memberi fokus kepada kepelbagaian penyediaan pengangkutan antarabangsa yang maju dan berdaya saing dalam usaha memberi kelainan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan di rantau ini.

Dikhabarkan, projek HSR ini apabila siap kelak akan mempunyai dua komponen iaitu International Service yang melibatkan perjalanan dari Singapura ke Malaysia serta Domestic Service yang melibatkan tujuh hentian sepanjang perjalanan.

Dua komponen itu bakal memberi kesan domino terhadap ke­seluruhan kegiatan ekonomi di kedua-dua laluan sama ada dari Malaysia ke Singapura mahupun dari Singapura ke Malaysia. Sektor pelancongan adalah antara sektor yang akan mendapat kesan segera daripada projek HSR ini.

Seterusnya, industri kecil dan sederhana yang terdapat di sepanjang laluan juga mampu dirancakkan lagi dengan kehadiran projek HSR tersebut. Sudah tentu Malaysia amat berminat untuk fokus terhadap komponen International Service ini yang pastinya dapat menguntungkan negara.

Selain berupaya membantu membangunkan bandar-bandar kecil di sepanjang laluannya, projek HSR itu turut dilihat sebagai usaha mengurangkan kesesakan di Tambak Johor serta Laluan Kedua Malaysia-Singapura memandangkan di kedua-dua laluan itu telah mengalami pertumbuhan pesat pengguna jalan raya sehingga jumlah kenderaan me­lebihi kapasitinya.

Statistik menunjukkan jumlah pengguna jalan raya di Tambak Johor sahaja, terdapat lebih 154,000 kenderaan menggunakan laluan tersebut untuk keluar ma­suk setiap hari dan akan menjadi dua kali ganda pada hujung ming­gu. Ini menunjukkan sudah tiba masanya satu pendekatan baharu perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini.

Sehubungan itu, dengan ada­nya perkhidmatan alternatif se­perti HSR ini, ditambah pula dengan kadar tambang yang berpatutan, sudah pasti dapat menggalakkan rakyat Malaysia yang saban hari menggunakan kedua-dua laluan ini untuk kembali menggunakan pengangkutan awam. Dengan cara ini, sudah pasti masalah kesesakan lalu lintas antara Malaysia dan Singapura akan dapat diatasi.

Kesimpulannya, projek HSR ini mampu memberikan kebaikan kepada kedua-dua negara melalui satu jaringan kerjasama perniagaan yang kukuh, pada masa sama dapat menjana pertumbuhan ekonomi lebih mampan apabila terlaksana kelak.

Pun begitu, Malaysia ketika ini terpaksa menangguhkan perlaksanaan projek tersebut sehingga ke satu tempoh yang munasabah. Malahan buat masa ini pampasan tidak perlu dibayar sebaliknya akan dibuat sekiranya di saat-saat akhir tempoh penangguhan, Malaysia terpaksa membatalkan projek HSR berkenaan.

Sebagai rakyat Malaysia yang faham dan prihatin terhadap keada­an kewangan negara, sama-samalah kita bertenang dan berharap agar sebarang projek yang memberi manfaat kepada semua rakyat akan terus dapat dilaksana­kan.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.