Paling ketara adalah usul me­nge­nai Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pi­li­han Raya Parlimen dan Negeri bagi Semenanjung dan Sabah yang dijangka menjadi agenda mesyuarat jika dibahaskan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat, maka ini dianggap isyarat paling jelas mengenai betapa hampirnya PRU-14.

Seperti yang telah ditegaskan oleh Yang Dipertua Dewan Rak­yat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika mula mesyuarat telah menasihati Ahli Parlimen agar menga­wal emosi ketika berbahas atau menyuarakan pandangan pada persidangan kali ini. Beliau juga mengingatkan supaya tidak menjadikan Dewan Rakyat sebagai tempat melepaskan geram, sebaliknya menyuarakan pendapat dengan berhemah.

Tetapi dijangkakan bahawa perdebatan dan penghujahan Ahli Parlimen sudah pasti menjurus kepada ala kempen PRU. Tidak kira sama ada perbahasan me­ngenai titah ucapan perasmian Yang di-Pertuan Agong atau pun rang undang-undang (RUU) berita palsu, tidak dapat dielakkan semuanya itu pasti dikaitkan de­ngan PRU.

Tetapi ahli parlimen perlu ber­hati-hati kerana persidangan kali ini telah menarik perhatian semua peringkat masyarakat dan media melaporkan perjalanan persidangan secara terperinci. Sebab itu, setiap penghujahan akan diteliti dan paling dikhuatiri iaitu seperti yang telah diluahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat jika Ahli Parlimen terlalu terbuai dengan emosi PRU, perbahasan akan menjurus kepada penghujahan ala kempen PRU.

Jika diteliti kandungan ucapan kempen PRU yang sering berlaku sebelum ini, banyak menjurus kepada emosi dan retorik yang berkemungkinan enak didengar tetapi tidak membawa hasil tambah dari segi manfaat jangka panjang. Sebab itu, dibimbangi jika emosi bahang PRU dibawa bersama dalam Dewan Rakyat maka sudah pasti perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong umpamanya yang banyak me­ngandungi isu penting seperti ke­selamatan negara, kos sara hidup, dasar fiskal negara dan ekonomi akan tenggelam dengan perkara berbentuk tuduhan retorik semata-mata.

Apabila Ahli Parlimen terlalu taksub dengan politik kepartian seperti yang sering berlaku di pentas kempen PRU, maka lazimnya kandungan perbaha­san akan le­bih mirip kepada kepen­tingan parti berbanding ­kepentingan rakyat. Sebab itu tidak kira jika isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara seperti yang telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong beberapa hari lalu, perdebatan sudah pasti menjurus kepada kepentingan parti dan bukannya rakyat.

Malah belum lagi mulanya perbahasan, Lim Kit Siang pada sidang media di Parlimen telah menyifatkan titah ucapan Seri Paduka sebagai ucapan dasar kerajaan BN dan menyatakan tanpa berselindung bagaimana kecewanya beliau dengan titah ucapan perasmian tersebut. Begitu aib sekali bagi seorang Ahli Parlimen yang mewakili penduduk Gelang Patah membuat tanggapan berat sebelah sedangkan Seri Paduka bertitah me­ngenai hal ehwal rakyat dan negara.

Mungkin juga oleh kerana terlalu taksub dengan ideologi politik dan demam PRU, Kit Siang yang dianggap Ahli Parlimen pa­ling veteran sengaja memutar belit titah ucapan Seri Paduka kerana mungkin cuba memberi persepsi bahawa ucapan Seri Paduka diolah oleh kerajaan pim­pinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tidak syak lagi Kit Siang telah memberi ‘kata laluan’ kepada Ahli Parlimen pembangkang dengan isyarat bahawa nada perbahasan Dewan Rakyat mereka tidak kira apa yang bakal dihujahkan, mesti menjurus kepada fahaman politik kepartian. Jika senario sebegini yang bakal berlaku ketika 20 hari bersidang, maka institusi Parlimen yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat dan negara tidak akan tercapai.

Ketara sekali sikap Kit Siang yang prejudis apabila beliau mempersoalkan juga mengapa titah ucapan tidak menyentuh kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 yang dikeluarkan oleh organisasi Transperancy International (TI) baru-baru ini. Mengapa dipersoalkan kerana kedudukan Malaysia yang merudum beberapa anak tangga ke bawah berban­ding tahun sebelumnya dan bagi Kit Siang isu ini adalah modal politik yang kuat untuk parti DAP berkempen.

Demi untuk berlaku lebih adil kepada rakyat Malaysia, Kit Siang juga perlu mempersoalkan me­ngapa Yang di-Pertuan Agong tidak bertitah mengenai kedudukan Malaysia yang berada di tangga keempat dalam indeks tempat pelaburan terbaik bagi 2018. Kajian yang dijalankan oleh organisasi U.S. News berpandukan laporan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Bank Dunia, meletakkan Malaysia satu tangga lebih baik berbanding Singapura.

Sudah pasti Kit Siang tidak akan mempersoalkan perkara yang memberi gambaran positif kepada negara kerana pada hemat beliau ini akan memberi manfaat kepada kerajaan BN dan dari segi percaturan politik menjelang PRU, senario sebegini harus dihindarkan.

Sebab itu kritikal bagi rakyat Malaysia memastikan setiap Ahli Parlimen yang dipilih melaksanakan tugas yang diamanahkan mengikut kepentingan negara terlebih dahulu berbanding kepentingan parti politik.

Jika tidak, institusi parlimen hanya akan dipergunakan untuk memenuhi agenda peribadi ma­sing-masing.