Sejarah menunjukkan bahawa sistem beraja terkenal serata dunia. Pengalaman sama di rantau Alam Melayu. Kerajaan lama Alam Melayu gemilang di bawah pemerintahan sistem beraja. Kesultanan Islam Melaka (serta Kesultanan Acheh dan Mataram) mengambil tempat selepas kegemilangan Srivijaya dan Majapahit.

Namun, dalam abad-abad mutakhir, banyak negara telah melalui revolusi dan memansuhkan sistem beraja. Hari ini hanya 43 buah negara di dunia yang masih mengamalkan sistem beraja (Ratu Elizabeth II menjadi ratu di 16 buah negara) (lihat buku Dustur wa Salatin (2014)). Walaupun begitu, banyak negara maju masih lagi mengekalkan sistem beraja dengan fungsi dan peranan yang dinamik dan disesuaikan dalam keadaan serta keperluan semasa.

Amalan sistem beraja di dunia menunjukkan beberapa jenis sistem yang diamalkan. Terdapat sistem beraja atau monarki yang bersifat mutlak dan ada yang bersifat berperlembagaan. Sistem bersifat berperlembagaan pula mempunyai pelbagai bentuk – ada yang sekadar simbol; ada mempunyai kuasa-kuasa yang minimum; dan ada yang mempunyai kuasa dan peranan yang besar menurut peruntukan Perlembagaan.

Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan secara berkembar dengan sistem demokrasi berparlimen. Walaupun menyokong sistem demokrasi berparlimen, monarki juga perlu kekal atas beberapa faktor yang saya telah sebut dalam beberapa penulisan lain.

Dalam situasi semasa, perlu difikirkan bagaimana untuk mengelakkan dan sekali gus menyelesaikan ketegangan antara sistem demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan.

Dua cadangan penyelesaian pernah dikemukakan sarjana perundangan. Pertama, raja hendaklah bersifat neutral politik, dan Perlembagaan hendaklah menjangkakan bahawa institusi beraja tidak terlibat dalam politik. Cadangan kedua, monarki perlu juga menyuarakan kefahaman berkaitan pentadbiran negara dalam nada memberi aspirasi dan melahirkan rasa bertanggungjawab dalam kalangan pimpinan politik. Monarki tidak boleh berdiam diri.

Sesungguhnya amat sukar sekali untuk raja-raja menjadi bebas politik, atau neutral politik, dan pada masa sama perlu aktif politik demi menjaga kepentingan negara. Ini adalah ironi. Walau apa pun ia mungkin menjadi lebih mudah jika kita tafsirkan 'politik'di sini merujuk kepada kepartian politik. Oleh itu, istana harus bebas daripada politik kepartian, tetapi terlibat dalam politik pentadbiran negara untuk membina kualiti pentadbiran kerajaan.

Sehingga kini, tidak terserlah bukti emperikal tentang sumbangan monarki kepada kualiti kepemimpinan kerajaan. Ini berlaku kerana apa jua yang berlangsung melalui konvensyen Perlembagaan, yang dikenali sebagai tripartite convention, iaitu raja berhak untuk dirujuk, untuk menggalakkan dan memberi amaran kepada kerajaan, tidak didedahkan kepada awam. Di peringkat Persekutuan, Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat Kabinet saban minggu. Ia adalah antara ruang yang diberikan oleh amalan Perlembagaan, tripartite convention itu.

Kesan daripada tiadanya pendedahan tersebut, apa yang dilihat oleh rakyat ialah monarki hanya sekadar identiti negara – simbol negara sahaja. Tidak lebih daripada itu, walhal institusi beraja mempunyai peranan lain yang penting. Rakyat perlu mendapat informasi tentang peranan dan sumbangan monarki terutamanya dalam ruang lingkup budi bicara baginda.

Kewajipan lain bagi monarki termasuk dalam frasa Defender of the Faith. Ini bermakna monarki mempunyai peranan khusus dalam menjaga kedudukan agama. Oleh itu, keputusan berkaitan keagamaan dan perutusan-perutusan agama yang utama seperti perutusan Ramadan, hari raya, Maulidur Rasul dan seumpamanya perlu menonjolkan institusi beraja.

Sebagai Ketua Utama Negara, raja-raja menjadi kekuatan utama patriotisme dan perpaduan. Bagi merealisasikan peranan tersebut, perutusan hari-hari utama negara, seperti Hari Kebangsaan dan hari-hari perayaan masyarakat Malaysia, hendaklah juga menampilkan institusi beraja.

Sementara itu, bagi mendekatkan lagi rakyat dengan istana, ruang khusus di media perlu disediakan dan digunakan sebaik-baik mungkin untuk berkongsi maklumat serta aktiviti istana. Lebih utama ia boleh memberikan ruang pendidikan berpanjangan mengenai institusi beraja di negara ini dan tidak hanya terhad kepada silibus-silibus dalam sistem pendidikan.

Demi kelangsungan dan kerelevanan, istana hendaklah berjaya menyesuaikan kedudukannya dalam dunia semasa yang tinggi teknologi maklumat serta cara fikir masyarakat yang ketara berubah. Kedinamikan monarki adalah faktor utama kepada kelangsungan institusi beraja. Ini adalah antara faktor yang menyumbang kepada kelangsungan monarki di negara besar dan maju pada hari ini.

Institusi beraja di negara kita mempunyai pengalaman ini. Dari- pada dokumen sejarah saya dapati institusi beraja kita mempunyai kekuatan dinamika yang tinggi.

Semasa perbicaraan Memorandum Raja-Raja bersama Suruhanjaya Reid, Hearing of Counsel, ada dinyatakan tentang kesediaan Raja-Raja Melayu untuk menjadi raja berperlembagaan. Peguam yang mewakili Raja-Raja, iaitu Mr. Lawson menyatakan: They are (Their Royal Highnesses) actuated… by this desire that they are concerned about the future of the country, and they take the view that it is in the interests of the country as a whole that they should accept the future qualifications and limitations which have been indicated, but that they should preserve certain important aspects of their status and positions because of the peculiar situation which they do occupy in this country.

Maksudnya di sini, sifat versatile, serba boleh dan dinamik Raja-Raja Melayu telah membolehkan baginda mengadaptasi perubahan yang berlaku dalam pelaksanaan kuasa demi kelangsungan negara dan bangsa, namun pada masa yang sama perlu mengekalkan kedudukan utama baginda.

Pada pengamatan saya terdapat dua faktor yang saling membantu. Pertama, faktor dalaman istana itu sendiri. Kebijaksanaan istana dan kewibawaan raja-raja menjadi cerminan jelas. Pemikiran dan keperibadian yang hebat dapat memelihara sebuah empayar daripada ditakluki. Monarki berhati-hati dan bertindak penuh bijaksana untuk memastikan semua kegiatan dalam kapasiti peribadi atau rasmi dilakukan menurut undang-undang. Sejarah telah membuktikan bahawa kebijaksanaan dan kewibawaan raja telah menyelamatkan empayarnya.

Sementara itu sejarah di negara luar juga membuktikan bahawa istana yang terjerumus ke lembah politik kepartian akan juga menghilangkan kewibawaannya. Parti-parti politik akan datang dan pergi, namun istana perlu kekal berfungsi sepanjang zaman demi negaranya. Untuk membina kewibawaan dan peradaban, istana perlu kekal neutral serta bebas daripada politik kepartian.

Faktor kedua ialah rakyat. Berdaulatnya raja kerana kesetiaan rakyatnya. Rakyat membina inspirasi bagi pentadbiran yang adil. Bagi bangsa yang agung bertamadun, rakyat hendaklah mempunyai budi pekerti dan kesopanan yang tinggi serta mengagungkan dan mengamalkan nilai agama, bangsa, budaya dan sejarah. Rakyat hendaklah setia, bersifat jujur dan ikhlas menunaikan amanah negaranya serta setia kepada bangsanya serta memahami hala tuju negaranya.

- PENULIS adalah Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).