Satu sikap yang baik. Tegas melaksanakan undang-undang atau peraturan. Akhirnya mereka membayar denda itu dengan kadar diskaun. Itulah ke­tegasan yang perlu dalam mendidik masyarakat untuk tidak merokok. Alasan tidak tahu larangan me­rokok di dalam bilik sudah tidak masuk akal kerana tertera per­i­­ngatan di setiap bilik. Kebanyakan hotel pula adalah zon lara­ngan merokok. Banyak hotel yang tidak lagi menyediakan bilik yang khusus untuk pelanggan yang mahu merokok. Perokok boleh melepaskan ke­tagihan di luar lobi hotel. Untuk rekod, di Pulau Pinang, kerajaan negeri berusaha menjadikan negeri itu bebas asap rokok dalam tempoh lima tahun akan datang. Usaha itu bertujuan mengurangkan sikap toleransi masyarakat terhadap perokok.

Ketika ini masyarakat sangat berto­leransi dengan golongan pe­rokok. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pemba­ngunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin, usaha itu bukan untuk menyekat sesiapa merokok sebaliknya mahu mengubah sikap masyarakat ‘yang tiada masalah’ dengan individu yang merokok di sebelah mereka. Perokok perlu menghormati hak orang lain di sekeliling mereka untuk mendapatkan udara yang bersih dan bebas asap rokok. Hasrat kerajaan negeri itu amat baik. Mampukah program Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (Penbar) menjadikan ne­geri itu bebas asap rokok? Perokok boleh menjawab persoalan ini dan undang-undang atau penguatkuasaan juga amat penting seperti ditunjukkan oleh hotel berkenaan.

Jika perokok mampu menghormati orang lain untuk mendapatkan udara bersih yang bebas daripada asap rokok, hasrat itu tidak ada masalah. Sikap hormat ini juga yang perlu dibawa oleh bakal jemaah haji apabila mereka berada di Mekah dan Madinah terutama di Arafah, Muzdalifah dan Mina.Mungkin suasana di Mekah dan Madinah boleh dimaafkan kerana ada ‘ruang luas’ yang boleh menjauhkan diri perokok daripada merokok di sekeliling jemaah. Selak membawa isu rokok ini apabila ada pembaca yang bertanya kenapa tulisan Bersyukurlah di­pilih, istiqamah di Haramain (9 Julai 2018) tidak menyentuh secara mendalam mengenai perokok dan me­rokok di Tanah Suci. Dalam tulisan itu Selak hanya menasihatkan perokok supaya menghormati jemaah yang tidak merokok atau alah kepada asap rokok. Carilah ruang yang tidak mengganggu jemaah. Lebih elok tidak tidak merokok.Maka minggu ini, pe­negasannya adalah lebih elok tidak membawa rokok atau merokok.

Tinggalkan rokok sebaik me­langkah masuk ke dalam pesawat untuk ke Tanah Suci. Tekadkan semangat. Biarlah sebaik turun dari pesawat, anda tidak tercari-cari ruang untuk merokok le­bih-lebih lagi apabila ketibaan di lapangan terbang dipermudahkan tanpa perlu menunggu bagasi. Begitu juga tidak perlu ternanti-nanti bila bas mahu berhenti rehat ketika dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah atau sebaliknya, semata-mata untuk merokok. Ingatlah tujuan ke sana untuk beri­badat. Tidak keterlaluan juga jika meninggalkan rokok itu sebagai satu ibadat. Jika diambil kira fatwa merokok itu haram, maka wajarkah kita mengamalkan sesuatu yang haram itu di Tanah Suci?

Wujudkan perasaan bersalah apabila merokok dalam kalangan orang yang tidak merokok. Adalah sesuatu yang ‘menyakitkan hati’ orang lain yang alah asap rokok apabila perokok menghembuskan asap rokok sama ada di dalam bilik, lobi penginapan (hotel/maktab) atau ketika di restoran. Adakah perokok rasa tidak bersalah apabila jemaah yang solat di sebelah terpaksa menutup hidungnya kerana bau asap rokok yang tidak hilang walaupun berkumur mengambil wuduk. Samalah juga jemaah yang makan petai, jering atau durian. Bau itu boleh mengganggu keselesaan orang lain di sebelah.

Pengalaman di bilik hotel atau maktab haji pada tahun lalu, ada rakan perokok tetapi setiap kali mahu merokok, beliau turun di luar lobi hotel. Begitu juga semasa di Mina dan Arafah. Cari kawasan yang agak jauh dari khemah. Di Muzdalifah, ruang terbuka bukanlah satu le­sen besar untuk merokok sesuka hati kerana seperti disebutkan tadi, hormatilah orang lain dan ingat tujuan ke Tanah Suci. Elakkan melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kualiti ibadah. Dalam keadaan cuaca yang panas sehingga mencecah 50 darjah Celcius, me­rokok juga merbahaya kepada ke­selamatan khemah jemaah. Kea­daan lebih kritikal terutama di Mina disebabkan kepadatan khemah. Jika kawasannya sama seperti tahun lalu, sudah tentu sesak. Suasana ini memerlukan jemaah lebih banyak bersabar dan menghormati orang lain.

Pihak-pihak berkenaan terutama penceramah yang terlibat perlu berterus terang dalam bab rokok ini. Menyelak kembali ce­ramah pada Majlis Perhimpunan Persaudaraan Hujjaj pada tahun lalu bagi menilai ibadah haji yang telah dilakukan, seorang pence­ramah membangkitkan perkara merokok di Tanah Suci ini. Ingatannya amat baik. Mungkin ada perokok yang kesal mendengar ingatan itu. Walaupun ingatan se­perti itu sudah terlewat tetapi yang belum pergi, eloklah cuba sedaya upaya untuk tidak me­rokok.

Apa pun bersyukurlah para jemaah tahun ini kerana khabarnya mereka bakal mendapat khemah berhawa dingin di Padang Arafah. Tahun lalu, khemah dinaik taraf dengan yang lebih besar tetapi malangnya penggunaan kipas wap air menyebabkan ramai yang tidak selesa. Cuaca panas menyebabkan kipas itu tidak memadai. Tahun ini, Malaysia menjadi negara pertama bagi jemaah muassasah yang dibekalkan khemah berhawa di­ngin. Jemaah dinasihatkan membawa kain ihram tambahan di Arafah kerana suhu di dalam khemah antara 24-25 darjah Celcius. Walaupun masa di Arafah singkat tetapi keselesaan seumpama ini melegakan jemaah. Cuma jangan tiba kemuncaknya masing-masing kekal di khemah. Eloklah keluar memohon doa dan jangan kerana sejuk, jemaah yang juga perokok ketagih untuk merokok!