WAN NUR FAEZAH WAN MUSTAFA, 23, antara contoh pelajar Melayu cemerlang di peringkat antarabangsa apabila berjaya menamatkan pelajaran dengan cemerlang dengan memperoleh First Class (Hons) Ijazah Perakaunan di University of Liverpool, England, pada Julai tahun ini.

Kata seorang penulis daripada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) kepada penulis semalam, amat sa­yang sekali kalau sesiapa tidak ada azam baharu atau memperkukuhkan tekad perbaharuinya.

Berpesan-pesan kepada diri sendiri juga, perubahan yang paling kritikal yang orang Melayu mahukan hari ini pada pengamatan penulis adalah perubahan minda yang dikawal.

Maksudnya - apabila tempurung yang terlangkup diterbalikkan, orang Melayu bersedia untuk menerima evolusi. Kawalan ini pen­ting kerana perubahan sebenarnya sudah datang dan jangan terkejut dan sukar menerima - lantas menyebabkan kembali berkurung di bawah tempurung yang lain pula.

Untuk berjaya hari ini, atau lebih tepat lagi menongkah arus cabaran Malaysia Baharu, orang Melayu harus mempercayai kebolehan diri supaya mampu menjadi pesaing hebat dengan golongan lain.

Melayu, apa lagi orang mudanya harus mengubah pemikiran yang terlalu bergantung kepada keistimewaan diberi kerajaan.

Kebergantungan dengan keistimewaan inilah dilihat menggugat kemampuan kaum Melayu untuk bersaing. Kalau diperhatikan, bukannya kerajaan sejak dahulu tidak berusaha meningkatkan keupayaan orang Melayu dalam ekonomi negara termasuk mengimbangi kedudukan sosial kaum itu dengan kaum-kaum lain.

Sebutlah apa sahaja. Kalau dikutip sekilas dari angka dan statistik, pencapaian Melayu/bumiputera sehingga hari ini juga gahnya terpamer di atas kertas. Sejak 1970, kadar kemiskinan yang dahulunya pada tahap 49.3 peratus, telah berkurangan kepada 3.8 peratus pada 2009 dan terus menyusut kepada 0.6 peratus pada 2014.

Selepas mencapai kemer­dekaan, pelbagai instrumen dan institusi diwujudkan demi kepentingan Melayu serta bumiputera, antaranya Lembaga Tabung Haji, Felda, Risda, Felcra, UDA, DARA, Jengka, Kete­ngah, Kesedar, Mara dan UiTM.

Institusi-institusi bu­mi­putera ini ternyata membawa banyak manfaat kepada pemerkasaan eko­nomi dan pendidikan bumiputera.

Lembaga Tabung Haji contoh terdekat diiktiraf sebagai institusi terbaik dalam pe­ngurusan haji dan perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif oleh kebanyakan negara Islam di dunia.

Melalui agenda pemerkasaan bumiputera menerusi Universiti Teknologi Mara (UiTM) setakat November 2016 sahaja, bilangan pelajarnya telah mencecah lebih 165,000 orang di 36 kampus UiTM seluruh negara. UiTM sebagai institusi bumiputera berjaya me­lahirkan seramai lebih 700,000 graduan anak-anak Melayu dan bumiputera yang berjaya, antaranya menjadi golongan profesional dan teknokrat di pelbagai bidang serta sektor.

Tetapi adakah ini semua benchmark atau penanda aras pencapai­an orang Melayu? Ya, tapi tidak menyeluruh, belum mencapai pia­waian Melayu tinggi.

Corak pemikiran kaum Melayu masih bergantung kepada ‘tongkat’ (keistimewaan) yang disediakan. Bahkan, sekarang ini dilihat sebagai excess baggage - sesuatu yang orang Melayu bawa dari dahulu hingga sekarang.

Kalau penulis petik apa kata wanita besi Malaysia, Tan Sri Rafidah Aziz semasa melancarkan buku edisi kedua Liberating The Malay Minds (Membebaskan Minda Melayu) oleh Dr. Mohammad Bakri Musa, pakar bedah di Amerika Syarikat pada 2016: “Masih ada lagi (orang Melayu) yang nak juga ‘tongkat’ itu walaupun (keadaan) dah elok...kita dah elok, nak minta lagi.”

Kalau pergi ke lebih realistik lagi, asuhan ibu bapa yang betul perlu diperhebatkan dalam memastikan generasi muda mampu berdikari. Ini bermula dari rumah hingga masuk ke dalam masyarakat, sekali gus menentukan nilai dan persepsi seseorang individu itu. Penerapan collective nurturing terhadap corak pemikiran itu sangat penting supaya minda dapat recalibrate.

Bangsa Melayu hakikatnya sekarang tidak sama dengan bangsa Melayu 61 tahun yang dulu. Jika disandarkan kepada sepotong ayat daripada Surah Ar-Raad (Q13:11), bahawasanya Allah tidak akan me­ngubah nasib sesuatu kaum hingga kaum tersebut mengubah apa yang ada di dalam mereka, maka dirumuskan: “Pencapaian bangsa Melayu hari ini adalah hasil daripada iltizam gene­rasi bangsa Melayu terdahulu yang telah sanggup berkorban, bekerja keras dan mengubah apa yang ada dalam diri mereka.”

Walaupun hari ini masih belum mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa Cina tetapi diakui hidup anak-anak bangsa ini telah berubah.

Tetapi adakah kita alpa de­ngan segala pencapaian hari ini atau perlukah Melayu sedar bahawasanya apa saja yang dicapai hari ini, boleh lenyap dengan sekelip mata? Jika bangsa Melayu leka dan tidak kenal mana satu kawan dan mana satu lawan maka akhirnya bangsa Melayu akan memusnahkan nasib bangsa hasil perbuatan tangan-tangan mereka sendiri.

Tidak ada ruginya sesekali menoleh sejarah. Untungnya lagi besar untuk pengajaran masa depan.

Orang Melayu harus ambil iktibar kejatuhan Empayar Uthmaniy­yah yang dianggap sebuah kerajaan hebat yang tidak mungkin ditewaskan suatu ketika dahulu. Kekalahan kerajaan Uthmaniyyah dalam Perang Lepanto pada 7 Okto­ber 1571 telah menaikkan moral tentera Kristian sehingga kerajaan Islam itu terus mengalami kekalahan sebelum runtuh pada 1919.

Kesedaran adalah suatu perkara yang lazimnya tidak akan berlaku. Melainkan setelah berlaku suatu peristiwa yang mencengkam perasaan dan jiwa seseorang. Apabila berlaku kematian atau musibah yang amat mengejutkan, maka kebiasaannya akan wujud kesedaran yang ak­hirnya membawa perubahan.

Demikianlah lumrah hidup ini yang mempunyai cara semula jadi dalam memperbetulkan sesuatu keadaan, bangsa mahupun individu.

Masyarakat Melayu/bumiputera kini mewakili seramai 68.6 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah 31.7 juta orang.

Diunjurkan pula, jumlah ini akan mencecah 69.1 peratus, kira-kira tiga tahun dari sekarang dan apabila tibanya tahun 2030 akan mencapai 70.7 peratus. Adakah ini penentu dominasi Melayu di negara ini?

Realitinya hari ini politik bangsa Melayu berada di persimpangan. Lipatan sejarah berulang-ulang kali cuba memberi pelajaran kepada bangsa Melayu bahawa jika mereka tidak bangun, sedar dan berubah maka sentiasa nasib bangsa ini akan menjadi seperti mana tercatat dalam sejarah bangsa Melayu. Dan lipatan sejarah ini tidak pernah sekalipun tersilap.

Sejarah persengketaan di antara bangsa Melayu yang menyebabkan Portugis, Belanda dan British menjajah Tanah Melayu ini mampu berulang jika tidak ada keinsafan dalam diri.

Jangan kerana idealisme politik romantika yang berasaskan hasad dengki, fitnah dan kebencian dijadikan asas, maka usaha untuk melihat pembangunan orang Melayu ke tahap piawaian tinggi ‘terperosok’ di tengah jalan.

Hijrahlah ke pemikiran baharu berdaya saing dalam merit tanpa ‘tongkat’ - demi diri sendiri sebelum melangkaui ke impak kejayaan bangsa.

Salam Maal Hijrah.