Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

YANG kurik itu kundi Yang merah itu saga Yang baik itu budi Yang indah itu bahasa.

Pantun lama ini bagi penulis cukup indah dan tepat bagi menunjukkan kepentingan budi dan bahasa dalam kehidupan kita. Kedua-duanya saling berkait. Budi bahasa menggambarkan ketinggian peribadi seseorang, bahkan masyarakat yang bertamadun biasanya memandang tinggi budi dan bahasa.

Orang dulu-dulu cukup mementingkan aspek budi bahasa dalam kehidupan seharian. Ini diterjemah dalam tutur kata dan tingkah laku yang sopan terutamanya ketika berbicara dan berhadapan dengan orang yang lebih tua atau melayan tetamu.

Penulis teringat ketika masih kecil ada beberapa perkataan yang ‘diharamkan’ sama sekali untuk kami adik beradik menyebutnya seperti bodoh dan apa jua yang seerti dengannya tidak kiralah mengikut dialek atau loghat daerah dan negeri mana pun.

Perkataan lain terutama yang mencarut lebih-lebih lagilah taboo. Kalau emak terdengar perkataan itu terpacul keluar, alamatnya adalah yang kena piat telinga atau lebih ekstrem ‘dicilikan’.

Namun biasalah budak-budak, lagi dilarang lagi ter­u­jalah pula hendak menggunakan perkataan ‘haram’ ter­utama ketika bertengkar adik beradik. Cumanya, demi mematuhi larangan emak dan juga takut dicilikan, perkataan itu digunakan secara kreatif iaitu dengan hanya menyebut pangkal misalnya ‘bo...’ atau ‘ba...’

Bagaimanapun, akhirnya perkataan yang emak haramkan itu sungguhpun cuba diselindungkan di sebalik bunyi bukan bahasa tetap sampai juga ke telinga emak. Dan kami adik beradik pasti akan kena ‘habuan’ masing-masing.

Kini sebagai ibu, penulis pula menggunapakai larangan sama ke atas anak-anak sendiri. Cuma tidaklah ada hukuman dikenakan, sekadar bebelan sahaja. Alhamdulillah, perkataan taboo yang tidak sopan ini tidak menjadi mainan bibir anak-anak.

Cuma, hari ini amat menyedihkan apabila mendengar bahasa kesat dan mencarut menjadi mainan bibir ramai dalam kalangan kita. Di alam siber lebih teruk lagilah. Segala macam kata nista menjadi ‘makanan’ harian warga netizen. Tiada tapisan.

Lebih memburukkan keadaan apabila pihak yang ada kuasa dan kedudukan pun ikut sama bertutur tanpa menjaga tatasusila. Kalau sudah pemimpin pun tidak berbudi bahasa apatah lagi rakyat jelata. Daripada orang biasa, kanak-kanak, sampailah ke pengulas Sukan SEA 2017.

Kejadian pengulas sukan menggunakan bahasa yang tidak sewajarnya terhadap atlet sebuah negara sehingga menyinggung perasaan penyokongnya yang tular di media sosial tidak mungkin berlaku jika budi bahasa menjadi amalan kita.

Hakikat yang pahit untuk ditelan, asas budi bahasa iaitu menghormati orang lebih tua dan tetamu (termasuk juga atlet dan penyokong negara luar yang menjadi tetamu kita selaku tuan rumah KL2017) yang dulunya diajar kepada kita semakin diabaikan dan cuba dilupakan.

Asas itu yang menjadi ciri masyarakat penyayang tidak lagi menjadi pegangan. Kesannya, sudah dapat dilihat dalam tutur kata dan tindak tanduk sebilangan generasi hari ini.

Ada berpendapat keadaan ini berlaku kerana generasi kini tidak lagi menguasai bahasa kebangsaan.

Gara-gara perbendaharaan kata yang terhad, maka terjadilah penggunaan bahasa yang tidak sesuai, tidak sopan bahkan kesat. Apabila gagal berhujah menggunakan bahasa yang sewajarnya maka terkeluarlah segala slanga, yang tidak sedap untuk halwa telinga.

Di mana silapnya? Tepuk dada tanyalah selera. Tentu kita semua masih ingat akan slogan Bahasa Jiwa Bangsa.

Jadi jiwa bangsa yang bagaimanakah yang kita mahukan untuk rakyat Malaysia?

Yang berbahasa kasar dan kesat atau sebaliknya? Yang menghormati dan menguasai bahasa kebangsaan atau yang memandang rendah akan keupayaannya? Sebagaimana kundi dan saga adalah daripada spesies yang sama, begitulah juga budi dan bahasa. Andai diketepikan salah satu akan hilanglah baik dan indahnya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain