Tidak masuk akal parti lain mahu meletakkan calonnya di Cameron Highlands. Penyandang kerusinya, Datuk Seri G. Palanivel menang pun sebelum ini atas kapasitinya sebagai wakil MIC. Cuma sekarang beliau bukan lagi presiden MIC dan menjadi wakil bebas. MIC tidak nampak logiknya alasan Presiden MyPPP (Tan Sri M. Kayveas) mahu ke sana.

Alasan Kayveas bahawa beliau sudah menanti selama 17 tahun untuk berkhidmat di kawasan itu sepatutnya dijawabnya sendiri mengapa dalam tempoh lima tahun setelah kalah di Taiping, beliau tidak berkhidmat di situ (Taiping)? Apa sumbangannya kepada penduduk Taiping, sedangkan sepatutnya waktu-waktu beginilah beliau ke sana (Taiping), bukannya Cameron Highlands.

Sepatutnya sebagai parti komponen BN, MyPPP dan MIC saling bekerjasama dan bukannya bersaing sesama sendiri.

Kalau itu alasan yang masih digunakan oleh Kayveas bahawa Cameron Highlands menjadi satu kerusi bebas apabila Palanivel digugurkan daripada MIC pada 2015, maka mengapa alasan sama tidak dipraktikkan di Pagoh (selepas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari parti)? Dalam PRU 2008, Kayveas kalah kepada calon DAP, Nga Kor Ming dengan 11,298 undi. Kayveas memperoleh 16,800 undi berbanding 28,098 undi diraih Kor Ming.

Hindraf masih ancamankah?

Apabila Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 Mei 2013, ada pihak termasuk Hindraf sendiri merasakan mereka akan menggantikan MIC dalam kerajaan.

Tetapi apa yang berlaku setelah Waythamoorthy letak jawatan setahun kemudian ialah Hindraf gagal dan masyarakat India hilang kepercayaan terhadap mereka.

Sebab itu apabila disebut-sebut Hindraf akan muncul kembali baru-baru ini, tak ramai yang mengalu-alukan mereka. Hindraf tak dapat sambutan.

Xavier mengarutlah...

Saya terpanggil untuk menjawab kenyataan Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jeyakumar sebelum ini yang mengatakan pakatan pembangkang memiliki lebih banyak wakil rakyat India dalam kalangan mereka iaitu sekurang-kurangnya 10 wakil rakyat India. Ini berbanding BN hanya ada tiga, semua daripada MIC.

Jawapan saya kepadanya (Xavier), ini bukan soal nombor atau berapa ramai tetapi soalnya adakah kesemua mereka itu (10 orang) telah menjalankan tanggungjawab membela nasib kaum India?

Tunjukkan bukti. Apa yang dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Dr P. Ramasamy untuk masyarakat India di negeri itu? Ada tak?

Sebaliknya, BN berkualiti dalam soal ini.

Masihkah MIC bertanding di kawasan kalah teruk?

Ini pandangan peribadi saya. Secara rasionalnya tidak perlu MIC bertanding di dua kerusi dalam satu kawasan Parlimen yang sama.

Sebagai contoh, kerusi Parlimen Kota Raja yang ditandingi oleh MIC, maka untuk kerusi DUN Seri Andalas (dalam Parlimen Kota Raja) tidak perlu lagi diletakkan calon MIC.

Kuota MIC di situ (DUN Seri Andalas) gantikan di tempat lain. Maka, dalam Parlimen Kota Raja, calon Parlimennya dari MIC manakala dua lagi DUN termasuk DUN Sri Muda ditan­dingi wakil MCA dan UMNO.

Demikian juga di Parlimen Teluk Kemang dan salah satu DUN yang ditandingi MIC iaitu Port Dickson, boleh praktik kaedah sama. Apabila ada lebih dari satu parti bertanding dalan satu Parlimen, mereka akan saling membantu untuk pastikan kemenangan.

Kaedah ini boleh dilaksanakan di beberapa kerusi Parlimen yang BN mengalami kekalahan teruk dengan jumlah majoriti diperoleh parti lawan sehingga berpuluh-puluh ribu undi. Antaranya, Kapar, Kota Raja dan Subang yang dimenangi pembangkang de­ngan majoriti antara 23,000 dan 29,000 undi. Bukan sahaja kerusi MIC, ia perlu membabitkan kerusi-kerusi parti komponen lain juga.

Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) berkesankah?

Proses penghasilan MIB yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bermula sejak Mei 2015 lagi. Pelan ini memakan masa sedikit dengan sekurang-kurangnya 10 tahun diperlukan untuk melihat hasilnya.

Walaupun sudah sampai ke akar umbi, keyakinan masyarakat India terhadap pelan ini perlu diperkukuhkan oleh MIC.

Nambike kepada BN meningkatkah?

Berbanding Perdana Menteri sebelum ini, terdapat perubahan ke­tara untuk memajukan masyarakat India di bawah ke­pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Nambike atau kepercayaan kepada BN juga semakin bercambah sebab ramai yang sudah mula menjemput Perdana Menteri hadir di majlis-majlis penting kaum India.

Jika dahulu hanya sambutan Thaipusam di Batu Caves sahaja tetapi sekarang banyak daerah sudah berbuat begitu.

Datuk Seri Najib sahaja konsisten memenuhi jemputan ini, dan kalau tak hadirpun, beliau masih hantar wakilnya iaitu timbalan beliau, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.