Gagang telefon tercabut, peti duit syiling dipecahkan malahan pondok telefon dipecah, diconteng malahan ada yang ditumbangkan. Banyak lagi harta benda awam atau kemudahan awam yang menjadi sasaran vandalisme. Dinding, pintu, tandas dan sebagainya menjadi sasaran mereka yang tidak peduli keperluan orang lain. Begitu jugalah apa yang berlaku terhadap kemudahan yang disediakan di projek terbaharu, perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT).

Apa masalah yang melanda masyarakat kita sehingga tidak mempedulikan ‘keselamatan’ har­­ta benda awam itu? Ya memang itu milik pengendali MRT tetapi semuanya itu disediakan untuk siapa? Tentunya para pengguna kemudahan berkenaan iaitu orang awam. Sebelum ini, pada Selasa lalu, 18 Julai 2017, hari pertama perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dibuka sepenuhnya kepada orang ramai, Bisik-Bisik Utusan Malaysia telah mengingatkan supaya pengguna dapat mengelakkan vandalisme. Awang Selamat mengajak pengguna meraikan kejayaan MRT dengan berusaha menjaga perkhid­matan ini. Perbaiki kelemahan dan sentiasa meningkatkan mutu perkhid­matan.

Awang Selamat mengajak pengguna menghargai pelaburan tinggi pihak kerajaan untuk kemudahan rakyat. Ingatan itu sebenarnya adalah disebabkan jangkaan akan berlaku vandalisme. Akhirnya, jangkaan itu tepat kerana seminggu selepas perkhidmatan itu diperkenalkan, berlaku vandalisme melibatkan kemudahan di stesen. Menyelak kembali kemudahan sebelum ini, vandalisme seolah-olah menjadi satu budaya masyarakat yang tidak dapat dielakkan. Vandalisme berlaku di mana-mana. Mungkin inilah yang dikatakan kemudahan kelas pertama tetapi minda kelas ketiga.

Selak dalam keluaran akhir Januari lalu telah memperkatakan isu ini di bawah tajuk Luah perasaan tanpa rosakkan harta awam. Tulisan itu merujuk kepada papan iklan (billboard) yang tertera slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan dan juga 1Malaysia berhampiran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral. Slogan itu diconteng dan ditambah perkataan lain. Memang papan iklan itu sudah uzur dan pecah tetapi ayat asal itu masih kelihatan. Kerosakan akibat vandalisme itu dikesan sejak tahun 2016. Jika ia dianggap sudah tidak diguna lagi, eloklah dipadam terus ayat berkenaan kerana slogan itu berkait rapat dengan kerajaan dan kepemimpinan negara. Ia juga bertentangan dengan slogan yang tertera iaitu Sayangi Kuala Lumpur, Kebersihan Bandaraya, Tanggungjawab Bersama. Jelaslah kewujudan papan iklan yang menjadi mang­sa vandalisme itu umpama cakap tidak serupa bikin. Slogan tinggal slogan. Hari ini keadaan yang sama masih wujud di situ. Kenapa tidak dimusnahkan terus atau dipadamkan sahaja dengan cat? Adakah kita berbangga slogan yang ada kaitan dengan negara ini diconteng, dipermain dan dibiarkan usang begitu sahaja? Mungkinkah itu pendirian pihak berkuasa di kawasan ber­kenaan walaupun ia menjadi salah satu laluan pejalan kaki yang berurusan di UTC terutama bagi yang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di stesen Plaza Rakyat dan juga MRT (Stesen Merdeka). Walaupun kedudukannya agak tersorok tetapi ia tetap menjadi laluan ramai termasuk pelancong.

Kembali kepada vandalisme, ia berlaku di mana-mana sahaja dan mereka yang kreatif akan menconteng dengan perkataan-perkataan yang memalukan serta boleh menimbulkan kemarahan. Tangan-tangan nakal yang kreatif akan terus ‘berkarya’ tanpa mempedulikan siapakah pemilik ‘harta awam’ yang dirosakkan itu. Kenapa mereka bertindak demikian? Faktor yang menyebabkan perkara ini antara lain disebabkan tekanan dan emosi dan mereka ingin meluahkan perasaan marah, gembira, bosan, sedih dan sebagainya. Mereka yang melakukan ini juga terdiri daripada pelbagai peringkat umur, bukan sahaja yang tidak berpendidikan tetapi juga yang boleh berfikir baik dan buruknya.

Persoalannya kenapa kemudahan awam menjadi sasaran? Adakah mereka ingin menarik perhatian ramai yang menggunakan kemudahan itu? Kita tidak tahu apakah vandalisme yang sekadar melibatkan kemudahan seperti tandas, tempat duduk, papan iklan dan sebagainya akan merebak sehingga merosakkan sesuatu yang lebih besar daripada itu sehingga boleh menjejaskan keseluruhan perkhidmatan. Kerosakan kemudahan seperti ini akan melibatkan kos yang tinggi kepada pengendali perkhidmatan. Belum tentu hasil jualan tiket perkhidmatan MRT mampu menampung kos kerosakan yang berlaku lebih-lebih lagi tambang murah yang dikenakan kepada pengguna perkhidmatan itu. Raikanlah kejayaan projek MRT ini dengan menghargai per­khidmatan yang disediakan bukan mencari jalan untuk memusnahkannya.

Rakyat perlu dididik dengan kesedaran sivik untuk menghargai harta benda awam ini. Jangan biarkan vandalisme merebak kepada perbuatan lain yang membawa kecelakaan atau keburukan yang lebih teruk kepada perkhidmatan berkenaan. Langkah-langkah pengawasan perlu dilakukan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV). Awasilah tingkah laku pengguna termasuk ketika di dalam tren. Beberapa tingkah laku yang di luar vandalisme tetapi berkaitan dengan sikap dan kesedaran sivik juga perlu ditegur. Baru-baru ini, ketika menaiki LRT, terdengar seseorang dengan lantang menegur sekumpulan wanita yang rancak berbual dan ketawa. Dia berkata: “Ini pengangkutan awam bukannya rumah, tolong diam sikit.”

Masyarakat boleh memainkan peranan untuk menyedarkan mereka yang bersikap sedemikian. Beberapa tingkah laku yang boleh ditegur termasuklah makan dan minum di dalam tren sedangkan terdapat larangan berbuat demikian. Begitu juga sikap penumpang yang tidak menghormati orang yang lebih tua, orang kurang upaya, wanita mengandung dan sebagainya yang lebih memerlukan tempat duduk.

Lebih mendukacitakan, ada penumpang yang mengambil alih tempat yang dikhaskan untuk golongan seperti ini dan tidak peduli dengan orang yang benar-benar memerlukan. Begitu juga dengan sesetengah penum­pang menjadikan tempat duduk itu hak mereka - kangkang luas-luas, meletak barang/beg di sebe­lah mereka, kaki bersilang. Ada juga yang berkumpul di hadapan pintu apabila keadaan sesak yang memerlukan memenuhi ruang di dalam tren. Kadang-kadang, mereka yang tidak mempedulikan hak orang lain untuk duduk masih bertenaga tetapi buat-buat sibuk dengan telefon atau berpura-pura tidur.

Ubahlah sikap, hormati hak orang lain yang lebih memerlukan.