Keprihatinan semua pihak dalam menyampaikan maklumat semasa tentang apa sahaja yang sedang dialami oleh saudara kita di sana setidak-tidaknya membantu sesiapa sahaja yang mahu menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Situasi ini mengingatkan kembali kita kepada bencana bah ku­ning Kelantan 2014 dengan ba­nyak pihak tampil termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pihak swasta dan orang persendirian memberi sumbangan kepada mereka yang ditimpa bencana sama ada dalam bentuk kewangan, pakaian, makanan dan sebagainya.

Dalam tempoh tiga tahun ini, dua peristiwa banjir besar ke­semuanya berlaku di negeri yang ditadbir oleh pembangkang iaitu Pas dan DAP. Biarpun dalam pentas politik mereka ini sering bertelagah dan bercanggah pendapat dengan Kerajaan Pusat yang di­pimpin oleh Barisan Nasional (BN), namun dalam perkara-perkara yang berkaitan soal keselamatan rakyat, mereka hadir dengan sikap berjiwa besar dan ketepikan perbezaan politik.

Biarpun sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang pernah menyindir kerajaan Pas Kelantan yang dikatakan gagal mengurus bencana bah kuning 2014, tetapi hari ini parti Islam itu hadir ke Pulau Mutiara dengan membawa bantuan kewangan RM50,000 untuk meringankan beban kerajaan DAP Pulau Pinang.

Kepantasan Kerajaan Pusat dalam mengurus bencana yang terjadi dalam negara tiada siapa yang boleh menyangkalnya. Segala aset milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam telah digunakan atas dasar tanggungjawab kerajaan kepada rakyat yang sedang dihimpit kesulitan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sehingga hari ini te­lah membuka sekurang-kurang­nya 100 pusat pemindahan untuk memberi perlindungan kepada mangsa banjir yang menelan belanja sekitar RM500,000 - antara bukti komitmen Kerajaan Pusat dalam memastikan seluruh rak­yat berada dalam keadaan selamat.

Bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang sebenarnya telah membuka mata banyak pihak bahawa kita boleh bersatu dan perlu bersikap terbuka demi kepentingan maslahat. Aksi berpelukan spontan antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang tular di media sosial seolah-olah menceritakan kepada kita bahawa mereka berdua bagaikan sahabat lama yang telah terpisah dan akhirnya bertemu ketika saling memerlukan.

Seharusnya semangat saling membantu yang ditunjukkan oleh pemimpin Kerajaan Pusat dan negeri ini perlu diberi pujian kerana yang paling penting ialah menyelamatkan nyawa dan harta mangsa banjir.

Kadang-kadang di luar daripada pemikiran waras kita cara parti terbabit berpolitik. Mereka bagaikan tidak ada langsung rasa sensitif terhadap mereka yang menjadi mangsa kepada bencana. Terbaharu, kita dipertontonkan dengan sikap mereka yang mementingkan politik berbanding menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang.

Saat ketika Ketua Menteri Pulau Pinang memohon bantuan daripada semua pihak pada pukul 3 pagi, pemimpin parti terbabit dengan rasa tidak bersalah meng­adakan perarakan ‘1,000 hari Anwar Ibrahim dipenjara’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Apakah pada mereka ini, ang­ka 1,000 hari itu lebih penting berbanding angka 11,000 nyawa yang sedang berhadapan de­ngan situasi banjir besar di utara Semenanjung? Sikap yang pernah dipamerkan oleh pemimpin PKR sewaktu insiden serangan Lahad Datu dan peristiwa banjir ini menunjukkan sikap melampau dalam berpolitik dan tidak wajar dijadikan teladan oleh masyarakat.

Sokongan dari segi moral dan fizikal yang mampu disumbangkan amat digalakkan ketika ini tanpa melihat warna kulit kaum dan agama.

Langkah yang dilakukan oleh Ahli Jawatankuasa Surau Taman Penang Free School yang membenarkan 80 mangsa banjir terma­suk Cina dan India seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 7 November lalu perlu dijadikan iktibar semua pihak.

PENULIS ialah Penolong Pengarah Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri Negeri Perak.