Perselisihan terkini membabitkan tiga perkara iaitu pemakaian Sistem Pendaratan Instrumen (ILS), tuntutan semula mengurus laluan penerbangan awam di ruang udara Johor dan peluasan sempadan pentadbiran pelabuhan Johor Bahru.

Mengapa dihujahkan strategi Singapura tidak berubah ialah kerana apa jua isu yang dihadapi dengan Malaysia sama ada kadar air mentah, pembinaan jambatan bengkok atau pun tuntutan Batu Puteh sering faktor kedaulatan yang dicabar digunakan untuk menafikan hak Malaysia.

Umpamanya ketika berhujah mengapa Malaysia tidak boleh memaksa Singapura untuk berunding kadar air yang lebih saksama yang ketika ini hanya RM0.03 sen bagi 1,000 gelen (3 sen/1000 gelen) adalah kerana kadar tersebut termaktub dalam perjanjian air antara kedua-dua negara.

Jika Malaysia ingkar dan enggan mematuhi perjanjian tersebut maka kedaulatan Singapura sebagai sebuah negara merdeka telah tercabar.

Malaysia berhujah kadar 3 sen/1000 gelen yang ditentukan pada 1961 adalah tidak munasabah kerana tidak menggambarkan keadaan semasa, dalil tersebut adalah bersandarkan keadilan dari faktor ekonomi. Tetapi Singapura menggunakan hujah kedaulatan yang dicabar dalam kes ini.

Begitu jua dengan cadangan pembinaan jambatan sebagai menggantikan Tambak Johor tidak boleh dilakukan oleh Malaysia tanpa persetujuan Singapura walaupun ia hanya melibatkan sebelah Malaysia.

Hujah Singapura adalah jika tambak di sebelah Malaysia dimusnahkan maka ia juga akan turut membabitkan saluran paip air dari Johor ke Singapura yang berada di atas tambak tersebut.

Hujah Malaysia mengenai keperluan jambatan menggantikan tambak adalah memudahkan aliran air Selat Johor dan dalil tersebut adalah bersandarkan faktor alam sekitar. Sekali lagi dalam kes ini, Singapura menggunakan hujah kedaulatan mereka yang dicabar.

Tetapi apabila Malaysia menegaskan tatacara pemakaian ILS di Lapangan Terbang Seletar menggugat kedaulatan Malaysia, Singapura dengan segera cuba menafikan hak Malaysia membantah atas dasar faktor kedaulatan dengan mengalih isu tersebut sambil menuduh Malaysia selama ini hanya membisu apabila perancangan pembangunan ILS diumumkan sejak 2014 lagi.

Jika diteliti pemakaian ILS ini secara tidak langsung akan mencabar kedaulatan Malaysia kerana sistem ini mentakrifkan kawasan jangkauan sehingga empat kilometer (km) adalah kawasan sensitif demi mengelak gangguan kepada ILS. Masalahnya adalah jarak lapangan terbang Seletar hanyalah dua km dari sempadan Johor dan kesan paling ketara adalah sebahagian daripada perairan Malaysia terletak dalam zon sensitif ILS.

Apa yang dikhuatiri adalah pergerakan kapal dalam perairan Malaysia akan terkekang kerana berada dalam zon sensitif ILS yang bertujuan mengurangkan gangguan terhadap sistem pendaratan dan pelepasan pesawat.

Juga dibimbangi akan dikenakan had tinggi bangunan terutama sekali di Pasir Gudang kerana laluan pesawat yang menggunakan ILS melalui bandar selatan Johor tersebut. Serupa juga apabila Malaysia menyatakan hasrat untuk mengambil alih pengawasan penerbangan awam di ruang udara Johor Selatan, Singapura cuba memperlekehkan cadangan tersebut dengan memberi hujah tugas pengawasan yang dilakukan oleh Singapura sejak 1974 tiada kena mengena dengan penghakisan kedaulatan Malaysia.

Memang benar dalil Singapura pengawasan ruang udara oleh negara asing tiada kena mengena dengan hak dan kedaulatan negara terbabit tetapi hakikatnya adalah faktor utama mengapa Malaysia ingin mengambil alih tanggungjawab tersebut dari Singapura tiada kena mengena dengan isu kedaulatan.

Mengapa terma perjanjian 1974 tercetus adalah pada ketika itu Malaysia tidak mempunyai kemudahan infrastruktur pengawasan mencukupi untuk kawasan selatan Johor. Demi menjamin keselamatan penerbangan awam, Malaysia bersetuju supaya Singapura melaksanakan tugas pengawasan lalu lintas udara kawasan tersebut.

Pada ketika ini, Malaysia mampu mengawasi keseluruhan ruang udara Semenanjung dan kriteria ini mendorong cadangan mengambil alih tersebut.Singapura begitu gemar mencetuskan polemik kedaulatan tercabar dalam semua hal dan strategi sebegini walaupun begitu efektif demi mendapat sokongan rakyat tetapi sebenarnya menyukarkan lagi perbincangan untuk mencari penyelesaian.

Malaysia seboleh-bolehnya tidak mahu mencetus polemik kedaulatan yang tercabar walaupun kaedah ini mampu tingkatkan semangat patriotisme rakyat tetapi hakikatnya mengeruhkan lagi keadaan semasa.