Masakan tidak dalam usaha Dr. Mahathir memburukkan Najib di mata dunia dengan melemparkan pelbagai dakwaan termasuk akan ditahan oleh polis antarabangsa atau Interpol atas tuduhan pengubahan wang haram, Perdana Menteri mendapat layanan kelas pertama apabila menjejakkan kaki di Washington pada 11 September lalu untuk bertemu de­ngan Trump pada keesokannya sehinggalah pulang ke tanah air.

Lebih mengejutkan, Trump sa­nggup melanggar protokol White House dengan menghantar pulang Najib hingga ke muka pintu. Sebagai rakyat Malaysia seharusnya kita bangga apabila seorang Perdana Menteri negara ini mendapat layanan yang cukup hebat dan istimewa daripada Presiden sebuah negara berkuasa besar.

Berbalik kepada kritikan Dr. Mahathir terhadap pertemuan ter­sebut, bekas Perdana Menteri itu seolah-olah lupa atau mungkin tiada pihak yang memberitahunya yang beliau pernah menggunakan khidmat pelobi antarabangsa berpangkalan di Hong Kong untuk bertemu dengan Presiden George W. Bush pada tahun 2002.

Malah jutaan ringgit terpaksa digunakan oleh Dr. Mahathir untuk dibelanjakan kepada pihak pelobi agar pertemuannya dengan Bush dapat direalisasikan. Kelihatan Dr. Mahathir begitu ter­desak untuk bertemu dengan Bush hingga memaksanya menggunakan khidmat pelobi.

Berdasarkan laporan media, semuanya ini bertujuan untuk memulihkan semula imej Dr. Mahathir di kaca mata AS yang tercalar susulan kenyataan kurang menyenangkan oleh Naib Presiden negara berkenaan ketika itu, Al Gore pada majlis makan malam sem­pena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun 1998.

Kenyataan Al Gore itu ber­kaitan dengan tindakan Dr. Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri selain kritikan terhadap pemerintahan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyekat kebebasan rakyat.

Kisah ini bukan satu dakwaan jauh sekali rekaan. Kisah ini benar-benar berlaku dan pihak berkaitan termasuk Najib serta beberapa bekas menteri tahu tentangnya ke­rana mereka berada dalam Kabinet Dr. Mahathir ketika itu.

Dalam pada itu pendedahan yang dilakukan oleh Datuk Megat Fairouz Junaidi iaitu anak lelaki Tan Sri Megat Junid Megat Ayub dalam media kelmarin memberi gambaran lebih jelas mengenai pertemuan itu memandangkan Allahyarham bapanya telah diarah melaksanakan rancangan tersebut.

Menurut Megat Fairouz Junaidi selepas menerima arahan dalam sekitar 2001, Allahyarham Megat Junid telah bertemu de­ngan beberapa pihak termasuk membayar sejumlah wang kepada pelobi dalam usaha menjayakan pertemuan antara Dr. Mahathir dan Bush.

Akhirnya pada Mei 2002, Dr. Mahathir dan Bush mengadakan pertemuan di AS selepas diatur oleh pihak pelobi dengan melibatkan kos berjuta-juta ringgit. Dalam pada itu, Perdana Menteri ketika berucap dalam majlis me­raikan kepulangannya dari Britain dan Amerika Syarikat di Kom­pleks Bunga Raya, Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini, te­lah mendedahkan bahawa pe­lobi yang digunakan oleh Dr. Mahat­hir itu ialah Ken Schiffer.

Justeru, Dr. Mahathir tidak bo­leh marah atau mengecam mana-mana pihak yang menggelarkan dirinya sebagai hipokrit kerana beliau sendiri terpaksa menggunakan khidmat pelobi untuk bertemu dengan Bush dan situasi keadaan itu amat berbeza dengan Najib.

Kehadiran Najib di White House adalah jemputan Trump bagi meraikan hubungan Malaysia dan AS selama 60 tahun dan pe­luang itu kemudian digunakan oleh Perdana Menteri untuk menge­ratkan lagi hubungan antara ke­dua-dua negara terutama dalam bidang ekonomi.

Begitu juga dengan tuduhan me­lulu Dr. Mahathir terhadap ran­cangan Kumpulan Wang Sim­panan Pekerja (KWSP) dan Kha­zanah Nasional Bhd. meningkatkan pe­laburan mereka di AS antaranya membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi memacu kemajuan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd. (MAB).

Dr. Mahathir jangan sesekali lupa yang mana beliau pernah membuat kenyataan pada 26 April 2005 dengan menyatakan bahawa KWSP perlu melabur lebih banyak di seberang laut bagi membolehkan pencarum mene­rima dividen lebih baik.

Hakikatnya, ahli-ahli ekonomi dalam isu ini mempunyai pandangan lebih fokus apabila mereka berpandangan usaha Najib itu mampu membuka lebih ba­nyak peluang khususnya kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meningkatkan pelaburan di Amerika Syarikat sekali gus menjana lebih banyak pendapatan.

Ini memandangkan polisi Trump lebih tertumpu kepada pasaran domestik AS yang antara lain menggalakkan syarikat-syarikat dari negara luar membuka kilang-kilang dan melabur di negara berkenaan.

Bagi penulis, sudah-sudahlah dan jangan jadi hipokrit. Sebagai seorang negarawan Dr. Mahathir tidak sewajarnya bertindak sedemikian. Ini era Najib dan biarlah beliau pula menguruskan negara ini mengikut acuannya seperti mana ruang yang diberikan kepada Dr. Mahathir untuk meme­rintah selama 22 tahun tanpa diganggu oleh sesiapa.