Kegagalan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali membentuk kerajaan mencetuskan pelbagai persoalan yang menarik untuk dikaji mahupun dibuat analisis secara terperinci.

Antara isu hangat yang terus diperdebatkan baik oleh penganalisis politik mahupun orang ramai adalah berkaitan sentimen dan pola pengundian dalam kalangan ge­nerasi muda. Hal ini kerana semua pihak mengakui betapa sentimen pengundi muda telah banyak mempengaruhi keputusan PRU-14 ini.

Secara umumnya kita boleh merumuskan betapa pengundi muda cuba untuk menyampaikan mesej dan isyarat jelas kepada semua parti dan juga ahli politik di negara ini melalui peti undi dalam PRU-14. Antara mesej yang cuba disampaikan secara tegas adalah strategi parti mahupun ahli politik untuk meraih sokongan de­ngan mensensasikan isu agama dan kaum tidak berkesan dan gagal menjadi faktor daya penarik sokongan terhadap parti mereka.

Modal politik perkauman yang disogokkan kepada pengundi muda dengan andaian boleh menakut-nakutkan mereka bukan saja gagal memberi kesan yang diharapkan malah bertukar menjadi mimpi ngeri kepada semua ahli politik terbabit umpama senjata makan tuan. Itu sebab hasil pe­ngundian PRU-14 memperlihatkan banyak keputusan yang mengejutkan dan di luar jangkaan.

Menelusuri tempoh pasca PRU-14 ini eloklah semua ahli politik baik pihak kerajaan mahupun blok pembangkang mengambil iktibar dengan trend pengundian generasi muda ini seterusnya menilai, bermuhasabah dan menyemak semula strategi dan pendekatan masing-masing.

Perlu diingatkan generasi muda ini juga akan terus menjadi pemain utama dalam PRU-15 kelak maka semua ahli politik yang mahu menang dan berkuasa dalam PRU-15 perlu segera memahami dan menerima mesej anak muda ini de­ngan hati yang terbuka seterusnya berusaha untuk membuktikan kepada ge­nerasi ini bahawa orientasi politik parti masing-masing sudah sedia diubah mengikut citarasa pengundi dan sudah bersedia untuk meraih kepercayaan mereka semula.

Dalam konteks ini ahli politik perlu menghormati suara hati anak muda yang mulai bosan de­ngan permainan politik perkauman. Anak muda hari ini semakin matang dan mahu melihat amalan politik yang lebih profesional dan telus.

Itu sebab trend pengundian kali ini menunjukkan golongan muda lebih mengutamakan aspek tadbir urus yang baik dan menolak individu atau parti yang dikaitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa. Jadi mana-mana ahli politik dan parti yang memasang impian untuk meraih undi ge­nerasi muda dalam PRU-15 kelak perlu elak terlibat dalam politik perkauman serta mampu memperlihatkan penekanan terhadap amalan tadbir urus yang baik.

Tempoh sekitar empat tahun yang ada ini wajar dijadikan ­medan terbaik oleh pihak kerajaan dan juga pembangkang untuk berlumba-lumba membuktikan inisiatif ke arah memenuhi ekspektasi golongan muda tersebut. Bersainglah secara sihat, matang dan profesional untuk menarik perhatian dan meraih sokongan pengundi. Dalam hal ini jangan sesekali mengulangi kesilapan lama dengan menjaja isu agama dan kaum.

Sepatutnya setiap ahli politik perlu memiliki ciri-ciri seorang negarawan iaitu sentiasa meng­utamakan kepentingan awam, membantu mempromosikan as­pek perpaduan antara kaum, menjauhi dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan rasuah, salah laku dan penyelewengan.

Ini antara perkara asas yang akan membantu membina sebuah negara bangsa yang hebat dan berintegriti. Dan sudah semestinya sebagai pemimpin setiap ahli politik perlu memperlihatkan ciri-ciri kepimpinan yang positif dan terpuji dengan memastikan bukan sahaja bersih tetapi turut sentiasa kelihatan bersih dari segala jenis kontroversi.

Harus diingat rakyat mengambil risiko yang besar dengan memberi peluang kepada PH untuk membentuk kerajaan pada 9 Mei lalu, jadi gunakanlah ruang dan peluang ini untuk membalas segala harapan rakyat itu.

Jangan sesekali terpalit dengan budaya politik perkauman serta rasuah, salah laku dan penyelewe­ngan. Dalam era Malaysia Baharu ini suburkanlah amalan tadbir urus yang baik, profesional dan telus.

Bagi BN pula, ini adalah masa terbaik untuk melakukan perubahan yang total bagi memastikan BN masih kekal relevan. Walaupun sekarang hanya tinggal tiga buah parti sahaja tetapi ingatlah Perikatan dulu pun bermula de­ngan tiga parti yang asas yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah parti yang besar dan kuat di bawah jenama BN.

Jadi kita percaya kalau pe­mimpin BN berani membuat perubahan secara ikhlas dengan segera, peluang untuk menambat kembali hati pengundi dalam PRU-15 tetap cerah. Gunakanlah tempoh masa ini untuk membersihkan sepenuhnya imej dan persepsi negatif yang memba­yangi BN selama ini.

Semua parti politik perlu sedar jika sekali rakyat boleh membuat perubahan maka tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku lagi dalam PRU-15.

Justeru yang sedang berkuasa perlu memastikan sentiasa sedar dan berada di landasan yang ­betul, manakala yang mahu bersaing dan merebut kembali kuasa yang hilang perlu segera me­ngakui kesilapan seterusnya me­lakukan perubahan dan meraih kembali sokongan pengundi.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti 
Putra Malaysia (UPM).