“Hendaklah kamu tolong-menolong dalam kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah saling membantu dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras dalam hukuman-Nya.”

Melalui ayat ini Allah SWT menyuruh umat manusia untuk saling membantu, tolong-menolong dalam mengerjakan kebaikan dan ketakwaan. Allah melarang kita untuk saling menolong dalam melakukan perbuatan dosa dan perlanggaran.

Ayat ini amat bersesuaian apabila buat kali ketiganya, umat Islam akan menyaksikan satu lagi gerakan bagi menyatukan mereka di negara ini yang berpecah-belah kerana fahaman politik. Kali ini berkaitan Himpunan RUU355 yang bertujuan menyokong Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Himpunan tersebut bakal me­nyaksikan kehadiran pemimpin dua parti terbesar umat Islam di negara ini iaitu UMNO dan Pas. Sebelum ini kedua-dua pemimpin sudah berada sepentas ketika Himpunan Solidariti Rohingya dan pelancaran misi kemanusiaan ke Myanmar.

Namun begitu ketiga-tiga usa­ha itu tidak ada kaitan dengan politik. Kita tidak perlu terpenga­ruh dengan dakyah pihak ter­tentu yang terus berusaha mempolitikkan kerjasama antara dua parti itu yang hakikatnya dilakukan atas dasar perpaduan sesama umat Islam.

Himpunan RUU355 adalah bagi menunjukkan solidariti ummah dalam memperjuangkan perkara berkaitan kepentingan agama Islam. Rang undang-undang tiada kaitan dengan orang bukan Islam kerana mereka sama sekali tidak terlibat.

Justeru jika ada yang masih lagi mahu menentang dan terus berfikiran sempit dengan meng­anggap ini langkah awal bagi pelaksanaan hudud, biarlah mereka dengan pemikiran jumud dan jahil seumpama itu. RUU355 adalah soal orang Islam, berkaitan orang Islam dan melibatkan orang Islam, oleh itu jika ada golongan bukan Islam mahu menentang, bantahan mereka tidak perlu dilayan.

Begitu juga jika ada dalam kalangan segelintir umat Islam termasuk ahli politik bertaraf ahli Parlimen yang mahu menentang RUU355 tersebut. Mereka bukannya tidak faham mengenai RUU berkenaan tetapi sengaja buat-buat tidak faham kerana ingin menjaga hati atau berniat meraih undi bukan Islam.

Pemimpin-pemimpin Pas dan UMNO tidak perlu tergugat de­ngan ‘gangguan kecil’ tersebut termasuklah ugutan pemimpin dalam kalangan komponen Barisan Nasional (BN) sendiri yang mahu meletakkan jawatan jika rang undang-undang itu diluluskan. Kalau betul ada pemimpin komponen yang mahu berbuat demikian, silakan. Apatah lagi jika beliau sengaja melupakan bahawa ‘nyawa politiknya’ di ta­ngan pengundi beragama Islam.

Himpunan RUU355 hakikatnya adalah ujian kepada umat Islam di negara ini. Banyak pihak mahu melihat sejauh mana kejayaannya dan sejauh manakah umat Islam mampu bersatu untuk sama-sama memperjuangkan perkara berkaitan kepentingan mereka.

Begitu juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu, kalau benar mereka mahu memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam, inilah masanya mereka membuktikan keikhlasan perjuangan tersebut.

Himpunan ini bukan berunsur politik dan tiada kaitan dengan politik. RUU yang diperjuangkan bertujuan memperkasakan undang-undang syariah dan mahkamah syariah. Jangan terpedaya dengan politik kotor DAP yang terus berusaha memburuk-burukkan RUU berkenaan.

Mungkin sampai bila-bila pun DAP tidak akan bersetuju dengan RUU seumpama itu dan telatah DAP tersebut sudah dapat dilihat apabila mereka menentang perjuangan Islam Pas, ketika kedua-dua parti bergabung dalam pakatan pembangkang suatu ketika dahulu.

Oleh itu kepada umat Islam tidak kira siapa pun mereka, marilah bersama-sama memenuhi Padang Merbok, esok. Tunjuk dan buktikan kepada pihak-pihak tertentu bahawa umat Islam di negara ini mampu bersatu bagi memperjuangkan perkara yang berkaitan kepentingan mereka.

Sudah cukuplah maruah umat Islam di negara ini diperlekehkan, apabila kita berpecah-belah kerana politik. Inilah masanya untuk kita membuktikan perbezaan fahaman politik antara kita bukanlah benteng penghalang bagi kita untuk bersatu memperjuangkan kepentingan orang Melayu, umat Islam dan agama Islam.

Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 48 bermaksud;

“...dan kalau Allah mengkehendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh) kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.”

Oleh itu buat sekian kalinya marilah kita jayakan himpunan so­lidariti ummah ini. Ketepikan perbezaan politik sesama kita, pinggirkan pertarungan dan perhitungan kita dalam pilihan raya demi perjuangan memartabatkan agama Islam.

Jika dalam soal memperjuangkan perkara berkaitan Islam pun kita tidak boleh bersatu padu, fikirkanlah di mana letaknya maruah umat Islam?