Wahai insan semua, sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan kamu adalah haram ke atas sekalian sehingga kamu menemui Tuhan kamu, seperti mana haramnya hari kamu ini, di dalam bulan kamu ini dan di dalam negeri kamu ini.

Mesej yang disampaikan oleh baginda ini mengandungi perlindungan hak bagi seluruh manusia iaitu yang berkaitan dengan nyawa, harta benda serta maruah dan kehormatan masing-masing.

Semuanya ini tidak dapat dicerobohi dan dicabul oleh sesiapa pun. Dan hal ini disifatkan oleh baginda sebagai me­lakukan sesuatu perbuatan yang terlarang ketika seorang Islam sedang mengerjakan haji dengan memakai pakaian ihram pada bulan haji dan di bumi atau Tanah Haram sendiri.

Mesej ini jelas membawa ajaran tentang kesamarataan manusia pada pandangan agama tentang hak-hak yang tertentu yang seharusnya dihormati oleh semua orang dan pihak berkuasa.

Saya merasakan bahawa hak kebebasan ini mendapat tempat di negara ini yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama. Masing-masing golongan mendapat kebebasan untuk melindungi hak keselamatan, harta benda dan maruah sendiri termasuk penggunaan bahasa dan budaya, nama panggilan dan nama keturunan, maruah dan cara hidup serta budaya ma­sing-masing.

Bagaimana dasar kebebasan dan pelaksanaan hak ini sebenarnya tidaklah boleh diambil sebagai kebebasan mutlak tanpa sempadan dan budaya yang tertentu kerana kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud di dalam sebarang dasar hidup manusia. Malah manusia sentiasa tertakluk kepada peraturan undang-undang dan tatasusila bagi sesuatu tempat dan bumi yang dipijak.

Hak untuk beragama tentunya tidak sampai memaksa orang lain memeluk agama kita tanpa kerelaannya. Hak untuk mendapatkan pelajaran tidak semestinya memberi ruang untuk menyekat kumpulan yang miskin untuk mendapatkan biasiswa.

Perhatikan ayat-ayat yang berikut yang berbicara tentang persaudaraan sejagat manusia iaitu firman Allah SWT:

Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Al-Mumtahanah, ayat 8).

Ayat ini jelas memerintahkan semua orang supaya berlaku adil dan bersikap baik terhadap semua manusia yang tidak bertindak menyerang atau melakukan sebarang tindakan lain yang bertujuan permusuhan kerana agama kita. Sebab itulah di dalam ayat yang berikutnya Allah s.w.t berfirman:

Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerinya dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barang siapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Mumtahanah, ayat 9).

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).