Begitu juga dengan harga ikan. Di pasar harian, pasar raya dan kedai runcit, harga ikan sejak tiga tahun lepas semakin mahal. Kalau tahun 2014 dahulu harga ikan rakyat seperti kembung, cencaru, atau selar boleh dibeli pada harga bawah RM10 sekilogram, kini tidak dapat lagi sebab harganya sudah mencecah lebih daripada RM15 sekilogram.

Alasan yang biasa kita dengar ialah bekalan ikan kurang menjadi faktor pemborong dan peniaga untuk menaikkan harga bahan mentah seperti ikan, udang, ketam dan sotong.

Syukurlah sekarang sudah ada program Jualan Ikan Segar Dengan Harga Patut. Selain program yang digerakkan Gabungan NGO Malaysia dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) di beberapa lokasi di Selangor, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga telah mengaktifkan pengedaran stok simpanan ikan segar sejuk beku Q’Fish.

Matlamatnya sama iaitu untuk mengatasi kekurangan bekalan ikan ketika ini yang menyebabkan harganya melambung.

Kawal manipulasi orang tengah

Datuk Seri Jamal Md. Yunos selaku penggerak utama program Jualan Ikan Segar Dengan Harga Patut membuktikan bahawa, harga ikan seperti kembung yang rata-ratanya dijual RM16 sekilogram, cencaru (RM9 sekilogram), dan ikan sardin (RM11 sekilogram) boleh dijual pada harga serendah RM5 sekilogram.

Nampaknya faktor cuaca dan musim tengkujuh menjadi mainan manipulasi orang tengah untuk mengawal harga ikan. Orang berniaga kadangkala hilang ‘deria simpati’ – kesusahan masyarakat tidak dipeduli asalkan mereka untung. Tambahan pula isu mahal atau murah harga ikan, masyarakat tetap membelinya sebab keperluan makanan.

Kadang-kadang rasa terkilan bila memikirkan orang tengah selalunya hidup senang dan kaya raya, sedangkan nelayan yang berjemur di laut terus hidup miskin.

Aktiviti memancing

Ikan yang kita beli di pasar atau kedai runcit biasanya sudah lama. Ikan itu bukan ikan segar. Ia nampak segar sebab disimpan dalam bilik sejuk atau disejuk-bekukan.

Untuk rasa ikan segar yang sebenar, kenalah pergi memancing di laut, tasik, lombong atau sungai. Bagaimanapun ada sesetengah orang kita sudah tidak dapat lagi menikmati ikan darat seperti lampam, tilapia, keli dan lain-lain sebab tekak mereka sudah tidak dapat menerima rasa isi ikan tersebut.

Berbeza dengan rasa ikan laut yang dipancing sendiri. Masaklah apa sekalipun menunya – stim, masam manis, tiga rasa, kari atau asam pedas – pasti anda dapat bezakan ikan segar yang dipancing dengan ikan yang dibeli di pasar.

Memang untuk aktiviti memancing kena keluar duit sedikit beli peralatan, sewa bot dan umpan. Walaupun jumlah belanjanya capai ratusan ringgit tetapi berbaloi bila mendapat hasil tangkapan ikan yang banyak. Silap-silap boleh simpan untuk stok satu bulan.

Sebenarnya dalam aktiviti memancing ini banyak manfaatnya seperti mendidik kita bersikap sabar, terus berusaha, bertawakal sambil berehat dan menikmati keindahan ciptaan Allah. Di samping itu mendapat pengalaman ‘perasaan teruja’ apabila tali pancing disentap ikan kecil atau besar.

Sambil berseronok memancing, tanpa kita sedar kaki pancing terutamanya di laut, banyak membantu ekonomi nelayan. Pakej memancing di laut biasanya melibatkan sewaan bot nelayan, menyediakan umpan udang, sotong dan ikan, rumah sewa, restoran dan pengusaha ais. Sekali trip memancing menyumbangkan kira-kira RM1,000 hingga RM1,500 kepada nelayan.

Bayangkan kalau hujung minggu ada dua trip memancing, sebulan nelayan boleh kumpul antara RM8,000 hingga RM12,000 sebelum tolak kos. Namun rata-rata masih miskin. Banyak wang mengalir kepada kos penyelenggaraan bot.

Taraf hidup nelayan

Jika difikirkan nelayan sepatutnya beruntung. Rezekinya melimpah di dalam laut, cuma bergantung pada cuaca, kerajinan dan takdir yang menentukan nasib mereka. Tidak perlu bayar, cuma perlu menggunakan alat untuk menangkap ikan sahaja.

Namun rata-rata yang kita lihat kehidupan nelayan terutama bumiputera kebanyakannya miskin. Berbanding dengan nelayan kaum Cina memiliki bot besar, hasil tangkapan yang banyak dan mampu mengupah awak-awak dari Thailand, Vietnam dan Bangladesh.

Kajian analisis kos dan pulangan yang dilakukan Jabatan Perikanan, nelayan kita berpendapatan purata antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan. Justeru kita berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup, kebajikan dan pendapatan nelayan.

Antaranya seperti pemberian subsidi minyak diesel dan petrol yang dapat membantu golongan nelayan mengurangkan beban kos operasi tangkapan ikan di laut, insentif hasil tangkapan ikan, perumahan nelayan, pembangunan tukun tiruan, projek Sistem Identifikasi Automatik (AIS), dan Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Daripada sekian banyak bantuan dan elaun yang kerajaan sediakan untuk nelayan, sepatutnya mereka mampu mendapat hasil tangkapan yang memberangsangkan. Perairan kita banyak hasilnya sebab itu nelayan asing seperti China, Vietnam, Thailand sanggup belayar jauh dari kampung mereka dan berani menceroboh perairan kita semata-mata untuk mencari harta dari perut laut kita.

Tidak perlu nelayan kita menceroboh perairan negara orang, cukuplah berani untuk menjadi nelayan laut dalam. Yang ini nampaknya nelayan kita belum begitu menjadi, lalu taraf hidup mereka masih kekal di takuk yang sama. Harga ikan terus mahal, nelayan terus hidup miskin.